Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malam Puisi Riong BH pada tahun ini menyaksikan persembahan deklamasi puisi dan nyanyian yang menghimpunkan pemuisi, Sasterawan Negara dan selebriti tanah air, di samping penyertaan daripada anak-anak muda.
Program yang dianjurkan oleh Berita Harian (BH) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan The New Straits Times Press (NSTP) ini telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP semalam.
YB Fadhlina Sidek dalam ucapan perasmiannya berkata,
Saya melihat bahawa puisi harus terus dikembangkan sebagai sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan generasi pada hari ini tidak terkecuali mendapat karya bangsa yang sebenarnya boleh dilaksanakan sebagai alat perpaduan, kekuatan bangsa dan keluasan bahasa.

Menurut beliau, puisi merupakan sebuah cerita yang bergerak, pengalaman dan pengamatan sosial yang penting.
“Saya banyak mempelajarinya daripada Sasterawan Negara berkaitan dengan pengamatan sosial yang sangat tajam apabila mereka menulis dan mengulas puisi,” ujar beliau.
Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut cukup signifikan kerana Sasterawan Negara sebenarnya ialah cendekiawan yang memerhatikan dan juga meneliti isu-isu dalam masyarakat.
“Barang kali cabaran kita adalah untuk menghasilkan puisi yang benar-benar mempunyai kesan, impak, diulang dalam sejarah dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat dan juga generasi,” katanya lagi.
Ujar beliau,
Penganjuran program seperti ini harus diteruskan, begitu juga dengan pelibatan anak-anak muda yang pastinya diharapkan untuk terus bersama-sama mendukung acara seni kebangsaan, budaya serta bahasa.
Terdahulu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa program tersebut merupakan kerjasama tahunan antara DBP dengan Berita Harian dalam usaha untuk memartabatkan dan mengangkat sastera kebangsaan dalam kalangan organisasi media dan pihak swasta.

Program tersebut turut diserikan dengan persembahan tarian oleh kumpulan Jemari Tari, deklamasi puisi oleh pemuisi hebat seperti Muhammad Lutfi Ishak, Zaen Kasturi, Sasterawan Negara ke-15 YBhg. Dato’ Rahman Shaari; dan penampilan artis tempatan seperti Keka Nizam, Najwa Latif serta Marsha Milan.







Sementara itu, istimewanya program Malam Puisi Riong pada tahun ini, buat julung-julung kalinya diadakan Pertandingan Puisi Drama (PUISIDRA) bertemakan Malaysia MADANI. Pertandingan ini melibatkan penyertaan lapan buah kumpulan yang terdiri daripada pelajar pelbagai kaum.
Pertandingan tersebut menyaksikan Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul sebagai juara dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000. Aiman Afiq Ismail memenangi tempat kedua dengan wang tunai sebanyak RM2,000, manakala tempat ketiga pula disandang oleh Elvienie Petrus dengan hadiah wang tunai RM1,000, masing-masing dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Acara penyampaian hadiah bagi Pertandingan PUISIDRA telah disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, YBhg. Dato’ Dr. Syed Hussian Aljunid.



Program Malam Puisi Riong 2024 diadakan bertujuan untuk mendorong kelangsungan seni dan budaya, di samping memupuk patriotisme, aspirasi dan penghargaan terhadap tanah air.
Yang turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, YBrs. Encik Jasbant Singh; karyawan DBP, Media Prima Berhad, The NSTP dan Berita Harian serta mahasiswa universiti.