Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 26 Januari 2025, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Samarahan – Penggabungan unsur sungai dan alam sekitar dalam persembahan puisi melalui program Malam Puisi Lestari Alam: Kelestarian Sungai dan Alam Sekitar menjadi wadah kepada pemupukan kesedaran khalayak tentang kepentingan kelestarian alam.

Program anjuran bersama Persatuan Sahabat Sungai Malaysia, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Malaysia Sarawak tersebut berlangsung di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada malam semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang selaku Presiden Persatuan Sahabat Sungai Malaysia berkata,

Kita membicarakan tentang kelestarian sungai dan alam sekitar pada hari ini yang mana terdapat tiga cara untuk mendekati persoalan ini; pertama ialah amalan pengawalseliaan melalui penggubalan undang-undang dalam dewan perundangan; kedua ialah penyelidikan, iaitu mempelajari tentang kelestarian alam sekitar; ketiga ialah mengetuk hati dan minda masyarakat melalui kaedah penulisan, karya yang khusus seperti muzik atau dalam bentuk puisi.

Terdahulu, Naib Canselor UNIMAS, YBrs. Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa puisi bukan sekadar suara yang menggambarkan keindahan alam, tetapi puisi juga menyentuh hati kita untuk menghargai, melindungi dan memelihara bumi yang merupakan anugerah Allah SWT kepada kita semua.

“Program seperti ini bukan sahaja mendekatkan kita dengan seni dan sastera, tetapi juga mengingatkan kita semua tentang tanggungjawab sosial yang perlu dipikul bersama,” ujarnya lagi.

Selain itu, beliau percaya bahawa karya puisi yang dipersembahkan mempunyai nilai keinsafan yang tinggi dan dorongan untuk terus menjaga alam sekitar.

Jelas beliau,

Saya berharap malam ini menjadi pemangkin untuk kita semua lebih menghargai hubungan harmoni antara manusia dengan alam.

Kita perlu menjadi ejen pengubah yang mampu memupuk kesedaran dan tindakan positif terhadap kelestarian alam.

Naib Canselor UNIMAS, YBrs. Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Pada masa yang sama, antara pengisian program dalam majlis tersebut termasuklah persembahan puisi alam sekitar menerusi penampilan Sasterawan Sarawak ke-4, Encik Jong Chian Lai dan Sasterawan Sarawak ke-6, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi serta para penyair terkemuka seperti Haji Saiee Driss, Norzahan Bahani, Saifulnizam Wagiran, Khalid Husseini Tuah dan Adzharye Johari.

Sasterawan Sarawak ke-6, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi ketika mendeklamasikan sajak “Sungai Rajang” karya penyair, Jeli Bohari Biha dan “Senja di Sungai Sarawak III” karya penyair, Pharo Abdul Hakim.
Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai turut tidak ketinggalan mendeklamasikan sajak yang bertajuk “Nyanyian Sungaiku”.

Malah, program tersebut turut dimeriahkan lagi persembahan lagu puisi daripada karyawan DBP Cawangan Sarawak, Encik Mohamad Faizal Jamil dan Encik Shamsul Idzam Jamil serta dendangan syair yang memukau para hadirin oleh penyair, Muhammad Fauzan Iz’aan Muhamad Pu’ad.

Persembahan lagu puisi “Pak Mail” daripada karyawan DBP Cawangan Sarawak.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa, YBrs. Dr. Ir. Ts. Haji Mohmad Asari Daud, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Pengerusi PENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS, YBrs. Dr. Dilah Tuah.

Kredit Foto: Faculty of Education, Language & Communication UNIMAS
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi