Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMarsli N.O memperkenalkan tiga buku berbahasa Melayu tentang membaca dan menulis yang ada dalam simpanan pustakanya.
Sekitar tahun 1980-an, buku mengenai membaca yang saya beli dan miliki antara lain ialah sebuah buku terjemahan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Apa-apa sahaja buku yang berkaitan dengan membaca dan menulis selalu menarik perhatian saya untuk membeli, membaca dan menjadikannya sebagai koleksi perpustakaan milik peribadi.
Sekitar tahun 1980-an, buku mengenai membaca yang saya beli dan miliki antara lain ialah sebuah buku terjemahan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjudul Bagaimana Membaca Buku, iaitu terjemahan daripada buku How to Read a Book oleh Mortimer J. Adler dan Charles Van Doren, yang disadur dan disesuaikan oleh Laura Waltz terbitan Washington Square Press (1974).
Buku terbitan tahun 1989 ini diterjemahkan oleh Rustam A. Sani, tetapi kini sayangnya sudah tidak diulang cetak lagi oleh DBP. Buat masa ini, mungkin sudah ada penerbit lain yang mengusahakan penerbitan terkininya.
Tahun 1993 pula, sebuah buku berjudul Motivasi dan Kaedah Membaca yang diterbitkan oleh Nurin Enterprise menarik perhatian saya untuk dibeli, dibaca dan dijadikan koleksi perpustakaan peribadi. Buku hasil tulisan Zaini Ujang ini diberikan kata pengantar oleh Tan Sri Dr. A. Samad Ismail (Allahyarham). Tahun 2019, buku ini telah dikemas kini dan diterbitkan semula oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dengan judulnya, Membaca: Motivasi dan Kaedah.
Tentu sahaja, masih ada buku lain mengenai membaca dan menulis yang dibeli untuk dibaca selepas itu dan seiring dengan peningkatan usia, saya ada sedikit pengetahuan baharu untuk berurusan secara dalam talian. Urusan membeli buku saya, terutamanya buku-buku terbitan Indonesia yang harganya agak mahal di sini, berubah daripada toko fizikal kepada toko dalam talian.
Kebelakangan ini, ketika mencari buku-buku di suatu portal jualan dalam talian, dengan mengetik carian “buku sastera Indonesia”, sebuah foto buku sering kali melintas dan muncul. Judul buku tersebut ialah Panduan Praktis Agar Kita Gila Membaca dan Menulis. Judul ini membuatkan saya sedikit terperanjat.
‘Untuk membaca dan menulis, perlukah kita menjadi gila?’ Demikian tanya saya kepada diri sendiri. Terus terang, bagi saya, hal ini satu sikap dan pilihan yang tidak masuk akal. Untuk menjadi seorang pembaca dan penulis, rasanya tidak perlulah sedemikian ekstrim untuk memilih dan bersikap!
Ingin memuaskan rasa ingin tahu, saya lanjut meneliti. Saya dapat mengagak, berdasarkan nama penulis dan penerbitnya, buku ini ditulis oleh seorang pengarang dan diterbitkan di Indonesia.
Akan tetapi, hal yang membuat saya berasa sedikit pelik, meski penulis dan penerbitnya dari Indonesia, dan seperti selalu jika ingin membelinya, saya langsung memesan ke sana, namun kali ini saya boleh memesan dari toko buku di Perlis atau Selangor.
Jadi, apakah yang istimewa tentang buku ini sehingga dipilih untuk dijual oleh toko tempatan secara dalam talian?
Saya membuat carian lagi. Mencari jika terdapat sebarang resensi mengenai buku ini. Carian “resensi buku agar kita gila membaca & menulis” menemukan saya dengan tulisan Muhammad Ihsan di pautan ini.
Menurut penulis resensi ini, buku ini dianggap sebagai buku tulisan Muhammad Nuruddin yang paling ringan dan menjawab dua soalan besar: Bagaimana untuk menikmati amalan membaca dan bagaimana hendak mula menulis.
Secara peribadi, saya tertarik untuk membeli buku ini kerana judulnya dan dua soalan besar yang dikatakan telah dijawab oleh penulisnya secara ringan dan tidak terasa seperti membaca buku ilmiah yang berat.
‘Apa yang istimewanya dalam buku ini?’ tanya saya lagi kepada diri sendiri dan segera membuat pesanan secara talian.
Setelah lima hari membuat bayaran, buku ini saya terima daripada penjualnya, sebuah toko dalam talian di Perlis. Dari segi fizikalnya, buku ini hanya setebal 148 halaman. Harga (dalam talian)nya cuma RM24 tanpa kos pos.
‘Apakah sebenarnya gila yang dimaksudkan oleh penulis buku ini?’ saya bertanya lagi kepada diri sendiri dan membaca secara pantas buku ini. Bermula dengan pengantar oleh penulis dan senarai kandungan atau daftar isinya.
Apa yang istimewanya dalam buku ini?
Untuk bahagian membaca, penulis buku ini menyediakan tujuh judul besar yang dipecahkan pula kepada 16 judul kecil. Untuk bahagian menulis pula, terdapat sembilan judul besar yang disediakan lalu dipecahkan pula kepada tujuh judul kecil. Di bahagian akhir, Muhammad Nuruddin memaparkan kisah para ulama yang beliau anggap “gila” membaca dan menulis.
Meski kemudiannya setelah membaca sehingga akhir isi kandungan buku ini, penulisnya masih tidak memperjelas secara tuntas maksud “gila” yang disebutkannya, namun dengan hanya meneliti judul dan kandungan buku ini secara tidak langsung saya jadi faham bahawa “gila” yang dimaksudkan itu ialah sesuatu yang dilaksanakan dengan sepenuh perhatian dan tumpuan secara sungguh-sungguh terhadap kegiatan membaca dan menulis.
Hal yang mengukuhkan rasa yakin saya itu berlaku ketika meneliti judul-judul kecil yang dibincangkan oleh pengarang buku ini di bawah tajuk besar Menumbuhkan Kegilaan dalam Menulis, Bagaimana Caranya?: “Menulis Sedikit Demi Sedikit; Jadikan Menulis sebagai Kegiatan Rutin”; “Tumbuhkan Rasa Ingin Berbagi dengan Orang Lain”; “Bacalah Biografi Ulama-ulama yang Rajin Menulis”; dan “Jadikan Menulis sebagai Keburukan Hidup”.
Oleh sebab tulisan ini sekadar ingin bercerita tentang bagaimana saya boleh tertarik membeli sebuah buku yang meletakkan kata ‘gila’ sebagai judulnya, maka saya tidak akan terlalu bercerita mengenai hal yang dikatakan oleh Muhammad Nuruddin di dalam bukunya ini.
Pembaca yang berminat mengetahui mengenai “keistimewaan” buku ini saya syorkan eloklah membeli dan membaca buku ini sendiri.
Namun kepada pihak yang pernah menerbitkan terjemahan Bagaimana Membaca Buku, suka saya mengesyorkan agar berusaha menerbitkan semula buku ini. Kepada kami yang pernah dan telah membaca buku ini (versi terjemahan oleh DBP) pada tahun 1989 itu, buku ini sangat besar ertinya kepada kami para pembaca yang dahagakan bahan bacaan terjemahan yang bermutu dari DBP!
Kredit Foto: Roman Kraft/Unsplash
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].