Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMarsli N.O berkongsi pengalamannya menyaring dan memilih bahan bacaan untuk pengalaman berkaryanya.
Penulis yang berlagak dan suka menyombongkan dirinya pula, memperagakan pengetahuan yang dia miliki dengan cara mempersulit sesuatu yang tidak perlu dan penting …
Sebagai penulis, demi kesihatan akal dan kesejahteraan hidupnya, selain perlu terus-menerus menulis selagi diberikan Allah SWT kekuatan daya fikiran, dirinya juga perlu membaca tanpa henti. Itulah yang saya faham, yakin dan sentiasa amalkan.
Membaca tidak sahaja kerana mahu mendapatkan maklumat serta menambahkan ilmu mengenai sesuatu, tetapi juga demi mengelakkan diri daripada dilanda kebodohan dan sikap taksub terhadap sesuatu isu dan perkara.
Namun demikian, kerana menyedari betapa kegiatan membaca saya tidaklah sekadar membaca yang bersifat iseng atau bersantai-santai, saya sentiasa berhati-hati dengan buku dan apa-apa yang akan dan sedang dibaca.
Setelah memasuki usia tua begini, saya fikir telah menjadi sedikit cerdik bukan semata-mata kerana jumlah buku dan apa-apa yang saya baca tetapi kerana jenis, kandungan buku dan maklumat terpilih yang telah dibaca.
Saya katakan begitu kerana pengalaman ketika membaca mengajarkan saya betapa seorang penulis yang jujur selalunya menulis, memberi dan berkongsi maklumat kepada pembaca tulisannya, tanpa niat mahu memperbodoh atau memperlekeh tahap pemikiran pembaca mereka.
Akan tetapi, penulis yang berlagak dan suka menyombongkan dirinya pula, memperagakan pengetahuan yang dia miliki dengan cara mempersulit sesuatu yang tidak perlu dan penting, supaya setiap orang yang membaca tulisannya akan berasa betapa bodohnya diri mereka dan kerana itu mesti sentiasa mengagumi tulisannya, yang pada hakikat sebenarnya ringan dan kosong.
Buku dan tulisan sejenis inilah yang saya elakkan daripada membacanya dan tidak akan membelinya. Buku yang saya maksudkan di sini ialah buku-buku bukan karya fiksyen kategori seni dan sastera.
Sebagai contoh, ketika membaca buku koleksi tulisan Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said dalam bukunya Antara Bulan dan Wira (DBP, 1992) atau kumpulan eseinya, Tangan yang Simpatik (Penerbitan Adabi, 1981) dengan tulisan seorang individu yang mengaku sebagai pemuka satu aliran di alam maya, akan amat terasa betapa Pak Samad menulis esei-eseinya dengan hati yang tulus untuk memberi dan berkongsi maklumat, sedangkan penulis yang semberangan menulis dengan rasa sombong yang tebal akan mendatangkan rasa mual!
Jika mengkritik sesebuah karya, tulisan A. Samad Said misalnya, tidak terasa kepada kita selaku pembaca betapa yang diperagakan ialah diri dan kesombongan seorang yang perasan dirinya “maha” dan segala tahu.
Demikian juga ketika membaca buku tulisan SN Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh. Misalnya buku Puitika Sastera Melayu (DBP, 2000). Tidak terasa kepada saya ketika membaca tulisan beliau dalam buku ini kita sedang berdepan dengan seorang yang menyatakan segala sesuatu yang tidak boleh dan tidak mesti dipercayai dan diterima tanpa soal.
Muhammad Haji Salleh dalam tulisannya lebih bersifat terbuka dan mendorong saya untuk berfikir lebih lanjut terhadap sesuatu idea atau persoalan yang dikemukakan. Membina hasrat untuk mengetahui lebih jauh dan lanjut mengenai segala sesuatu, berhubung dengan seni dan sastera, menjadi suatu ghairah yang mengasyikkan.
Bentuk dan bahan bacaan sejenis ini, yang dibaca dan ulang berkali-kali, memberikan saya banyak maklumat mengenai seni dan sastera yang digulati. Sekali gus mendidik diri agar belajar untuk lebih mencerdikkan diri sendiri dengan sedikit pengetahuan yang ada itu. Jika buah fikiran itu dikongsikan pula dengan orang lain dalam bentuk tulisan, hasik tulisannya dilaksanakan tanpa rasa angkuh hendak mendabik segala sesuatu dan berusaha membuang jauh perasaan diri sendiri untuk kelihatan sudah terlalu hebat dan bijaksana.
Pada akhirnya saya menyimpulkan, timbunan maklumat sedemikian, jika tidak benar-benar dimanfaatkan dengan segera, hanya akan menjadi longgokan yang membazirkan …
Namun demikian, sebagai pembaca buku fizikal dan maya yang suka mengumpul maklumat yang dirasakan penting, saya sering menyimpan terlalu banyak maklumat secara berlebihan dan ketika mahu menggunakannya semula sebagai rujukan, sering saya menghadapi dilema untuk menentukan mana satu yang benar-benar lebih penting untuk diutamakan.
Apabila belajar daripada kesilapan ini, saya akhirnya membataskan ruang pencarian dan pengumpulan. Kerana kebanyakan maklumat yang dikumpul dan ditemukan itu, pada akhirnya hanyalah pengulangan yang disampaikan dengan kata-kata berbeza tetapi menyampaikan maksud yang hampir dan serupa.
Pada akhirnya saya menyimpulkan, timbunan maklumat sedemikian, jika tidak benar-benar dimanfaatkan dengan segera, hanya akan menjadi longgokan yang membazirkan ruang penyimpanan dan waktu yang sepatutnya dimanfaatkan untuk sesuatu kegiatan yang lebih berfaedah.
Seorang pembaca yang menulis, tidak perlu menjadi pusat arkib penyimpan maklumat sepanjang waktu hidupnya, tetapi sebaliknya, dan lebih penting, perlu menulis dan memanfaatkan segala maklumat yang dimilikinya, sehingga menjadi sesuatu, buku atau sesuatu yang lain, yang boleh dimanfaatkan oleh pembaca yang lain pula!
Ketika begini jugalah saya teringat dan kembali tergerak untuk membaca maklumat mengenai pengetahuan dan pemahaman daripada buku Bagaimana Membaca Buku oleh Mortimer J. Adler dan Charles van Doren (terjemahan Rustam A. Sani; DBP, 1989).
Menurut Adler dan Doren (1989:4):
Mungkin lebih banyak yang kita ketahui kini tentang alam, jika dibandingkan dengan zaman-zaman sebelumnya, dan hal ini amatlah baik, pengetahuan amatlah perlu untuk pemahaman.
Akan tetapi pengetahuan tidaklah sedemikian pentingnya bagi pemahaman sebagaimana yang disangkakan. Tidaklah perlu kita pengetahui segala-galanya tentang sesuatu untuk dapat memahaminya. Kadangkala, fakta yang terlalu banyak menghalang kita daripada memahami.
Sesungguhnya, pelbagai cara yang kita gunakan untuk mengirim dan menerima makluman hampir-hampir menyebabkan kita tidak lagi perlu berfikir.
Penonton filem, pendengar radio dan pembaca majalah-majalah popular berhadapan dengan pelbagai macam fakta dan angka yang membantunya membentuk sikapnya.
Namun demikian, makluman itu dikemukakan kepadanya dengan cara yang sedemikian berkesan sehingga individu yang menerimanya itu sebenarnya tidaklah memikirkannya lagi. Dia menerima pandangan orang-orang lain yang telah disediakan dengan teliti untuknya. Apabila persoalan itu dibincangkan, dia dapat mengingat apa yang telah dilihat atau didengarnya, lalu diulangnyalah keterangan yang sama. Dia tidaklah lagi perlu berfikir.
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].