Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLabirin dalam Helaian kali ini menampilkan Profesor Madya Dr. Nasirin Abdillah. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.03/2025. Cari dan telaah buku pilihannya dan selami pengalaman bacaannya.


Buku yang dibaca sekarang | Kebiasaannya, saya akan membaca tiga hingga lima buah buku serentak dan sekurang-kurangnya, salah satu daripadanya ialah buku bukan fiksyen. Saya baru selesai membaca The Korean Myths: A Guide to the Gods, Heroes and Legends, An Ordinary Tale about Women and Other Stories, Malayland, dan Orbital, dan kini sedang membaca buku-buku berikut: We Do Not Part oleh Han Kang, The Siege Within oleh Leslie Lopez, The Cry oleh K.S. Maniam, Slave oleh Akiya (terjemahan Inggeris oleh Jason S. Ganesan), dan The South oleh Tash Aw.

Buku yang paling digemari sepanjang zaman | Banyak buku yang paling saya gemari. Antaranya termasuklah, saya amat mengagumi The Hero with a Thousand Faces oleh Joseph Campbell kerana membuka perspektif baharu mengenai struktur mitos dan perjalanan wira. Saya juga sangat gemar membaca Tales from the Deep Forest: The Very Curious Adventures of Kancil the Mouse Deer oleh Georges Voisset, Midnight’s Children oleh Salman Rushdie, Wuthering Heights oleh Emily Bronte, dan puisi oleh para penyair kegemaran saya, seperti Mahmoud Darwish, Hafez Shirazi, Jahan Malek Khatun, Obayd-e Zakani, John Keats, Rainer Maria Rilke, Arthur Rimbaud, T.S. Eliot, Mary Oliver, Pablo Neruda, Octavio Paz, dan Ron Pretty.
Penulis kegemaran sepanjang zaman | Selain para penyair yang saya gemari, saya sangat terinspirasi oleh penulis seperti Salman Rushdie, Margaret Atwood, A. S. Byatt, Stephen Fry, Madeline Miller, Haruki Murakami, dan Han Kang kerana penggunaan mitos dan intertekstualiti dalam karya mereka. Dari segi falsafah, Albert Camus, Joseph Campbell, Roland Barthes, George Orwell, dan Claude Lévi-Strauss memberi sudut pandang yang mendalam kepada cara saya memahami pelbagai aspek kehidupan, terutamanya tentang kepentingan mitos dalam konteks moden.

Watak dalam karya sastera yang paling disukai | Saya menggemari beberapa watak, antaranya termasuk watak Hamlet dalam drama karya William Shakespeare, Hamlet, Fitzwilliam Darcy dan Elizabeth Bennet dalam Pride and Prejudice oleh Jane Austen, Heathcliff dalam Wuthering Heights oleh Emily Bronte, Winston Smith dalam 1984 oleh George Orwell, Dorian Gray dalam The Picture of Dorian Gray oleh Oscar Wilde, Atticus Finch dalam To Kill a Mockingbird oleh Harper Lee, Captain Ahab dalam Moby Dick oleh Herman Merville, Celie dalam The Color Purple oleh Alice Walker, László de Almásy dalam The English Patient oleh Michael Ondaatje, Yeong-hye dalam The Vegetarian oleh Han Kang, Toru Watanabe dalam Norwegian Wood oleh Haruki Murakami, James Stevens dalam The Remains of the Day oleh Kazuo Ishiguro, Jim Lim dalam Illustrado oleh Miguel Syjuco, dan mungkin yang paling digemari, Saleem Sinai dalam Midnight’s Children oleh Salman Rushdie kerana dimensi sejarah dan mitologi dalam naratifnya.
Saya juga mengagumi watak Sang Kancil dalam fabel Melayu, Awang Sulung Merah Muda dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan tentunya, Hang Jebat dalam Hikayat Hang Tuah.

Buku yang selalu diulang baca | Setakat ini, saya sering mengulang baca Myth and Meaning oleh Claude Lévi-Strauss, The Myth of Sisyphus oleh Albert Camus, Theories of Mythology oleh Eric Csapo, dan buku-buku oleh Joseph Campbell. Buku-buku ini membantu saya untuk memahami lebih rinci tentang mitos dan kepentingannya.

