Oleh Nordin Saad
22 November 2024, 07:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nordin Saad menurunkan 15 keuntungan memilih penulisan sebagai hobi.

Jika anda memilih hobi untuk menulis atau berkarya, anda tergolong dalam kalangan orang yang beruntung ketimbang hobi-hobi yang lain.

Kamus Dewan mentafsirkan hobi sebagai kegemaran yang dilakukan pada waktu lapang dan bukan pekerjaan yang utama. Jelasnya, hobi merupakan tugas atau kerja sampingan yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai tugas atau pekerjaan utamanya yang lain. Tentulah, pekerjaan utamanya itu yang memberikan pendapatannya untuk menyara keluarga.

Adalah suatu kebiasaan pula, hobi ini dilakukan di luar masa tugas hakiki seseorang. Jenis hobi ini pula pelbagai. Ada orang yang memiliki hobi suka memikat burung. Jadi tidak hairanlah jika kita bertembung dengan pemikat burung yang membawa jebak diselimuti daun-daun hijau menuju ke sesuatu tempat untuk menunaikan hobinya.

Begitu juga dengan orang yang hobinya suka memancing. Dia akan sanggup pergi ke tempat yang sesuai dan banyak ikan untuk memancing. Malah, ada orang yang hobi memancing ini sanggup menyewa bot atau perahu semata-mata bagi melampiaskan hobinya itu, walaupun terpaksa berbelanja besar untuk menyewa bot atau perahu ke laut.

Ada pula orang yang hobinya berburu. Dia sanggup meredah hutan belantara semata-mata untuk melaksanakan hobinya itu. Manakala orang yang hobinya menyanyi pula, sudah tentu akan mengunjungi pusat-pusat karaoke untuk menunaikan hobinya atau berbelanja bukan sedikit untuk membeli peralatan karaokenya.

Sering kali pula, semasa hendak melaksanakan pelbagai jenis hobi ini, seseorang itu terpaksa pula menempuh pelbagai halangan dan cabaran. Ada halangan atau cabaran yang mendatangkan risiko, termasuk ditimpa kemalangan yang tidak diduga atau sebagainya.

Namun begitu, jika anda memilih hobi untuk menulis atau berkarya, anda tergolong dalam kalangan orang yang beruntung ketimbang hobi-hobi yang lain. Jadi, di sini disenaraikan beberapa keuntungan atau kebaikan yang diperoleh jika anda memilih hobi menulis atau berkarya, sama ada menulis karya kreatif atau bukan kreatif.

Pertama, kos untuk melaksanakan hobi menulis adalah murah. Hanya memerlukan pen atau pensel dan buku catatan. Untuk lebih memudahkan anda melunaskan hobi menulis ini, anda perlukan sebuah komputer atau telefon bimbit.

Walaupun untuk memiliki sebuah komputer atau telefon bimbit anda memerlukan kos yang tinggi, namun kebanyakannya sudah memiliki komputer atau telefon bimbit pun sebelum dia memilih hobi untuk menulis. Hal ini kerana komputer dan telefon bimbit kini sudah menjadi barang keperluan dan bukan lagi barang kemewahan. Malah, jika anda tidak mampu untuk memiliki komputer atau telefon bimbit, anda masih tetap boleh menunaikan hobi menulis ini sekadar memiliki sebatang pen dan sebuah buku catatan.

Hasil tulisan anda tidak akan habis atau hilang sampai bila-bila …

Kedua, hobi menulis ini boleh dilaksanakan di tempat yang paling selamat, iaitu di rumah atau di mana-mana sahaja tempat yang sesuai. Jadi, anda tidak perlu memikirkan atau bimbang tentang sebarang masalah, risiko atau keselamatan diri semasa melaksanakan hobi menulis ini.

Ketiga, keuntungan yang diperoleh jika anda memilih hobi menulis ini ialah kebebasan untuk menentukan masa melaksanakannya. Maksudnya, anda bebas menetapkan masa terluang anda sendiri untuk menulis. Jika anda mempunyai masa terluang pada waktu pagi, anda boleh menulis pada waktu pagi, sebaliknya jika anda memiliki masa terluang pada waktu petang, anda boleh melaksanakan hobi menulis ini pada waktu petang. Namun, kebiasaannya menulis sering dilaksanakan pada waktu malam.

