Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMuhamad Luqman memberi reaksi balas terhadap isu siapa yang layak menerima gelaran Sasterawan Negara ke-16.
Isu sama ada dia ada ijazah atau doktor falsafah adalah sangat dangkal. Sebelum ini pun ramai juga SN kita dinobat tanpa gelaran doktor falsafah!
Perbincangan mengenai Sasterawan Negara ke-16 sudah mula rancak di pelbagai media, malah dalam kalangan penggiat sastera, isu itu bukan saja hangat tetapi penuh spekulasi.
Bagi sebahagian penulis, penganugerahan Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa kepada gelaran Sasterawan Negara (SN), diibaratkan sebagai “pencapaian seumur hidup”. Jadi, tanpa memikirkan di mana letaknya kedudukan karya mereka, ada yang tidak segan silu melobi dengan pelbagai teknik dan taktik.
Namun sebahagian yang lain, tidak berminat untuk mendapatkannya kerana keutamaan mereka tetap kepada menghasilkan karya yang berkualiti. Ditambah dengan kecenderungan tidak mengambil tahu “politik” dunia sastera itu sendiri, justeru walaupun karya yang dihasilkan sangat baik dan memenangi pelbagai anugerah, kelompok ini tidak akan ada sesiapa yang sudi mencalonkan atau mereka sendiri pun tidak berminat untuk mencalonkan diri.
ASN ialah anugerah yang diberikan kepada pengarang sastera berbahasa Melayu di Malaysia. Anugerah ini diadakan pada tahun 1977 dengan kesungguhan Perdana Menteri ketika itu, YAB Tun Hussein Onn yang menginginkan sebuah hadiah sastera yang berprestij demi mengangkat martabat sastera di Malaysia.
Jadi, seharusnya, penggiat sastera di Malaysia berterima kasih atas kesudian kerajaan untuk memberi pengiktirafan kepada golongan penulis. Apatah lagi, sejarah pembinaan negara ini dan kebangkitan semangat kebangsaan memang sangat intim dengan golongan penulis dan wartawan.
Walau bagaimanapun, sesudah anugerah itu berusia 43 tahun kini, terlalu banyak polemik yang melingkari penganugerahan itu menjadikannya serba tidak kena. Setiap kali pengumuman penerima dibuat, tetap akan ada cakap-cakap belakang yang menafikan kewibawaan pengarang yang terpilih.
Antaranya termasuklah isu kualiti karya, ketiadaan karya yang kuat juga isu-isu yang berkaitan dengan “merit kokurikulum”. Malah, yang paling popular ialah isu usia, tua muda. Mengapa hal ini terjadi? Pertama-tamanya, kita perlu melihat pada faktor yang diambil kira oleh juri. Dalam hal ini, seharusnya kualiti karya itu diberikan keutamaan. Kualiti itu perlu diukur kepada berapa banyak anugerah yang diterima tidak kira pada peringkat Hadiah Sastera Perdana Malaysia, hadiah sastera negeri atau sayembara bersifat kebangsaan, dan sejauh mana karya itu diperkatakan.
Seorang penulis kerjanya menulis, jadi faktor kualiti karya perlulah diberikan keutamaan. Isu sama ada dia ada ijazah atau doktor falsafah adalah sangat dangkal. Sebelum ini pun ramai juga SN kita dinobat tanpa gelaran doktor falsafah!
Kemudian, yang paling aneh jika turut diambil kira ialah usia pengarang. Terdapat kecenderungan hari ini, SN dinobat selalunya berusia 70 tahun ke atas. Sedangkan sebelum ini, ada saja SN kita yang diangkat pada usia 40-an dan 50-an, seperti SN Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh dan Datuk Seri A. Samad Said. Jadi, adakah faktor itu sangat perlu dijadikan sandaran? Tidak kira usianya berapa tetapi jika dia boleh menghasilkan karya yang berkualiti, maka mengapa tidak dinobatkan? Mengapa perlu ada sentimen, oh dia masih muda! Adakah berdosa menjadi muda?
Malah sebenarnya, dalam kalangan penggiat dan birokrat sastera, definisi muda itu pun sangat absurd. Hal ini disebabkan ada sarjana melihat pengarang besar seperti S.M. Zakir atau Zaen Kasturi sebagai “muda”. Jika mereka itu muda, adakah golongan lapisan di bawah mereka seperti Faisal Tehrani, Azman Hussin dan Nisah Haron dianggap masih “remaja”?
Isu kualiti karya juga perlu diambil kira. Sering kali apabila seseorang penulis dinamakan sebagai SN atau penerima SEA Write Award, khalayak akan tertanya-tanya, apakah karyanya? Hal ini boleh berpunca daripada kelemahan masyarakat, misalnya mereka tidak banyak membaca atau mereka hanya menikmati karya penulis yang digemari sahaja. Jadi, mereka akan terlepas pandang karya-karya si penerima tadi.
Namun dari satu segi yang lain, memang sebahagian penerima itu tidak pun ada karya yang memenangi HSPM misalnya, atau diperkatakan oleh khalayak. HSPM selalu menjadi kayu ukur karya yang baik kerana anugerah prestij ini terbuka kepada semua genre, tidak ada tema dan pemilihannya melalui suatu penilaian khas untuk semua karya yang terbit pada tahun pencalonan.
ASN juga sebenarnya dibalut oleh kekeliruan apabila terlalu ramai orang yang “perasan” yang mereka ialah pengarang dan layak dicalonkan, lalu terjadilah lobi-melobi. Maka, berbondong-bondonglah yang melobi dan membabitkan diri dengan hal-hal yang berkaitan untuk memperlihatkan mereka “layak”.
Namun pada hakikatnya, semua pihak mahu anugerah itu dijayakan dan diadakan atas pelbagai faktor, misalnya kerana kelangsungan dan bajet tahunan. Jadi, tidak ada masalah untuk memilih sesiapa pun atas dasar itu. Namun begitu, jika pegangan seperti itu menjadi taruhan, sayang sekali jika perlahan-lahan hal ini akan membunuh kualiti dan maksud kesusasteraan.
Justeru, jika anda rasa layak untuk bergelar SN, hantar saja pencalonan, untung sabut timbul untung batu tenggelam, tapi jika anda merasakan ASN sudah semakin hilang prestijnya, anda juga mungkin tidak salah!
_________________________
Muhamad Luqman ialah orang muda, pembaca dan pengikut perkembangan sastera kebangsaan.