6 Mei 2021, 10:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin mengambil perhatian beberapa isu yang timbul selepas Forum Sastera “Dunia Kritikan Sastera di Malaysia Lesu” pada 17 September 2020 di Dewan Bahasa dan Pustaka serta Fokus Dewan Sastera 02/2021 yang ditulis oleh Mana Sikana. Adakah kritikan sastera benar-benar tidak mampu disegarkan kembali atau memerlukan suatu sisi perspektif baharu untuk melihatnya “sihat” kembali?

Pada masa ini, ramai pengkritik prolifik yang telah berundur daripada menulis apa-apa lagi kritikan atas pelbagai sebab.

Bidang kritikan sastera Malaysia sekarang dianggap lesu. Terdapat juga yang mengatakannya telah mati, meskipun perkara ini masih boleh diperhalusi lagi. Kajian mendapati antara sebab bidang kritikan sastera Malaysia lesu ialah para pengkritik mengkritik karya kerana pilihan dan minat sendiri. Pelajar di universiti yang mempelajari sastera pula tidak dilatih menjadi pengkritik, tetapi hanya untuk mendapatkan ijazah dan mencari pekerjaan setimpal. Hal ini mungkin berlaku kerana bidang kritikan bukanlah satu bidang yang utama dalam pendidikan sastera di universiti. Secara pandangan naif, mungkin dengan adanya ijazah sarjana kritikan, akan lahirlah lebih ramai pengkritik sastera.

Pada masa ini, ramai pengkritik prolifik yang telah berundur daripada menulis apa-apa lagi kritikan atas pelbagai sebab. Yahaya Ismail misalnya, bagaikan merajuk kerana sering dibidas oleh penulis. Sebenarnya, para penulis wajar berterima kasih kepada Yahaya yang rajin mengkritik karya sastera pada era 1980-an. Kesilapan beberapa orang penulis ini secara tidak disedari telah merosakkan momentum kritikan sastera dan tanah air sejak 40 tahun lamanya.

Ramai pula yang menganggap bahawa kritikan sastera itu mesti tulisan yang ilmiah dan mesti dilahirkan oleh kalangan sarjana dari universiti. Hal ini juga merupakan satu kesilapan kerana tumpuan yang lebih penting ialah persoalan teks (yang diteliti) dan hujah-hujahnya. Dalam hal ini, sesiapa sahaja mampu menekuninya, hanya daya dia mahu menulis dan boleh menulis sahaja yang menjadi persoalannya. Tepuk dada tanya selera.

Sebenarnya pada era ini, kritikan (jika dikira begitu) masih hidup, tetapi kritikan “tidak rasmi”, iaitu catatan-catatan ulasan tentang sesebuah karya hanya berlegar-legar dalam ruang media sosial dan sesama kumpulan penulis. Malah, lebih menggusarkan lagi apabila pengkritik semasa tidak membicarakan karya penulis sekarang, sedangkan jika diperhatikan, sudah banyak yang lebih baik daripada karya-karya penulis era 1980-an.

Tambahan lagi, hubungan kebanyakan penulis-pengkritik pada hari ini sangat dingin. Pada era 1970-an dan 1980-an, penulis-pengkritik bersahabat dan boleh berbincang. Malangnya, hal ini kini nampaknya kurang diteruskan, malah tidak ada program atau inisiatif yang mampu mencetuskan pertemuan ini dengan sihat.

Kelesuan yang dirasakan mungkin kerana banyak kritikan yang terikat dengan teori dan perspektif teori. Pengarang pula, tidak memanfaatkan teori kajian sastera, barangkali kerana kreativiti mereka tidak memerlukan teori. Mungkin ada tetapi jarang yang mahu menggunakan teori kerana lebih mementingkan idea.

Perlu difahami bahawa “lesu” bererti “masih bernyawa” dan masih boleh dirancakkan kembali. Namun demikian, benarkah dunia kritikan sastera Malaysia sebenarnya hanya sudah lesu atau sememangnya, sudah mati? Jika lesu, bagaimanakah kita menyegarkannya semula, atau jika sudah mati, apakah kaedah untuk benar-benar menghidupkannya kembali?

Menurut penyair, deklamator dan pengkritik sastera terkenal tanah air, Dato’ Rahman Shaari, “lesu” dan “mati” itu adjektif pada keadaan, dan boleh disebutkan salah satunya. Jika lesu, boleh disegarkan kembali, tetapi kalau sudah mati, selesai.

Katanya, akan muncul kritikan teoritis yang hebat untuk membersihkan suasana sastera “ikut suka” yang kini menyubur di Facebook. Kritikan teoritis, katanya, akan menyatakan yang baik dan yang lemah secara umum.

