Oleh Hidayyah AT Mizi
21 November 2024, 17:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi meneliti perincian pengkaryaan yang sempurna dengan memberikan reaksi terhadap penulisan Raja Yusoff Ariffin yang lepas.

Dulu, karya yang ditulis amat sukar dibaca oleh orang lain. Platform untuk seseorang penulis diiktiraf karyanya sangat terhad pada siaran media cetak. Sekarang, platform media sosial sentiasa ditatal. Karya sudah tidak janggal ditayang.

Dalam tulisan “Sempurnakan Karya Seni untuk Masyarakat”, perbincangan yang dibawa oleh Raja Yusoff Ariffin kembali menyentuh polemik “seni untuk masyarakat” melawan “seni untuk seni” dalam bidang penulisan. Padahal, hal yang beliau mahukan bukanlah gesaan agar penulis kembali menganuti “seni untuk masyarakat”, kerana dalam beberapa perenggan akhir tulisan tersebut, beliau mencari keseimbangan antara seni dengan mesej (kepada pembaca) dalam hala tuju sesebuah karya.

Saya tertanya-tanya, setelah berabad-abad berlalu, perlukah polemik sama dibawa dalam perbincangan sebagai tempelan? Tidak muakkah?

Konflik terbaharu kita sekarang sebenarnya ialah: kita mulai rasa muak dengan ulangan idea sama yang tidak disuntik dengan sebarang pembaharuan. Ridhwan Saidi pernah perkenalkan analogi tentang “makan” untuk menerangkan polemik ini. Katanya, “Makan Untuk Kenyang mewakili Seni Untuk Masyarakat; dan Makan Untuk Makan mewakili Seni Untuk Seni.”

Kalau kita kembali pada analogi yang dibentangkan oleh Ridhwan Saidi, memang pun – kadang-kadang kita mahu makan apa yang kita mahu makan. Kadang-kadang, kita makan sebab kita lapar dan perlu rasa kenyang. Akan tetapi, zaman berubah. Kita berada dalam zaman yang tidak terlalu lapar untuk kenyang dan terlalu banyak pilihan untuk makan apa yang kita mahu.

Saya ulang: sekarang, kita berada pada satu zaman yang kita tidak lapar dan boleh pilih mahu makan apa. Setiap hari, kita makan enam kali sehari. Tidak ada keterdesakan untuk apa-apa.

Dulu, karya yang ditulis amat sukar dibaca oleh orang lain. Platform untuk seseorang penulis diiktiraf karyanya sangat terhad pada siaran media cetak. Sekarang, platform media sosial sentiasa ditatal. Karya sudah tidak janggal ditayang. Penulis diiktiraf oleh kelompok pembaca dalam gelembung minat yang sama. Secara psikologi, kepuasan seorang penulis untuk karyanya dibaca akan selesai dengan mudah apabila karya dipertontonkan di media sosial (alam maya) tanpa perlu ditapis oleh editor.

Apalagi yang lebih penting selain rasa puas apabila karya itu dibaca? Naluri seorang penulis hadir bersama fitrah untuk dibaca, dan sedikit penghargaan atas usahanya. Dalam teknologi semasa, isu ini cepat selesai. Kita ada media sosial sebagai platform tanpa sempadan yang memungkinkan rasa puas ini mudah dilampiaskan.

Disebabkan oleh ruang ekspresi yang sudah tidak terhad, kerja penulisan sudah tidak istimewa. Konsep kita makan sebab mahu makan sudah tidak ada keterdesakan. Kalau dulu, mungkin kita tidak ada duit untuk beli makanan jadi apabila ada peluang, kita pilih apa kita mahu makan. Konsep kita makan untuk kenyang juga agak tidak relevan sekarang. Sebab kita sudah tidak lapar. Lalu, “kenyang” sudah tidak begitu besar ertinya.

Ketiadaan “keterdesakan” menyebabkan nilai puas memilih apa yang kita mahu makan berkurang, dan kesyukuran untuk rasa kenyang menjadi biasa. Makan kembali menjadi kebiasaan. Isu memenuhi cita rasa atau isu mengenyangkan perut yang lapar sudah hilang pemberatnya. Zaman ini, kita tidak hidup dalam konflik ini.

Jika disoroti dari sudut ini, kritikan Mana Sikana tahun lalu tentang lambakan sajak lemah sangat relevan kerana wujudnya kerisauan tentang nilai pengkaryaan yang turut menghilang dalam kalangan penulis. Kritikan tersebut cuba saya tanggapi kali ini dari sudut berbeza; bukan semata-mata membincangkan hal lambakan karya. Atas menyedari hal tersebut, saya menilai semula perbincangan terdahulu dan mencari dapatan baharu.

Daripada kefahaman tersebut, saya akui bahawa kita berdepan dengan krisis baharu. Krisis yang menggugah pengkaryaan dalam dunia kesusasteraan negara masa kini lebih tampak tentang ruang ekspresi tanpa had yang kita ada.

Oleh sebab ruang ekspresi tanpa sempadan dan tiada tapisan editor berpengalaman, lambakan karya lemah pun berlaku.

Kemelut cita rasa itu akan hadir apabila sesebuah karya selesai dibaca. Ketika karya-karya bercita rasa personal semakin mudah dicapai, penciptaannya menghilangkan “nilai masyarakat”. Sebab itulah, perbincangan akan kembali pada polemik dua cabang slogan seni ini. Sedangkan, untuk keluar menyelesaikan polemik, kita perlukan ekshibit baharu.

Jika kita kembali pada perbincangan yang dibentangkan oleh Raja Yusoff, beliau ada memberikan contoh tentang penciptaan sajak. Namun begitu, hal yang menjadikan sajak tidak sedap dan tidak difahami, bukanlah bentuknya. Setiap bentuk sajak memberikan kesan dan fungsi yang berbeza. Ada nilai yang berbeza.

Apabila membaca sajak, sama ada isinya difahami atau tidak; saya tidak begitu kisah. Hal ini lebih pada cara pembaca menanggapi bacaannya. Menarik juga kalau peti surat disangka monumen. Hal ini akan mewujudkan kesan lain terhadap binaan rumah secara keseluruhan. Akan tetapi, macam mana pun seseorang melihat peti surat sebagai monumen, ia tetap peti surat. Sampailah, surat sudah tidak boleh dimasukkan. Hanya boleh muat kunci. Ini barulah sudah jadi isu yang berbeza. Ini baru isu sajak gelap. Untuk isu sukar memahami karya, selagi tidak berubah fungsi, biarlah orang mahu berekspresi. Itu cara dia. Itu rumah dia.

Apa yang menjadi kerisauan saya bukanlah sama ada sesuatu tulisan itu sampai maknanya. Selain memahami makna, sajak turut membawa emosi. Sesebuah sajak dapat ditanggapi daripada pelbagai cara. Tidak ada peraturan tentang tatacara membaca sajak. Kita boleh membaca dan tidak faham, tapi masih suka. Jika tulisan itu menarik, kita akan suka. Begitu juga, kalau tulisan tidak menarik, orang tidak mahu baca.

Meski tulisan yang kononnya sebuah pengkaryaan Seni untuk Masyarakat, andai tidak dibaca, maka mesejnya tidak akan sampai kepada masyarakat. Hilang juga fungsi sajak tadi. Apa gunanya? Bukankah sama, syok sendiri?

Saya melihat pengkaryaan sebagai sebuah rumah. Jika kita merujuk polemik “seni untuk masyarakat” dan “seni untuk seni”, binaan rumah ini sangat jelas dilihat kerana perbincangannya lebih bertumpu pada bentuk.

Jadi, hal-hal berupa bentuk ini, kita cuma perlu bijak sedikit ketika berkarya. Jadikan karya kita menarik dan selesa dibaca. Nanti mesti ada orang datang berziarah dan masuk; sama ada mendiaminya atau berkunjung.

Contoh mudah; rumah teres sebagai contoh binaan dalam “seni untuk masyarakat”, dan rumah berbentuk nanas milik Spongebob sebagai contoh binaan dalam “seni untuk seni”.

Kedua-dua contoh binaan di atas berstruktur rumah. Hal yang menjadikan dua elemen ini sebuah “rumah yang elok dan selamat” adalah apabila kita kata rumah sebagai tempat berlindung, maka sifat rumah harus melindungi. Atapnya tidak bocor, misalnya.

Rumah yang elok ini, secara figuratif merupakan suatu poetic sense. Kalau poetic sense tiada, sajak akan jadi tidak sedap dan tidak menarik. Fungsi sajak pun terus hilang.

Setiap penciptaan layak diraikan. Untuk sesebuah penciptaan diraikan, karya tersebut perlu terlebih dahulu dihasilkan seperti kita mahu mengadakan perayaan.

Anna-Teresa Tymieniecka (1988) merujuk poetic sense sebagai kepekaan tinggi terhadap dunia di sekeliling yang dicirikan oleh persepsi pancaindera yang tajam, keupayaan untuk bertanya soalan, mengenal pasti corak, dan membuat hubungan logik dan intuitif. Hal ini melibatkan penggunaan imaginasi untuk menghubungkan elemen-elemen yang tidak berkaitan dengan cara yang tidak dijangka, mewujudkan kemungkinan baharu untuk memahami dunia. Deria ini penting untuk penyelesaian masalah kreatif, memperdalam sifat penemuan dan memupuk pendidikan abad ke-21 yang lebih imaginatif dan bersemangat.

Saya pula memahami poetic sense sebagai “sensasi puitika”, iaitu cara kita memasukkan enam sensasi kemanusiaan dalam seni berbahasa. Sensasi kemanusiaan terhasil daripada lima deria fizikal (mata, mulut, telinga, hidung, dan kulit) serta deria keenam (fikiran, emosi, intuitif, spiritual, dan logika). Karya yang dapat menyentuh kesemua indera ini, berupaya menghadirkan kesan sensasi ini sehingga kita berasa puas apabila selesai menelitinya.

Tanpa mengira bentuk sesebuah karya, kehadiran dan kesedaran tentang sensasi puitika ini akan membangkitkan rasa kedekatan antara karya dengan pembacanya sehingga membuatkan sesebuah karya itu tampil menarik apabila dibaca.

Karya ialah suatu bentuk penciptaan. Penciptaan sesuatu perkara bermula dengan apa yang kita perlu dan diakhiri dengan apa yang kita suka. Setiap penciptaan membawa fungsi yang berbeza. Setiap penciptaan layak diraikan. Untuk sesebuah penciptaan diraikan, karya tersebut perlu terlebih dahulu dihasilkan seperti kita mahu mengadakan perayaan.

Proses penciptaan sebuah karya sastera tidak hanya melibatkan teknik penulisan semata-mata, tetapi juga mengandungi elemen emosi, pemikiran dan pengalaman penulis.

Dalam kritikan sastera, penting untuk menilai keberkesanan sebuah karya melalui dua proses utama: proses penciptaan dan proses pembacaan. Kedua-duanya mempunyai peranan yang penting dalam menentukan impak dan makna sebuah karya sastera.

Proses penciptaan merujuk perancangan dan pelaksanaan karya oleh penulis, manakala proses pembacaan berkaitan dengan cara pembaca mentafsir dan menerima karya tersebut.

Proses penciptaan sebuah karya sastera tidak hanya melibatkan teknik penulisan semata-mata, tetapi juga mengandungi elemen emosi, pemikiran dan pengalaman penulis.

Walau bagaimanapun, keberkesanan sesebuah karya juga bergantung pada proses pembacaan yang dilakukan oleh penerimaan pembaca. Setiap pembaca membawa latar belakang, nilai dan pengalaman yang berbeza, yang mungkin mempengaruhi cara mereka memahami dan menilai karya sastera tersebut.

Dalam konteks ini, keberkesanan sebuah karya sastera tidak boleh dipisahkan daripada interaksi yang berlaku antara penulis dengan pembaca. Interaksi dua hala ini mencerminkan proses komunikasi yang berterusan. Penulis menyampaikan mesej melalui karyanya dan pembaca menerimanya dengan cara yang unik kepada diri mereka sendiri. Oleh itu, untuk menilai keberkesanan sesebuah karya sastera, penting untuk memahami bagaimana proses penciptaan dan proses pembacaan saling berhubungan dan saling mempengaruhi untuk membentuk pengalaman keseluruhan pembaca terhadap karya tersebut.

Contohnya dalam memahami simbol dalam sajak, ada kalanya kearifan penyair dalam permainan imej dan menghidupkan simbol baharu dalam sajak tidak begitu difahami maknanya oleh pembaca. Hal ini kerana wujudnya ruang kelabu dalam lapisan makna pembinaan sesebuah sajak. Namun ruang kelabu itu tidak akan mencacatkan pengkaryaan sekiranya karya tersebut dikupas dari sudut yang lebih luas. Interpretasi tanpa batas memungkinkan pembaca untuk membuka makna baharu, kerana makna dalam sesebuah karya tidak pernah terikat pada niat asal pemaknaan penulisnya.

Dalam dunia kesusasteraan moden yang dipenuhi dengan teknologi dan media sosial, paradigma hubungan antara penulis dengan pembaca telah mengalami perubahan yang signifikan. Fenomena ini bukan sahaja memudahkan penulis untuk menghasilkan karya dan mendapat pengiktirafan, tetapi juga mempengaruhi cara karya tersebut dinilai dan diterima oleh masyarakat pembaca.

Dalam menghadapi era baharu, penulis dan pembaca perlu berusaha untuk menyeimbangkan antara memanfaatkan kemudahan teknologi dengan memelihara standard kualiti kesusasteraan yang tinggi. Hanya dengan pendekatan yang seimbang ini, kita dapat memastikan bahawa wawasan dan keunikan sastera terus dapat dihargai dan dinikmati dalam masyarakat yang semakin berkembang maju.

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.