Buku bukan fiksyen yang digemari | Selain buku berkaitan kajian sastera dan buku yang sering diulang baca, saya gemar membaca buku sains, sejarah, seni, dan falsafah yang ditulis secara kreatif, seperti The Creative Act oleh Rick Rubin dan Sapiens: A Brief History of Humankind oleh Yuval Noah Harari, atau buku yang ditulis oleh Mitch Albom dan Michiko Kakutani.
Buku yang menjadikan saya penulis | Meskipun saya telah menulis seawal tahun 2006 lagi, dengan penerbitan puisi pertama saya dalam akhbar Mingguan Malaysia, namun saya tidak ingat mana-mana buku yang mendorong saya untuk menjadi penulis (sebab itulah mungkin penghasilan karya kreatif saya agak lembap, hanya menulis sajak secara “runcit”, tidak dimuatkan dalam mana-mana kumpulan atau antologi), sehinggalah saya melanjutkan pengajian saya di luar negara, barulah saya aktif sedikit dalam penulisan kreatif.

Buku yang memberikan kesan seterusnya lalu mendorong saya menulis ialah Creating Poetry oleh Ron Pretty, antara penyair Australia yang tersohor, juga mentor yang saya kasihi (pilu mengetahui beliau telah meninggal dunia pada tahun 2023, tidak berkesempatan berjumpa untuk kali terakhir) dan The Flight of Birds oleh Joshua Lobb, penyelia tesis PhD saya, yang sangat saya hormati, juga penulis Australia yang terkenal dengan gaya penulisan eksperimental. Saya telah membaca semua buku dan nukilan kedua-dua penulis ini yang memberikan saya motivasi serta panduan dalam usaha mengasah kemahiran menulis.
Dunia bacaan semasa kecil yang mempengaruhi perjalanan penulisan saya | Saya dibesarkan dalam suasana kurangnya bahan bacaan di rumah kerana ibu bapa saya “hampir” buta huruf. Ayah saya boleh membaca pada kadar minima, manakala ibu hanya boleh membaca al-Quran. Saya selalunya akan menghabiskan masa di perpustakaan, kadangkala sehari suntuk terutamanya pada hujung minggu. Antara bahan bacaan semasa kecil dan remaja termasuklah buku yang ditulis oleh Enid Blyton, terutamanya siri Famous Five, novel fantasi remaja oleh Ahmad Patria Abdullah dan juga novel thriller oleh Sidney Sheldon dan Dean Koontz. Pada sebelah petang atau malam pula, ayah saya sering membawa pulang akhbar tempatan, sama ada Daily Express atau Sabah Times, yang kemudiannya saya akan bacakan kepada beliau dan rumuskan pula ke dalam bahasa dialek Sabah. Ada kalanya, kami akan bertengkar kecil kerana saya berasa dipaksa. Inilah permulaan latihan saya untuk menguasai bahasa, terutamanya bahasa Inggeris, tanpa saya sedari.

Buku yang memberi impak besar dalam pemikiran saya | Banyak sekiranya disenaraikan. Antaranya termasuk Orientalism oleh Edward Said untuk memahami wacana kuasa dalam representasi budaya, The Plague dan The Myth of Sisyphus oleh Albert Camus untuk refleksi falsafah tentang kehidupan dan harapan. Hal ini berserta beberapa buku lain, seperti Gender Trouble: Feminism and the Subversion of Identity oleh Judith Butler, A History of God oleh Karen Armstrong, The God Equation: The Quest for a Theory of Everything oleh Michio Kaku, dan The Heritage of Traditional Malay Literature oleh Vladimir Braginsky.

