22 Jun 2021, 08:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Sempena 65 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka: Aksara nan Hidup Sepanjang Zaman, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi menyelongkar pelayaran 65 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka di atas samudera sastera kebangsaan, menemui pangkalan kejayaan dan tanda sejarahnya.

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, peranan dan sumbangan DBP dalam usaha membina dan mengembangkan sastera berbahasa Melayu pada peringkat serantau, sekali gus di persada antarabangsa pula, memang sudah diakui oleh pelbagai pihak.

Seyogianya, tiada sesiapa pun harus menafikan betapa besar dan bermaknanya peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam mengungguli pembinaan dan pengembangan sastera Melayu, serta sastera kebangsaan di negara ini. Bahkan pada peringkat serantau dan dunia sekalipun, DBP tiada duanya sejauh yang berkaitan dengan pembangunan dan pelestarian persuratan Melayu.

Alkisah, sedari tahun 1956 hinggalah 2021, malahan untuk tahun-tahun mendatang yang lebih mencabar, DBP tidak pernah alpa akan tanggungjawab dan kebertanggungjawabannya memastikan harkat sastera Melayu senantiasa diutamakan, sekali gus menjadi agenda penting dalam pembentukan serta pelaksanaan pelbagai dasar pembangunan kerajaan, khususnya yang berkaitan dengan pembangunan modal insan, kemajuan pendidikan bangsa dan industri kreatif negara.

Hatta, bak kata orang-orang tua, sudah terang lagi bersuluh. Ceritera unggul DBP begitu terserlah dalam pembinaan, pengembangan dan pengiktirafan sastera. Ratusan penulis telah dibina dan dikembangkan bakat kepengarangan mereka melalui pelbagai aktiviti perbengkelan seperti Minggu Penulis Remaja dan sebagainya yang dianjurkan saban tahun.

Minggu Penulis Remaja di DBP Cawangan Sabah.

DBP juga telah dan akan terus mengadakan pelbagai program penggalakan dan pengiktirafan seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan lain-lain lagi yang sudah terbukti memberikan manfaat yang tidak ternilai harganya. Mana mungkin sumbangan bakti DBP dalam usaha mengangkat harkat sastera dan martabat sasterawan lewat Anugerah Sastera Negara (ASN) yang kini mencecah bilangan Sasterawan Negara yang ke-14 dipandang sepi, kerana itu juga hasil perjuangannya sejak sekian lama. Lebih manis lagi, tujuh orang daripada 14 Sasterawan Negara itu, datangnya daripada DBP—suatu manifestasi betapa warganya bukan sekadar pengurus sastera, tetapi juga golongan karyawan yang berbakat besar dalam bidang kepengarangannya.

Dalam pada itu, barangkali, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa DBPlah satu-satunya penerbit buku sastera dalam bahasa Melayu terbesar di dunia. Ribuan judul buku sastera yang meliputi aneka genre novel, puisi, cerpen, drama, kajian sastera, dan esei kritikan telah diterbitkan. Lagipun, tanpa berlebih-lebihan, DBPlah yang banyak menerbitkan berbagai-bagai judul buku rujukan dan ilmiah yang meliputi pelbagai genre sastera, termasuk sastera tradisional dan klasik, yang tidak diendahkan oleh penerbit-penerbit lain; yang tentu sahaja dipengaruhi oleh faktor pulangan ekonomi yang tidak memberangsangkan. Namun, DBP atas dasar kebertanggungjawaban sosial dan moralnya, mengambil tanggungjawab itu untuk memastikan khazanah ilmu dalam bidang sastera tidak kering kontang.

Maaf cakap, perlu juga disebut, ketika penerbit-penerbit lain tidak begitu mempedulikan perihal penampungan karya-karya penulis Malaysia melalui penerbitan majalah, kendatipun tiada pulangan ekonomi yang menjanjikan, DBP kekal dengan legasinya menerbitkan majalah-majalah serta jurnal sastera, khususnya Dewan Sastera, Tunas Cipta dan Malay Literature. Tambahan pula, khusus untuk penulis Sarawak dan Sabah, DBP menyediakan peluang dan ruang untuk mereka terus menyemarakkan perkembangan sastera akhbar melalui ruangan Yang Indah Itu Bahasa, Wadah Bahasa dan Sastera, dan lain-lain. DBP malah turut menampung penerbitan karya para penulis dan sasterawan dalam majalah-majalah non-sasteranya yang lain, seperti Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Tamadun Islam, Dewan Kosmik (dalam cereka sains), dan Dewan Pelajar.

