Diterbitkan pada 11 Februari 2025, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Mertajam Kehebatan dua orang penulis utara, Allahyarham Azizi Haji Abdullah dan Allahyarham Zakaria Ahmad atau nama penanya, Zakry Abadi, menjadi fokus perbincangan dalam Program Bicara Tokoh Sastera Pulau Pinang 2025 yang berlangsung di Perpustakaan Desa Mengkuang Titi (PDMT), Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Penganjuran program tersebut merupakan usaha Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) dan Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang (MKNPP).

Penolong Setiausaha Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA), YBrs. Encik Hasan Baseri Budiman selaku ahli panel program itu berkata, Azizi ialah salah seorang penulis hebat di negara ini.

“Beliau berjaya menghasilkan sebanyak 39 buah novel dan 247 buah cerpen yang disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan di negara ini.

“Sebuah daripada novelnya, Seorang Tua di Kaki Gunung telah dicetak sebanyak lima kali dan turut dicetak dalam bahasa Jepun.”

Menurutnya lagi, Azizi juga telah menghasilkan 11 buah kumpulan cerpen, dan pada tahun 1993 sahaja, beliau telah berjaya menghasilkan lima buah novel dengan pelbagai tema menarik.

“Beliau pernah menerima anugerah menulis cerpen sebanyak 17 kali.

“Semasa mahu menulis sesebuah cerpen itu, Azizi tidak mahu ada sesiapa yang ganggu, jadi beliau menempah untuk tinggal di Hotel Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani dan bil hotel itu, saya yang jelaskan sebagai rakan rapatnya,” tambahnya.

Bercakap tentang Zakry Abadi pula, ahli panel kedua, Ketua 1 2PNP, YBhg. Datuk Anuar Ahmad berkata, Zakry ialah penulis yang rajin menimba ilmu dalam menghasilkan karya cerpen, novel dan kritikan sastera.

“Ketika bertugas sebagai wartawan akhbar Utusan Melayu, Zakry sering memperkatakan apa-apa sahaja tentang tulisan sasterawan, termasuk Abdullah Hussain, A. Ghafar Ibrahim, Shahnon Ahmad, Mokhtar A.K., Rejab F.I., Wijaya Mala, Azizi Haji Abdullah, dan Jihaty Abadi menerusi ruangan Apa Kata Sasterawan terhadap Sasterawan dalam akhbar itu.”

Ujarnya lagi, sebagai anak jati Pulau Pinang, Zakry berjaya membentuk Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang pada 2 Jun 1965.

“Ketika memimpin persatuan itu, terserlah juga kehebatan Zakry yang bukan sahaja sebagai penulis skrip drama, malah sebagai pengarah dramanya apabila pihak persatuan mengadakan Malam Aneka Ragam dan drama hasil karya Zakry dipentaskan.”

Beliau turut menjelaskan bahawa Zakry tidak menghasilkan banyak novel tetapi hanya tiga buah sahaja, Peristiwa, Debar Dalam Gempa dan Naga-Naga.

“Zakry hebat dalam menghasilkan buku politik. Sebanyak 13 buah buku politik memasuki pasaran kedai buku, termasuk Skandal BMF, Konflik Istana dan Parlimen, Suatu Analisa Pilihanraya Umum ’86, Antara Mimpi dan Harapan, Analisis Pilihanraya Umum ’90, Sanusi Junid: Pencetus Idea, Pemikir Bangsa, dan Mengapa Anwar?: Politik Dam Pimpinan UMNO.

“Ramai juga kawan sekampung dengannya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti Yahaya Hamid, ADUN Pinang Tunggal dan pernah dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Tun Abd Rahman Abbas dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, dan Razak Ismail, ADUN Penaga,” tambahnya.

Mantan pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Pulau Pinang, YBrs. Encik Abd Aziz Ishak bertindak sebagai moderator dalam program tersebut.

YBrs. Puan Sharifah Atikah Syed Alias membuat persembahan bersama-sama para pelajar.

Turut hadir dalam program ialah Sanusi Din (Ibnu Din Assingkiri), penulis tempatan dan warga emas.

Bagi menyerikan lagi program, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Jaya dan Sekolah Kebangsaan Taman Sejahtera yang dipimpin oleh YBrs. Puan Sharifah Atikah Syed Alias membuat dua persembahan yang menggabungkan karya Azizi Haji Abdullah dan Zakry Abadi.

Penyelia Perpustakaan Desa Zon 3 Pulau Pinang, YBrs. Puan Sariah Din berkata, dengan adanya program sebegini, warga emas, pelajar dan penduduk tempatan dapat mengenali dengan lebih dekat lagi sejarah kehidupan penulis dari kampung mereka sendiri yang menghasilkan karya bertaraf negara.

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi