Oleh Marsli N.O
10 Disember 2024, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O menyampaikan nasihat kepada penulis pemula, sebelum menulis, eloklah membaca dan memilih untuk menjadi pembaca yang teliti.

Dengan hal demikian, kita selaku pembaca akan jadi pembaca yang tidak mudah percaya secara membuta tuli mengenai apa-apa sahaja yang dituliskan oleh seorang penulis.

Tahun 2013, kurang lebih 11 tahun yang lalu, saya pernah menulis dan menyiarkan di ruang maya sebuah rencana pendek mengenai perlunya membaca kepada sesiapa yang ingin menjadi penulis.

Tulisan itu sebenarnya bermula sebagai kertas percakapan ringkas yang saya bacakan di hadapan peserta sebuah bengkel penulisan di Melaka pada tahun yang sama, dan kemudian saya lanjutkan lagi untuk disiarkan di ruang maya.

Hari ini, tulisan tersebut muncul kembali di dinding maya saya. Kerana merasakan sebahagian besar percakapan saya itu masih berhubungan dengan persoalan yang dihadapi oleh para pemula yang berminat hendak menjadi penulis hari ini, saya memutuskan untuk memadamkan siarannya di ruang maya dan selepas memperbaiki serta memanjangkan mana-mana yang dirasakan perlu, saya ingin berkongsi semula dengan pembaca di portal ini.

Selalunya, di depan anak-anak bengkel, saya mengatakan hal ini –

Hendak menjadi penulis mestilah bermula begini: baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca,baca, baca, baca, baca, menulis, menulis, menulis, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca.

Saya sedar, selalunya anak-anak bengkel ini agak seketika melongo menatap deretan huruf demi huruf yang tertera di layar putih di dalam dewan kuliah. Dan untuk tidak terlalu lama, saya membiarkan anak-anak ini terus tertanya-tanya dan ditinggalkan bersendirian tanpa sebarang jawapan.

Lalu, saya akan lanjut memperjelaskan. Saya pun kata: menulis seumpama mencurahkan semula isi yang ada di dalam bejana. Tanpa memiliki isi di dalamnya, apa yang mahu dicurahkan keluar?

Maka, tegas saya, bejana itu mesti diisi dan dipenuhkan dahulu. Namun begitu, setelah berkali-kali dicurah, pasti sahaja isi di dalam bejana itu akan semakin menjadi sedikit dan kosong. Justeru itulah, kekosongan itu perlu diisi atau ditambah lagi dan penambahan atau pengisian semula ini tidak lain dan tidak bukan adalah dengan cara kembali membaca dan terus membaca, sebelum kembali menyambung kepada kerja penulisan yang seterusnya.

Begitulah saya memberikan perumpamaan dan contoh kepada anak-anak bengkel ini.

Saya fikir, kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang mengenal saya, atau yang membaca tulisan-tulisan di ruang maya saya ini, yang bercita-cita atau berniat mahu menjadi penulis, juga perlu dan malah sudah sejak lama melaksanakan hal yang sama.

Untuk menulis atau mulai menulis, anda atau kalian perlulah melakukan hal ini: baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, dan baca.

Tanpa melakukan hal ini, saya tidak yakin bahawa kalian akan dapat mula menulis dan menjadi penulis.

Membaca ialah satu kemestian dan keperluan kepada semua orang. Apatah lagi kepada penulis.

Akan tetapi, membaca tidak asal membaca sahaja. Bahan dan isi yang dibaca perlu juga diperhitungkan nilai, buruk baik dan kemanfaatannya kepada diri kita yang membaca. Oleh itu, kita selaku pembaca perlu sentiasa bersifat waspada, menjadi pemilih dan peneliti secara kritis, merenungkan benar salah, buruk dan baik secara saksama.