Rahman memberi contoh, pengkritik akan menganggap bahawa sajak-sajak yang berima sehingga 15 baris memualkan, misalnya, “kini/ramai penakut dari pemberani/baik dalam tugas atau seni/baik saudagar atau tani/mereka bimbang rugi seguni/tiada untung teguran begini/dimarahi sana-sini/mereka mahukan pujian warna-warni/konon tokoh terbaik zaman ini”. Petikan ini merupakan contoh yang benar-benar menimbulkan rasa meluat. Kemudian, seorang pengkritik akan menggunakan teori untuk mengkritiknya secara habis-habisan. Di sinilah kritikan teoritis itu dapat dilaksanakan dengan bijak.

Jumlah lulusan universiti yang terlatih kini, jelas Rahman, lebih daripada mencukupi untuk melahirkan pengkritik. Tetapi, beliau bersama-sama Mana Sikana ialah pengkritik terakhir yang memilih cara kupasan, penekanan unsur seni dan tema karya. Hal yang sudah kurang dipakai oleh pengkritik kontemporari.

Bagi Rahman, kritikan perlu menyatakan kelemahan di samping kelebihan. Namun demikian, pada zaman media sosial sekarang, “kaki kacau” akan menjawab apabila kelemahannya ditunjukkan. Mereka menjawab dalam Facebook yang merupakan hasil fikiran tiga minit, padahal dalam polemik sastera dekad 1960-an dan 1970-an, hal-hal sebegini difikirkan selama seminggu, dengan suntingan editor majalah atau akhbar, berbanding Facebook yang tiada penyunting.

Bagi Rahman Shaari lagi, sajak-sajak kini tersiar bebas dan mudah menerima ucapan tahniah walaupun begitu banyak yang perlu dikritik agar mantap. Oleh sebab itu, dalam keadaan sekarang, para pengkritik saling berbincang dan bertanya, mahukah mereka mengkritik sajak “gergasi” itu.

Kata Rahman, kritikan dekad 1960-an dan 1970-an penuh sindiran dan hentaman, terutamanya oleh Mohd Affandi Hassan, Baha Zain, Mana Sikana, Yahaya Ismail, dan beliau sendiri. Baha misalnya menyebutkan, “plot cerpen tertentu karya pengarang A, adalah tangkai bunga kertas yang bermaksud dibengkok-bengkokkan sesuka hati tanpa sandaran ilmu.” Kini, ayat sedemikian menjadi tabu. Pengarang dan penyokong akan membalasnya di Facebook. Maka, perkara yang sebenarnya perlu ditekankan dalam kritikan sastera ialah ilmu sastera dan ilmu bantu, dan bukannya ilmu kritik.

Menurut Prof. Dr. Hashim Ismail pula, dunia kritikan sastera Malaysia sebenarnya belum mati lagi. Katanya, hal itu hanya anggapan yang disebabkan oleh wadah umum, seperti akhbar dan majalah yang menyiarkan ruang kritikan yang semakin terhad, selain mengalami perubahan zaman. Menurut Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Universiti Malaya itu, pengkritik yang tinggal hari ini hanyalah sarjana. Pengkitik yang bukan sarjana amat berkurangan. Anggapan tersebut timbul baginya kerana sarjana mempunyai wadahnya yang tersendiri, dan mereka menulis kritikan dalam jurnal akademik atau di seminar sahaja.

Baginya, kelesuan yang dirasakan mungkin kerana banyak kritikan yang terikat dengan teori dan perspektif teori. Pengarang pula, tidak memanfaatkan teori kajian sastera, barangkali kerana kreativiti mereka tidak memerlukan teori. Mungkin ada tetapi jarang yang mahu menggunakan teori kerana lebih mementingkan idea. Hal ini juga berlaku kerana banyak kritikan yang lebih mencari kebaikan dan mengelakkan kontroversi.

Kelesuan juga dirasai kerana segelintir sahaja yang mengkritik kelemahan karya, malah kebanyakannya seperti mencari kekuatan karya terlebih dahulu. Jika mengkritik kelemahan, ia hanya sedikit sahaja, dan berlapik.

Akhirnya, kritikan tidak lagi kritis, ataupun banyak terikat dengan format teori. Pengkritik tidak banyak berterus terang demi menjaga emosi pengarang kerana tulisan kritikan ilmiah telah menjadi format yang standard (dan entah siapa yang menjadikannya suatu standard yang harus diikuti): jangan emosi, dan tidak boleh berat sebelah, tetapi mesti berbahasa ilmiah. Justeru, kritikan menjadi mendatar, dan “mengikut buku” semata-mata.

_________________________

Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.