Diterbitkan pada 2 Mac 2026, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Betapa khayalnya dunia hari ini, mabuk oleh manis tipu daya yang membasahi bibir pemegang kuasa bertopengkan Board of Peace. Mereka sibuk mengatur barisan ayat nira untuk menutup lubang-lubang peluru di hati manusia. Alangkah hebatnya alkimia zaman ini; mereka tidak lagi mengubah logam menjadi emas, tetapi mengubah jeritan menjadi naratif dan mengubah pembantaian menjadi proses peralihan demi kesejahteraan sejagat, kata mereka.

Lihatlah kronologi yang mereka tulis dengan muncung senjata. Kisah bermula dengan Gaza sebagai penjara di bawah langit terbuka seakan makmal yang beruji kaji dengan setiap inci kekejaman. Di sana, mereka melatih jari-jemari untuk menjadi lali terhadap tangisan, menormalisasikan pembersihan etnik di bawah lampu-lampu neon dunia yang pura-pura buta. Gaza menjadi mukadimah berdarah, sebuah eksperimen penyelamatan kononnya setiap rumah yang runtuh dianggap langkah menuju damai.

Tatkala dunia semakin terbiasa dengan zalim bertukar lazim, Epic Fury meletus dari meja rundingan Oman sarat dengan janji palsu. Lalu maut berserakan merentas sempadan, diselimuti alasan preemptive strike yang dingin. Di Isfahan, langit yang dahulunya milik para penyair kini dicabuli kilatan Mach 3 – serangan yang menjerut leher harapan lalu menyesakkan dada, umpama nafas yang dicuri lawan sebelum sempat menghembusnya sebagai kata-kata. Tehran menjadi kanvas keganasan atas nama keadilan. Naratif White Salvage, serpihan kolonial kini mulai memecah benteng kemanusiaan. Semua yang lain adalah barbarik, mereka sahajalah yang bertamadun. Kononnya kita perlu diselamatkan. Soalnya, daripada siapa, daripada apa?

Betapa manisnya bibir sang nakhoda perang; berdegar bicara soal hak asasi sambil kaki masih memijak hancur saraf-saraf daulat sebuah bangsa. Lalu mereka menawarkan seteguk madu diplomatik untuk menghilangkan rasa pahit daripada bom fosforus dan uranium. Kita yang memerhati dari ufuk ini tahu bahawa setiap batang tebu yang mereka tanam di bibir itu berakar sembilu. Maka berdirilah institusi itu, sebuah tabir daripada kain kafan yang cuba menutup hanyir dosa di Palestin dan Iran, seolah-olah kertas kerja mampu membasuh noda yang telah lama membeku dalam ingatan sejarah.

Mereka terus bersulang dengan piala penuh air mata dan darah, terus-menerus menanam tebu di atas bibir tanah yang mereka jarah. Lambat-laun gula-gula diplomasi akan cair menjadi cuka, meninggalkan bau busuk pada lidah-lidah yang pernah menjanjikan syurga. Semoga kemanisan bertukar racun, andai tiba saatnya nanti, kita pasti membedil setiap batang tebu yang tersisa di bibir-bibir mereka.

28022026, dunia masih ghairah dalam retorik.

_________________________

Nota Penyair: Puisi ini mengambil gaya puisi prosa Baudelaire. Charles Baudelaire (1821 – 1867) telah menghasilkan Paris Spleen, iaitu sebuah kumpulan 50 puisi prosa pendek yang ditulis sekitar tahun 1855 – 1864 dan diterbitkan secara anumerta pada tahun 1869. Puisi-puisi prosa (poèmes en prose) dalam Paris Spleen menolak bentuk puisi konvensional, sebaliknya menggabungkan bahasa puitis dengan fragmen yang menyerupai naratif. Karya Baudelaire ini merakam kemodenan bandar, khususnya kehidupan di Paris abad ke-19 melalui imej-imej yang tajam dan sering bersifat paradoks. Baudelaire merupakan tokoh penting dalam estetika Simbolisme dan Modenisme. Paris Spleen secara meluas dianggap sebagai karya asas yang membuka jalan kepada perkembangan puisi moden dan eksperimen prosa pada era berikutnya.

Kredit Foto: Emanuel Kypreos/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi