Diterbitkan pada 23 Mac 2025, 20:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) telah berjaya mengumpulkan 28 organisasi dari 12 buah negara dalam Sambutan Hari Puisi Sedunia UNESCO 2025 yang berlangsung pada 22 Mac 2025 secara dalam talian bersempena dengan Majlis Semarak Puisi Ramadan Sedunia 2025.

Majlis yang berlangsung pada pukul 10.30 malam secara dalam talian melalui Google Meet dan secara langsung di Facebook PEMUISI Berkarya telah membariskan peserta dari luar negara antaranya termasuklah Dr. Victor Pogadaev (Rusia), Dr. Brajesh Kumar Gupta (India), Sita Aulliya (Netherland), Aisyah Yahui Zhou (China), Isa Kamari (Singapura), Dr. Suraiya Chapakiya (Thailand), Dr. Zefri Ariff dan Kriskarmila (Brunei), Yasmaine Millson (Australia) serta Ibu Hudan Nur, Isbedy Stiawan dan Zab Bransah (Indonesia).

Sebanyak 20 tokoh sastera tanah air turut terlibat dalam majlis tersebut termasuklah Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, SN Datuk Dr. Zurinah Hassan, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim atau Wanrazuhar, Datuk Dr. Lim Swee Tin, Profesor Dato’ Mohamad Fauzan Noordin, Dr. Ferri Anugerah Makmur, Drs. Sundarappandian Valusamy, Wan Aziz Wan Hamzah, Juzaila Abd Satar, Mayya Humairah, Umar Mokhtar Abdullah, Datuk Jasni Matlani, Dr. Abang Hut Abang Engkeh, Dr. Shafa’atussara Silahuddin, A Ghani Abdullah, Alkhair Aljohore, Roslan Madun, Siti Nurul Naquiah Mohamed Ismail, Siti Nabilah Kasdi dan Minah Ahmad.

Peserta yang terlibat dalam Sambutan Hari Puisi Sedunia UNESCO 2025 ini turut mendendangkan gurindam, syair, rejang dan menyanyikan lagu puisi, bermonolog serta mendeklamasikan puisi.

Penasihat PEMUISI, Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan ketika merasmikan majlis tersebut menyatakan bahawa perkara yang lebih penting dalam penganjuran majlis tersebut ialah semangat persaudaraan dan persahabatan yang melibatkan warga dunia sejagat atas daya usaha PEMUISI yang sering menganjurkan kegiatan puisi bertaraf antarabangsa.

Dalam membicarakan tentang puisi, beliau menjelaskan:

Puisi juga merupakan jelmaan suara batin pemuisi yang menzahirkan pemikiran, penghayatan, analisis dan penilaian, baik yang berkaitan dengan diri peribadi, keluarga, sahabat, masyarakat, negara dan isu antarabangsa. Itulah antara sumbangan pemuisi dalam menyuburkan perkembangan tamadun melalui seni bahasa yang halus dan kreatif.

Bagi peminat sastera dan masyarakat umum pula, puisi ialah satu bentuk santapan jiwa atau rohani. Puisi menyajikan ilmu, pemikiran, maklumat dan tanggapan melalui kaedah yang tidak bersifat langsung seperti karya ilmiah, tetapi memberikan kesan yang mendalam melalui “rasa” dan diri batin manusia.

Semasa merasmikan majlis itu beliau berkesempatan mendeklamasikan sebuah puisi hasil nukilan beliau yang bertajuk “Apa yang Dikejar pada Malam Qadar” yang menceritakan tentang kelebihan malam Lailatul Qadar dan mengajak umat Islam agar mengejar 10 malam terakhir Ramadan untuk mencari keredaan Allah SWT dan mengharapkan balasan syurga kelak.

Beliau berharap agar kegiatan seperti ini dapat diteruskan sebagai sumbangan kepada pembangunan rohaniah dan juga demi memupuk kemanusiaan sejagat, selari dengan sifat puisi yang merentas bangsa dan negara.

Menerusi majlis tersebut, beliau turut merakamkan ucapan tahniah setinggi-tingginya kepada Persatuan PEMUISI di bawah pimpinan Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim yang terus-menerus mengimarahkan puisi sebagai wasilah tamadun negara dan menjalinkan persefahaman sejagat bagi pelbagai bangsa di mancanegara sedunia. Tambah beliau:

PEMUISI bukan sahaja aktif menggerakkan kegiatan puisi dalam bentuk deklamasi biasa bahkan dalam bentuk deklamasi puisi artistik yang telah menjadi jenama khas yang diangkat oleh PEMUISI melalui sayembara tahunan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi