Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarangtiba di muara
membawa sijil sebagai layar,
berharap angin sejarah
menggerakkan perahu
tanpa mahu
memahami
arusnya
menyebut kecemerlangan
seperti menyebut hujan,
angka disusun di tapak tangan,
seolah martabat diwarisi
tanpa waadat antara lidah
dengan tanah
pada pasang surutnya pelajaran
bahasa negeri sekadar pinggiran,
bukan di alur pembentukan
kalau diambil pun, sekadar persinggahan
kalau ditinggalkan, apa mereka hairan?
konon mengulang hikayat
tentang setia dan derhaka,
menyebut pahlawan
tanpa menyelami
makna daulat
di pasar, di kaunter,
orang jauh menyapa lancar,
meski duduknya seketika
sementara anak watan asyik
tergeliat menyusun ayat
dua bahasa tiada sengketa
umpama angin monsun,
keduanya saling
menggerakkan layar
pada musim berbeza
yang karam hanyalah perahu
yang enggan membaca bintang
lalu mahu berlabuh
di pelabuhan ilmu dan kuasa,
namun enggan menyebut
bahasa pelabuhannya
tanah ini sabar menunggu
bukan layar yang sekadar dijulang,
tetapi perahu-perahu tabah
yang memilih mendayung hingga tiba
131225, Puncak Alam