Buku tentang penulis yang patut dibaca oleh seorang penulis | Why I Write oleh George Orwell dan Letters to a Young Writer oleh Colum McCann adalah antara sumber inspirasi yang berharga bagi saya.
Hal yang memotivasikan saya untuk menulis | Saya menulis kerana keinginan untuk memahami hubungan antara mitos, budaya dengan identiti. Proses saya telah berkembang daripada sekadar menghasilkan karya untuk diterbitkan kepada pemantapan teori 2IN yang saya bina sejak PhD hingga kini.
Cara memilih tema atau isu untuk karya saya | Tema saya sering berkisar pada mitos, identiti dan intertekstualiti, termasuk cinta. Karya seperti Mythologies oleh Roland Barthes memberikan inspirasi kepada saya untuk meneroka cara mitos boleh diinterpretasikan dalam sastera moden. Novel seperti Lavinia oleh Ursula K. Le Guin, sebuah kisah cinta berdasarkan Aeneid (puisi epik oleh Virgil) yang ditulis secara puitis, membantu saya memahami proses penceritaan semula mitos.
Cabaran terbesar dalam penulisan yang pernah dihadapi | Cabaran terbesar ialah usaha mencari keseimbangan antara penulisan akademik dengan kreativiti peribadi. Kecenderungan saya dalam bidang akademik sedikit membantutkan penghasilan karya kreatif. Cita-cita saya untuk menjadi seorang ahli teori membolehkan saya menyatukan analisis kritikal dengan ekspresi kreatif melalui penghasilan teori 2IN.
Cara mengatasi rintangan pengarang atau writer’s block | Saya akan cuba menulis secara bebas tanpa sekatan untuk merangsang idea baharu atau membaca bahan bacaan berkaitan teknik penulisan atau buku-buku motivasi yang memberikan inspirasi. Antara bahan bacaan tatkala mengalami writer’s block termauskah Bird by Bird: Some Instructions on Writing and Life oleh Anne Lamott dan The War of Art: Break Through the Blocks and Win Your Inner Creative Battles oleh Steven Pressfield. Saya juga sering membaca kembali puisi beberapa penyair kegemaran saya atau akan meneroka penyair-penyair baharu dan kontemporari. Sementara itu, guilty pleasure saya pula termasuklah membaca atau menonton sebarang mitos daripada pelbagai budaya untuk saya keluar sekejap dari dunia penulisan, terutamanya akademik.
Genre penulisan yang seronok dibaca | Puisi sering kali menjadi pilihan utama, tetapi boleh jadi juga karya bukan fiksyen yang kreatif, kemudian barulah novel. Minat dalam dunia sastera agak lambat kerana hanya pada peringkat pengajian tinggi bermula matrikulasi hingga universiti, barulah saya betul-betul meminatinya.
Semasa di bangku sekolah, minat terhadap sastera agak minimum, sekadar membaca buku-buku cerita yang terdapat di perpustakaan untuk menghilangkan kebosanan atau melepas lelah akibat asyik bergelumang dengan subjek sains dan matematik kerana bersekolah aliran sains. Namun begitu, markah untuk subjek bahasa, sama ada Melayu atau Inggeris, biasanya saya memperoleh markah cemerlang, selalunya tertinggi dalam kelas. Semasa tingkatan empat, cikgu Bahasa Melayu menyuruh saya menyertai pertandingan menulis esei peringkat negeri dan hasilnya saya telah menjadi johan.
Semasa permohonan kemasukan ke universiti pula, saya memilih bidang-bidang sains, khususnya berkaitan kejuruteraan, namun rezeki saya “tercampak” ke dunia sastera. Semasa temu duga untuk kemasukan matrikulasi dan biasiswa negeri, salah seorang panel bertanyakan soalan ini: “Nak tak adik masuk English Programme kami, subjek Inggeris adik bagus ’ni. Tapi kalau tak suka, lepas satu semester kita tukar balik ke kursus Engineering yang adik suka ’tu. Boleh?” Saya tergamam seketika. Dalam hati saya, ‘Kalau saya kata tidak, nanti tak dapat masuk pula.’ Lalu dengan perlahan saya anggukkan kepala seraya tersenyum. Maka, bermulalah episod hidup saya dengan dunia sastera.
Pada pertengahan semester pertama, saya pernah bercadang untuk berjumpa kaunselor kerana agak sukar untuk memahami dunia sastera, ditambah pula perlu belajar Macbeth yang agak mencabar bagi saya ketika itu. Namun subjek puisi menjadi “penyelamat”, terutamanya “Daffodils” oleh William Wordsworth yang membuatkan saya mulai meminati sastera. Saya amat kagum dengan penggunaan bahasa yang indah dan teratur dalam puisi Wordsworth, termasuk beberapa lagi puisi seperti karangan Shelley dan Coleridge. Namun hakikatnya, puisi-puisi John Keats yang membuatkan saya jatuh cinta dengan dunia sastera, terutamanya “La Belle Dame sans Merci”, berbanding puisi-puisi popular Keats lain seperti “Ode to a Nightingale” dan “Ode on a Grecian Urn”. Puisi jugalah genre penulisan saya yang pertama diterbitkan. Walau bagaimanapun, puisi Inggeris saya lebih banyak daripada puisi Melayu, meskipun beberapa puisi Melayu telah diterbitkan terlebih dahulu.
Sehingga kini, semua puisi saya hanya diterbitkan secara eceran. Kecenderungan dalam menulis puisi berbahasa Inggeris lebih menyerlah semasa pengajian PhD di Australia. Selama tiga tahun setengah di sana, dalam pergelutan menyiapkan tesis, puisilah yang menjadi eskapisme sekiranya penat menulis dan membaca bahan-bahan berkaitan tesis. Sepanjang pengajian PhD, saya sempat menulis beberapa puisi dan saya telah menghantar puisi-puisi saya ke tujuh sayembara puisi. Hasilnya, daripada tujuh pertandingan yang saya sertai, saya telah memenangi Hadiah Utama atau Tempat Pertama untuk lima sayembara, manakala dua sayembara lagi saya berjaya mendapat Tempat Kedua. Begitulah dekatnya puisi dengan saya dan puisi akan sentiasa mendapat tempat istimewa dalam hati saya.
Namun sekembalinya ke tanah air selepas pengajian luar negara, saya tidak meneruskan penulisan puisi kerana tuntutan kerja sebagai ahli akademik. Tambahan pula, saya lebih fokus untuk memantapkan teori 2IN yang saya bina dalam tesis saya dan kebiasaannya saya membentangkan kertas-kertas kerja menggunakan teori ini. Seterusnya, barulah genre penulisan lain beransur-ansur saya minati, contohnya, esei sastera oleh T. S. Eliot, diikuti oleh novel John Steinbeck, Of Mice and Men, antara karya yang menggugah emosi saya pada permulaan saya menceburi bidang sastera semasa peringkat matrikulasi.
Saya amat berterima kasih kepada Kesusasteraan Inggeris yang telah menanamkan benih cinta pertama saya terhadap sastera, hingga akhirnya tunas itu berkembang mekar, merangkumi seluruh hamparan dunia sastera yang lain, yang kini saya cintai sepenuh jiwa.

