Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Anugerah Sastera Negara (ASN) merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan bertaraf negara kepada tokoh sasterawan yang masih hidup dan menulis dalam bahasa Melayu serta memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan kesusasteraan kebangsaan.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan ini diberikan atas usaha dan pelibatan sasterawan dalam penghasilan karya sastera sepanjang hayat.
“Tokoh ASN yang membawa gelaran Sasterawan Negara (SN) dipilih berdasarkan sumbangan yang cemerlang dan berterusan mereka dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi,” katanya.
Tambahnya, SN merupakan individu yang mempunyai ketinggian ilmu, pemikiran dan semangat cinta akan bahasa dan sastera kebangsaan.
“Karya yang dihasilkan oleh SN dapat membentuk pemikiran dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan dan pembangunan negara yang dapat memberikan atau memperluas perspektif baharu dalam bidang kesusasteraan,” katanya.
Pencalonan ASN terbuka dan perlu dikemukakan oleh badan atau institusi yang sah dan berdaftar serta orang perseorangan yang berwibawa dalam bidang sastera tanpa ditetapkan syarat umur.
Sasterawan yang dicalonkan mestilah warganegara Malaysia yang masih hidup, menghasilkan karya kreatif dalam bahasa Melayu seperti novel, cerpen, drama dan puisi yang mendorong ke arah pembinaan negara bangsa. Manakala penulisan lain seperti esei, kritikan, autobiografi, biografi dan kegiatan sastera pula dianggap sebagai kelebihan kepada calon.
Pada masa yang sama, keterlibatan calon dalam kegiatan kesusasteraan lainnya seperti kegiatan bersama-sama dengan persuratan penulis atau akademik yang penting dan berpengaruh turut diambil kira dalam penilaian.
Proses pemilihan ASN dilaksanakan oleh para panel penilai yang dilantik dalam kalangan cerdik pandai daripada pelbagai bidang.
Sebagai rekod, sejak pelaksanaan pemililihan ASN dari tahun 1981, sebanyak 15 orang tokoh telah dikurniakan pengiktirafan sebagai SN.