Diterbitkan pada 14 Jun 2021, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menjadi penulis tidak bermaksud seseorang itu hanya berkhayal dan merakamkan perasaan dan emosinya, sebaliknya mestilah berani untuk menentang hal yang berlawanan dengan kepentingan nasional. Kerja menulis seharusnya menjadi perjuangan seperti yang dibuat oleh penulis Malaysia ketika menentang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga polisi itu akhirnya dibubarkan.

Sasterawan Negara Dato’ Baharuddin Zainal atau Baha Zain sewaktu menjadi tetamu dalam acara program Kalam Karyawan “Dari Kertas Catatan Tengah Malam” pada 14 Jun 2021, anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), berkata tidak guna menjadi penulis jika hal sebegitu tidak diperjuangkan.

“Penulis seharusnya mempunyai keberanian menyebut, termasuklah kepada pemerintah jika berkaitan hal-hal yang melanggar kepentingan nasional. Saya berterima kasih kepada rakan penulis, misalnya dalam perjuangan PPSMI, mereka mempunyai keberanian itu,” katanya.

Baha Zain berkata, sastera Malaysia mempunyai sejarah yang panjang dan ia berkembang dengan baik dan hari ini mempunyai ramai penulis pelapis.

Katanya, berbanding zaman ketika beliau mula menulis, hari ini kebanyakan penulis berada dalam zaman mewah dan mudah.

“Ketika saya mula menulis pada tahun 60-an, zaman itu serba kekurangan. Namun pendidikan memberikan saya peluang melihat persekitaran dengan lebih peka. Saya menulis untuk merakamkan hal-hal yang membebankan emosi dan pemikiran. Puisi saya adalah rakaman persekitaran,” katanya.

Tegas Baha Zain, maka itulah kebanyakan puisinya puisi protes menentang pemerintah. Namun terdapat juga puisi yang ditulis terhasil daripada kasih sayang dan pemerhatiannya kepada isteri, ibu dan bapanya.

“Banyak puisi protes saya itu mengungkapkan hal bahasa. Saya kira ini penting kerana sastera adalah ungkapan kebudayaan. Budaya itu dilihat melalui bahasa yang di dalamnya adalah cerminan nilai dan budi,” katanya.

Katanya, puisi tentang isterinya pula terlahir daripada rasa terima kasih atas pengorbanan wanita itu sepanjang perkahwinan mereka. “Isteri saya sangat memahami dan bertoleransi. Jika ada penulis yang boleh berkarya dalam kebisingan, saya tidak. Saya sensitif pada kebisingan dan kerana pemahaman isteri sangat saya hargai. Beliau akan menjauhkan anak-anak ketika saya menulis. Beliau setia di sisi walaupun banyak masa saya ketika muda dihabiskan di luar menyertai bengkel dan kursus,” katanya.

Selain itu katanya, beliau juga terinspirasi dengan pengorbanan kedua-dua ibu bapanya yang membolehkannya mendapat pendidikan dan pekerjaan yang baik. Tambahnya, kehidupannya mewah dengan kasih sayang isteri dan kawan-kawan, apatah lagi budi baik mereka yang sudi menterjemahkan karyanya ke dalam bahasa Inggeris.

“Rakan saya, Sasterawan Negara Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh antara yang kerap menterjemahkan karya saya dalam bahasa Inggeris. Daripada terjemahan bahasa Inggeris itulah kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Jika hari ini saya dilihat berjaya, sebahagian besar kejayaan saya itu ialah hasil pengorbanan ibu bapa, isteri dan sokongan kawan-kawan,” katanya.

Acara Kalam Karyawan yang berlangsung selama dua jam lebih secara talian ini boleh ditonton di sini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi