Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Sempena Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2022, Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Penyelidikan Bahasa telah mengadakan Pertandingan Baca Naskhah Karya Agung Peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM). Pertandingan ini disertai oleh 12 orang peserta yang mewakili jabatan dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Program ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan naskhah karya agung kepada khalayak serta memupuk minat membaca dalam mewujudkan masyarakat berbudaya dan cinta akan ilmu. Selain itu, dengan adanya pertandingan seumpama ini, maka khalayak terutamanya para peserta boleh menjelmakan inti pati naskhah agung ini dalam bentuk yang lebih kreatif dan moden.
Teks karya agung yang dipilih untuk pertandingan ini ialah Sulalatus Salatin. Karya ini juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Naskhah ini merupakan karya yang berkaitan dengan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup masyarakat Melayu.
Dalam pertandingan ini, antara cerita dalam naskhah Sulalatus Salatin yang dibaca ialah Singapura Dilanggar Todak, Meminang Puteri Gunung Ledang, Membunuh Ular Sakti Mona, Istana Sultan Mansur Syah Terbakar, Wasiat Sultan Mansur Syah, dan Pertarungan Hang Tuah dengan Hang Jebat.
Puan Rogayah A. Hamid (mantan ketua Bahagian Sastera Tradisional, DBP) yang merupakan ketua juri bagi pertandingan tersebut menyatakan bahawa antara tujuan pembacaan naskhah tradisional pada zaman dahulu adalah untuk membina imej raja, memberikan pengajaran, meniupkan semangat masyarakat untuk berjuang, dan juga sebagai bentuk hiburan. Antara elemen yang menjadi fokus penjurian ialah bahasa dan pertuturan, teknik dan persembahan, dan kreativiti. Jelasnya,
Terdapat perbezaan antara pembacaan puisi dan pembacaan naskhah. Pembacaan naskhah memerlukan alunan suara dan irama tertentu. Jika sesebuah teks itu mempunyai kepelbagaian cerita, maka persembahan bacaan naskhah perlu mempunyai kepelbagaian intonasi.
Siti Khatijah Chek daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dipilih sebagai johan pertandingan tersebut. Beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM 1000.00 ringgit, sijil dan hadiah iringan. Naib johan pula menjadi milik Muhammad Sadiq Hakim Azman daripada TV Al-Hijrah. Beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM 700.00 ringgit, sijil, dan hadiah iringan. Manakala tempat ketiga pula diraih oleh Wan Nina Naddia Wan Abas daripada INTAN. Beliau membawa pulang RM 300.00 ringgit, sijil dan hadiah iringan.
Program Pertandingan Baca Naskhah Karya Agung tersebut juga diserikan dengan tayangan video khas Dekad Membaca Kebangsaan yang merupakan hasil kerjasama antara DBP dengan Universiti Multimedia (MMU). Turut hadir dalam program tersebut ialah Ybhg. Dr. Hazami Haji Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Encik Adila Sabri Muhamad, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan JPM, dan Puan Safina Saidin, Ketua Seksyen Perpustakaan JPM.