Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Muzikalisasi Puisi Sasterawan Negara Baha Zain yang berlangsung di Dewan Sri Tanjung, Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin, Universiti Malaya semalam menyaksikan pakar puisi rejang, YBrs. Tuan Haji Ab. Rani Embi dan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron menerima anugerah khas.

Tuan Haji Ab. Rani Embi berasal dari Melaka dan dikenali sebagai seorang yang tekun melestarikan puisi warisan khususnya rejang telah menerima Anugerah Khas Tokoh Rejang dengan membawa pulang sijil, cenderamata dan wang tunai sebanyak RM1000.
Beliau merupakan tokoh yang masih bertahan dan terus berjuang memelihara bidang puisi warisan tersebut, selain melahirkan ramai generasi pelapis supaya tidak pupus ditelan zaman.
Selain itu, Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron berasal dari Johor yang kini menerajui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Pengerusi Lembaga Pengarah TV Alhijrah turut menerima Anugerah Khas Empirikal Syair Melayu dan menerima sijil, cenderamata serta wang tunai sebanyak RM10 000.
Anugerah tersebut diberikan bagi menghargai segala usaha dan pengorbanan beliau sebagai perintis bagi acara Syair Alam Melayu Nusantara pada tahun 2016 yang telah membawa kegemilangan dendangan syair pelbagai irama menampilkan pendendang syair dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.
Malah, para ahli akademik menyifatkan acara tersebut sebagai penanda aras kepada bidang dendangan syair untuk terus melestarikannya dalam pelbagai majlis di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pengumuman penerima kedua-dua anugerah khas tersebut diumumkan oleh Pengetua Akademi Syair Melayu Nusantara, YBrs. Dr. Shafa’atussara Silahudin dan disampaikan oleh Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan.
Sementara itu, perasmian program Muzikalisasi Puisi Sasterawan Negara Baha Zain telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), YBrs. Tuan Haji Mohd Amran Mohd Haris.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, “Dengan adanya platform seumpama ini, kita dapat berhimpun dan terus memperjuangkan karya-karya puisi dan sastera daripada mereka yang telah menyumbang kepada bangsa dan negara kita.”
Beliau berharap seni dan budaya yang menjadi warisan negara dapat diamalkan serta terus dipelihara demi menjulang martabat bangsa, membina ukhuwah rakyat dan seterusnya menjadikan negara ini sentiasa hidup harmoni.

Di samping itu, program tersebut diserikan dengan pelbagai persembahan puisi karya Sasterawan Negara ke-12, YBhg. Dato’ Dr. Baharuddin Zainal atau Baha Zain, seperti teater puisi yang bertajuk “Menangguhkan Kebenaran”, dendangan Syair Rakis, nyanyian pantun dan lagu.

Penganjuran program Muzikalisasi Puisi Sasterawan Negara Baha Zain oleh JKKN dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin Universiti Malaya, Akademi Syair Melayu Nusantara dan Anak Kayan sebagai satu daripada usaha untuk mengangkat martabat bahasa dan budaya menerusi instrumen kreatif.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus; Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Encik Rahimi Arifin; Pengetua Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin, Universiti Malaya, YBrs. Encik Mohd Hairolnezam Kahmis; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), JKKN, YBrs. Encik Mohd Radzi Omar; Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), JKKN, YBrs. Encik Rosnan Nordin, para pensyarah, dan mahasiswa.