Beli buku tulisan sendiri? | Ya, kerana saya percaya bahawa setiap buku ialah dokumentasi perjalanan intelektual dan emosi saya.
Bagaimanakah trend sastera dan dunia penerbitan hari ini? | Saya melihat peningkatan dalam genre hibrid, seperti autofiksyen dan esei kreatif. Karya seperti The Lonely City: Adventures in the Art of Being Alone oleh Olivia Laing mencerminkan pergerakan ini dengan menggabungkan esei peribadi dengan teori sastera.
Kepentingan sastera dalam masyarakat moden? | Sastera bukan sahaja mencerminkan realiti, tetapi juga menjadi alat refleksi sosial dan kritikan budaya. Novel seperti Beloved oleh Toni Morrison mengajak kita melihat kembali sejarah dan identiti dengan cara yang kritis.
Nasihat terbaik yang pernah saya terima sebagai seorang penulis | “Menulis bukan sekadar tentang menumpahkan kata-kata ke atas kertas, tetapi tentang menggali pemikiran yang lebih dalam, mencari makna di sebalik setiap ayat yang tercipta.”
Nasihat saya kepada penulis yang baru bermula | Terus menulis dan jangan takut bereksperimen. Bacalah secara meluas, dan tulislah dengan jujur.
_________________________
Kenali Nasirin Abdillah dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil.03/2025.