Sesungguhnya, DBP ialah satu-satunya penerbit yang amat menjaga kepentingan dan kebajikan penulis dan sasterawan, khususnya dari segi pembayaran royalti dan honorarium. Buktinya, pada tahun 2019 sahaja, DBP telah membayar RM675 878 honorarium kepada para penulis dan sasterawan yang menyumbangkan karya yang diterbitkan dalam 11 buah majalah dan empat buah jurnal DBP. DBP juga telah membayar sekitar RM6.8 juta royalti kepada para penulis dan sasterawan yang buku-buku mereka telah diterbitkan oleh DBP.

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, peranan dan sumbangan DBP dalam usaha membina dan mengembangkan sastera berbahasa Melayu pada peringkat serantau, sekali gus di persada antarabangsa pula, memang sudah diakui oleh pelbagai pihak. Penubuhan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) pada 12 Ogos 1996 yang satu daripada negara anggota pendirinya ialah Malaysia, turut menyerlahkan peranan DBP untuk membina dan mengembangkan sastera berbahasa Melayu yang melangkaui sempadan geopolitik antarnegara. Satu daripada program berimpak tinggi yang memberikan pengiktirafan kepada penulis dan sasterawan Malaysia yang telah menghasilkan karya bertaraf rantau dan bermutu dalam satu-satu tahun penilaian ialah Hadiah Sastera MASTERA.

Pementasan teater Pentas Opera yang ditulis dan diarahkan oleh Zakaria Ariffin, mantan karyawan DBP dan pemenang SEA Write Award.

Barang diingat, DBP juga merupakan urus setia bagi SEA Write Awards (Anugerah Penulis Asia Tenggara) Malaysia, di samping mengadakan berbagai-bagai aktiviti penterjemahan dan diskusi karya penulis serta sasterawan Malaysia secara kerjasama dengan pelbagai pihak di dalam negara dan di luar negara. Aktiviti-aktiviti demikian bukan sahaja dapat meningkatkan harkat kepengarangan mereka, malahan turut membantu penyebaran karya-karya sastera dalam bahasa Melayu di luar Malaysia.

Satu lagi sumbangan besar DBP dalam bidang sastera adalah dengan melaksanakan berbagai-bagai projek penyelidikan sastera moden dan tradisional yang meliputi pelbagai genre dan bidang kajian, sama ada dilaksanakan oleh DBP sendiri ataupun dengan pelbagai pihak luar. Projek-projek penyelidikan itu cukup penting sebagai pengayaan dan penerbitan pelbagai bahan rujukan, sekali gus sebagai usaha pendokumentasian dan pelestarian bahan-bahan sastera.

Selain itu, aktiviti-aktiviti seperti bicara karya, kritikan sastera, seminar sastera, bengkel penulisan, sayembara penulisan, baca puisi, pengumpulan serta pendokumentasian tradisi lisan dan seumpamanya, sama ada secara konvensional atau secara dalam talian terus disemarakkan oleh DBP.

Sesungguhnya, selagi DBP tegak di bumi Tuhan, DBP akan terus melipatgandakan dan mengungguli program pembinaan dan pengembangan sastera berbahasa Melayu, baik untuk peringkat negara dan serantau mahupun pada peringkat antarabangsa sebagai legasi untuk generasi-generasi mendatang.

Dewan Bahasa dan Pustaka, dirgahayu
dirgahayu untuk seribu tahun lagi
biar mati berkalang tanah
berpantang ajal sebelum maut
biar putih tulang jangan putih mata
jangan sekali-kali
kau alpa mengabdikan diri melestarikan:
Bahasa Jiwa Bangsa
Sastera Citra Peradaban Bangsa
waima ditentang ribuan petualang
yang tersesat di belantara nihilisme
dan terperuk di rimba prasangka.

Abang Patdeli Abang Muhi

(Petikan sajak “Dirgahayu Dewan Bahasa dan Pustaka”, Yang Menang dan Yang Kalah, BUDIMAN Malaysia, 2020)

_________________________

Abang Patdeli Abang Muhi (Dr. Haji) Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau juga banyak menghasilkan kertas kerja, esei kajian dan kritikan, sajak dan cerpen. Abang Patdeli pernah menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 bagi eseinya, “Menyoal Peran Kesusasteraan Kebangsaan sebagai Penjana Peradaban Bangsa” yang tersiar dalam Dewan Sastera Ogos 2016. Antara karyanya termasuk kumpulan cerpen Urip (DBP, 2015).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.