Keempat, hobi menulis ini boleh dilaksanakan secara bersendirian. Jelasnya, anda boleh melaksanakan hobi menulis ini seorang diri tanpa memerlukan pasangan atau orang lain untuk bersama-sama anda semasa menulis. Malah, ketika bersendirian inilah masa yang amat sesuai dan diperlukan untuk menulis.

Kelima, anda boleh merahsiakan hobi menulis ini daripada orang lain dengan cara melaksanakannya bersendirian, tanpa diketahui oleh orang lain. Anda juga boleh menggunakan nama pena atau nama samaran untuk mengelakkan diri anda diketahui sebagai seorang penulis.

Keenam, anda akan memperoleh ganjaran, bayaran atau royalti jika anda menulis artikel, buku, cerpen, ataupun puisi, jika karya-karya anda itu tersiar atau dicetak oleh penerbit berwibawa untuk pasaran. Jika anda menulis untuk sesuatu sayembara atau pertandingan pula, pastinya anda akan memperoleh ganjaran berlipat ganda sekiranya karya anda itu dipilih sebagai pemenang.

Ketujuh, karya atau hasil penulisan anda itu merupakan harta intelek anda. Maknanya, jika anda menulis anda telah berjaya menghasilkan harta intelek yang tidak boleh ditiru atau diciplak oleh orang lain. Harta intelek anda ini akan kekal walaupun anda sudah tiada di dunia ini lagi.

Kelapan, menulis juga merupakan satu ibadah jika hasil tulisan anda itu mampu memberikan nasihat, pengajaran atau panduan berguna kepada pembaca.

Kesembilan, hasil tulisan anda tidak akan habis atau hilang sampai bila-bila. Hal ini amat berbeza sama sekali daripada hasil yang diperoleh daripada hobi yang lain. Contohnya, jika hobi anda memancing dan anda memperoleh ikan walau sebanyak mana pun, ikan tersebut akan habis atau tidak mampu disimpan dalam jangka masa yang lama.

Kesepuluh, bagi penulis karya kreatif atau karya sastera pula akan dapat mengekalkan warisan bangsa jika anda memilih menulis sebagai hobi.

Kesebelas, jika anda memilih menulis sebagai hobi ini, anda akan memiliki ruang atau saluran untuk anda melahirkan idea atau sesuatu teguran kepada orang lain.

Kedua belas, menulis juga akan sentiasa mendekatkan diri anda dengan ilmu. Hal ini disebabkan menulis memerlukan pembacaan yang lebih banyak dan luas. Banyak membaca pastinya akan menambah ilmu seseorang itu.

Ketiga belas, menulis merupakan rakaman zaman. Oleh itu, apabila anda memilih hobi menulis bermakna tanpa disedari, anda merupakan seorang perakam zaman. Karya anda akan mencatat sesuatu yang berlaku atau wujud pada ketika anda menghasilkan sesuatu karya.

Keempat belas, anda akan mendapat kepuasan yang tidak ternilai harganya apabila anda berjaya menulis atau menghasilkan karya. Malah, anda pastinya amat berbangga apabila karya anda ditatap atau dibaca oleh orang lain.

Kelima belas, sebagai penulis, setelah anda memilih menulis sebagai hobi, tanpa disedari anda sudah berjaya mengekalkan minat membaca. Bagi seseorang penulis, membaca merupakan faktor penting untuk menjadi seorang penulis yang berjaya dan hebat.

Oleh itu, terserahlah kepada anda, sama ada anda akan memilih menulis sebagai hobi anda. Namun, hobi seseorang itu bukanlah terhad kepada sesuatu hobi tertentu sahaja.

_________________________

Nordin Saad tinggal di Beseri, Perlis. Beliau banyak menghasilkan cerpen selain amat aktif dalam penulisan sastera remaja. Antara karyanya termasuk kumpulan puisi remaja Bercakap dengan Kucing (ITBM, 2014), kumpulan cerpen Bihun Goreng Berkuah Laksa (ITBM, 2015) dan Perempuan dalam Ombak (ITBM). Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Jun 2016.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.