Oleh Muhaimin Sulam
14 Oktober 2024, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Muhaimin Sulam menaburkan beberapa persoalan dan nasihat untuk agenda pembinaan citra bangsa Malaysia.

Oleh itu, tugas penulis ialah terus menulis tentang bahasa dalam pembinaan citra bangsa tanpa rasa jemu, kerana masih ada lagi sudut pandangan yang masih belum tersentuh dan diterokai dalam mengupas persoalan penting ini.

Topik ini bukanlah sesuatu yang baharu. Entah berapa banyak artikel dan jurnal yang terbit sudah mengupas persoalan ini. Anggaplah hal ini sebagai pengulangan dalam memahami makna baharu jika bukan suatu suntikan semangat untuk melakukan perubahan.

Pembinaan citra bangsa ialah salah satu tanggungjawab nasional yang besar untuk dilaksanakan oleh semua pihak. Hal ini bukan sekadar tugas kerajaan yang berkuasa tetapi rakyat yang memberi kuasa kepada parti-parti dalam sistem demokrasi juga mempunyai tanggungjawab yang sama.

Oleh itu, tugas penulis ialah terus menulis tentang bahasa dalam pembinaan citra bangsa tanpa rasa jemu, kerana masih ada lagi sudut pandangan yang masih belum tersentuh dan diterokai dalam mengupas persoalan penting ini.

Cabaran kita pada hari ini ialah pembinaan citra bangsa melalui jalan bahasa kebangsaan – bahasa Melayu.

Setelah lebih separuh abad merdeka, citra itu masih gerhana. Kita masih terkial-kial membangunkan bahasa kebangsaan, apatah lagi sastera kebangsaan. Ombak globalisasi, Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan, dunia tanpa sempadan, semuanya menuntut pendekatan yang lebih komprehensif.

Penulis dan pencipta karya perlu membina pelbagai jambatan dengan dunia luar yang mempunyai keupayaan tersendiri dalam memasarkan karya agar tidak sekadar dibaca, didengar, bahkan seharusnya dilihat, dirasai dan dinikmati keindahannya.

Dalam karya drama dan filem misalnya, latar belakang dan watak perlu memberi gambaran inti masyarakat yang pelbagai budaya.

Malangnya, drama dan filem yang ada, sama ada disiarkan di pawagam atau di stesen televisyen, banyak yang memberikan gambaran yang salah tentang citra bangsa.

Hal yang sama juga berlaku dalam novel dan karya sastera lain.

Mungkin ada beberapa pengecualian jika ditinjau dalam buku teks sekolah dan universiti. Namun begitu, kurikulum pendidikan yang sememangnya bersifat doktrin tidak dapat lari daripada tujuan kenegaraan.

Pramoedya Ananta Toer menyebut bahawa menulis ialah kerja nasional. Antara kerja nasional yang masih belum selesai ialah pembinaan citra bangsa Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya.

Bahkan dalam Islam, usaha ini ialah ibadah atau dakwahm suatu kerja yang mulia. Penulis bukan sekadar menyusun, memilih dan membina kata tetapi juga membangun rasa keindahan, kebahagiaan dan kesedaran dalam karya mereka.

Nilai dan tema MADANI yang universal perlu diangkat dalam sastera kebangsaan. Hal ini boleh juga dibawa melalui garapan filem, drama, teater, dan lagu, yang mempunyai kekuatan penyampaiannya yang tersendiri. Manuskrip karya, skrip dan lirik yang baik diperlukan untuk membentuk gelombang kebudayaan yang lebih bertenaga. Kita semua mesti memiliki iltizam politik dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Untuk berdepan dengan cabaran yang mendatang, senjata dan perisai kita sebagai penulis ialah pena dan kata.

Sasterawan Negara Usman Awang menyebut: “bisa keris raja, bisa lagi pena pujangga” dalam berhadapan dengan pihak berkuasa. Ungkapan Sasterawan Negara tersebut memberikan gambaran kualiti dan nilai yang dimiliki oleh para penulis.

Bahkan jika ditelusuri sejarah besar perubahan dunia, karya daripada idea penulis yang di dalam penjara, persembunyian dan ditekan telah berjaya membebaskan masyarakat yang terbelenggu pemikirannya.

Bacalah sejarah Antonio Gramsci, Tan Malaka, Syed Qutb, Hamka, Pramoedya, dan banyak lagi penulis yang hebat untuk direnungi riwayat hidupnya.

Tambahan lagi, perubahan politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 menggambarkan situasi politik tanah air yang rapuh. Maka dalam keadaan sedemikianlah, peranan penulis menjadi sangat penting dan kritikal.

Kita juga mesti mengambil kesempatan daripada pendirian dan sejarah perjuangan Perdana Menteri kita sekarang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam dunia kesusasteraan. Ada kelebihan buat sastera kebangsaan itu. Perjuangan kita sebagai penulis adalah untuk melahirkan karya yang manusiawi dan mampu berdaya saing.

Akhir kata, WS Rendra pernah berkata, perjuangan ialah pelaksanaan kata-kata.

_________________________

Muhaimin Sulam (Dr.) ialah Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau penulis buku Akar Bangsa: Budaya Naratif dan Identiti (2019) dan memoir Aku Melayu di Kota Inggeris (2013).

Kredit Foto: Putra Mahirudin/Unsplash
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.