Dengan hal demikian, kita selaku pembaca akan jadi pembaca yang tidak mudah percaya secara membuta tuli mengenai apa-apa sahaja yang dituliskan oleh seorang penulis. Kita akan meneliti latar belakang, kewibawaan, kesahihan, sumber rujukan dalam setiap tulisan yang sedang dan akan dibaca. Setidak-tidaknya, secara begini, kita tidak mudah menjadi pembaca yang taksub kepada seseorang penulis, kelompok, ideologi, atau kepartaian.

Sebagai seorang pembaca yang teliti, saksama dan kritis, pasti pada pemerhatian kita akan melihat, betapa penulis begini akan mencela sesiapa saja yang dia hendak dan karya siapa yang dia ingin kutuk serta hina.

Sebagai pembaca kritis, teliti dan bersikap saksama, pasti akan kita temui ada orang yang menulis dengan pilihan hanya fikir dan pendapat dia sahaja yang benar dan betul, sementara semua orang lain tidak cerdik dan mesti mengakuri semua pendapat atau buah fikirannya.

Tetapi tentu sahajalah kita pembaca bukan kerbau tidak tahu menilai serta berfikir. Sebagai seorang pembaca yang teliti, saksama dan kritis, pasti pada pemerhatian kita akan melihat, betapa penulis begini akan mencela sesiapa saja yang dia hendak dan karya siapa yang dia ingin kutuk serta hina.

Memang itu hak dia. Apalagi jika berselindung sebalik gelar akademik, kerana kebetulan, di pangkal namanya, berjejal gelar sebagai: penilai, pengkaji dan pengkritik sastera. Akan tetapi, penulis bergelar dan perasan hanya dirinya yang hebat ini sengaja buat lupa atau memang lupa. Tidak semua orang boleh dia perbodohkan dan akan percaya semua yang ditulisnya dan dicakapnya.

Namun sekali lagi. Walau apa-apa pun kita yang ingin menulis tetap perlu sentiasa amalkan: baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, menulis, menulis, menulis, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca!

Memanglah saya bukan peramal atau penentu yang memiliki kuasa ajaib yang boleh menentukan sama ada anda atau sesiapa sahaja yang saya suka, kenal dan berikan sedikit nasihat akan secara automatik boleh menulis dan akan menjadi penulis.

Sama sekali tidak, kerana yang menentukan seseorang itu boleh menjadi penulis atau tidak ialah diri yang berkenaan itu sendiri. Saya, atau orang yang lain, hanya sekadar sedikit bahagian yang mungkin boleh menyumbang semacam semangat, dorongan atau lowongan permulaan untuk individu berkenaan mulai menulis.

Selebihnya bergantung pada semangat dan daya usaha individu tersebut secara persendirian, sama ada mahu mula menulis, terus menulis dan seterusnya.

Saya mengatakan hal ini berdasarkan pemerhatian dan sedikit pengalaman.

Beberapa orang yang saya tahu dan kenal, yang pernah berhubung dan mengenali saya, atau yang pernah meminta nasihat daripada saya, akhirnya saya melihat mereka tidak ke mana-mana juga, walau pada mulanya semangat mereka begitu berkobar-kobar dan telah berjaya menyiarkan sejumlah tulisan mereka di akhbar atau majalah.

Apabila ditanyakan kepada mereka untuk mendapatkan kepastian, jawapan yang saya terima (dibuat suatu kesimpulan) tidaklah sangat mengejutkan saya: rata-ratanya, mereka sedikit membaca dan ada antaranya tidak pun memiliki koleksi buku sasteranya yang jelas dan bagus!

Jadi jika demikian, tanpa membaca dan terus membaca, jangan salahkan sesiapa kalau anda atau kalian sudah tidak mampu terus menulis, tentunya, dengan maksud untuk menulis yang lebih baik, teratur dan bermutu.

Bayangkan, kalau anda atau kalian sendiri tidak berminat untuk mempertingkatkan kecerdikan, keupayaan dan mutu pencapaian intelek anda atau kalian sendiri, kenapa pula berharap orang lain yang akan melakukannya untuk anda dan kalian?

Kenapa? Alangkah bebalnya.

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].

Kredit Foto: Firus Fansuri
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.