Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 13 Januari 2025, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gombak – Pemilihan kepimpinan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) bagi sesi 2025 – 2027 yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Sabtu lalu menyaksikan YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim atau Wanrazuhar mengekalkan jawatan Presiden PEMUISI, manakala penerima SEA Write Award, YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin terpilih sebagai Timbalan Presiden.

Pemilihan tersebut dilaksanakan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-6 PEMUISI yang dihadiri oleh 100 orang ahli PEMUISI untuk membincangkan program persatuan yang bakal dilaksanakan pada tahun ini dan masa hadapan.

Selain mereka berdua, Ketua Jabatan Bahasa, Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist, YBrs. Dr. Sundarappandian Velusamy turut diumumkan sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Jabatan Pusat Pembangunan Kelestarian Seni dan Budaya UIAM, YBrs. Puan Roslimna Mohmmed Saad sebagai penolongnya.

Mantan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, YBhg. Datuk Wan Aziz Wan Hamzah pula menjawat jawatan sebagai Bendahari manakala penolongnya ialah Pensyarah Jabatan Bahasa Cina, Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist, YBrs. Encik Tan Chin Wei.

Profesor Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Nordin

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Tetap PEMUISI, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Nordin dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau menyertai PEMUISI kerana tertarik dengan kegigihan ahlinya dalam usaha melaksanakan pelbagai aktiviti dan program pada peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya mengikuti perkembangan PEMUISI dan amat berpuas hati dengan pencapaian PEMUISI sejak ditubuhkan lebih enam tahun lalu, malah PEMUISI berjaya mencetus perisytiharan Hari Puisi Malaysia (HPM) oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada tahun 2021 dan terus disambut setiap 13 Jun sehingga kini,” katanya.

Menurut beliau, perisytiharan tersebut menandakan pengiktirafan kerajaan kepada golongan pemuisi tanah air, sesuai dengan peranan penting puisi dalam usaha membentuk nilai murni dan cara hidup harmoni.

Jelasnya lagi, PEMUISI memainkan peranan penting pada peringkat antarabangsa melalui “Kerabat Pemuisi Sedunia”, yang sehingga kini disertai oleh 28 buah organisasi daripada 20 buah negara.

Antara program yang telah berjaya dianjurkan termasuklah Konvensyen Pemuisi Sedunia (KONPES), yang terakhir di Bachok Kelantan pada bulan September 2023, Baca Puisi Keamanan Dunia 20 Buah Negara, Baca Puisi Palestin, Baca Puisi Nanggala, Baca Puisi Uyghur, dan Baca Puisi Rohingya.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah atas kecaknaan PEMUISI terhadap perkembangan yang berlaku di dunia hari ini menepati visi PEMUISI, iaitu “Suara Kemanusiaan Sejagat”.

Sementara itu, Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim yang turut

Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim atau Wanrazuhar

berucap, menyeru agar setiap ahli Exco yang dilantik memberikan komitmen yang sewajarnya agar setiap program PEMUISI dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“PEMUISI bergerak secara berpasukan. Maka setiap Ahli Exco yang menerima pemilihan ini seharusnya mengambil tanggungjawab bersama agar setiap program anjuran PEMUISI dapat dilaksanakan dengan penuh berkesan,” ujar Radzuan.

Berikut ialah senarai kepimpinan PEMUISI bagi sesi 2025 – 2027:

Presiden: Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim@Wanrazuhar

Timbalan Presiden: Datuk Dr. Lim Swee Tin

 Pengerusi Tetap: Dr. Ferri Anugerah Makmur (Aktivis Sastera dan Ahli Perniagaan)

Timbalan Pengerusi Tetap: Profesor Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Nordin (Timbalan Rektor UIAM)

Setiausaha Agung: Dr. Sundarappandian Velusamy (Ketua Jabatan Bahasa, Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist)

Penolong Setiausaha Agung: Puan Roslimna Mohmmed Saad (Ketua Jabatan Pusat Pembangunan Kelestarian Seni dan Budaya UIAM)

Bendahari: Datuk Wan Aziz Wan Hamzah (Mantan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis)

Penolong Bendahari: Encik Tan Chin Wei (Pensyarah di Jabatan Bahasa Cina, Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist)

Exco PEMUISI

Encik Vasanthan Gopalan (Pengarah Firdaus Press and Distributors)

Datin Seri Nurmala Mas’odi (Ahli Korporat)

Encik Mohamad Letfee Ahmad (Mantan Pengurus Program Bernama TV)

Dr. Shafa’atussara Silahuddin (Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya)

Puan Juzaila Ab Sattar (Pengarah Jabatan Ukur Malaysia)

Puan Siti Nabilah Kasdi (Penolong Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia)

Puan Siti Naquiah Mohamad Ismail (Guru Sekolah Seni Malaysia, Johor)

Encik Umar Mokhtar Abdullah (Ahli Perniagaan)

 Pemeriksa Kira-kira

Puan Nor Asiya Nasir (Peguam)

Puan Raihan Abdul Razak (Ahli Perniagaan)

Kredit Foto: PEMUISI
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi