Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDr. Aminudin Mansor dan Nazeri Nong Samah, subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah perlu dijenamakan semula agar dapat memikat hati masyarakat untuk mendekatinya.
Malangnya, tidak ramai guru subjek kesusasteraan di sekolah menengah yang mengajar subjek tersebut berusaha secara kreatif untuk berfikir di luar kotak bagi membuka minda pelajar tentang apakah fungsi sebenar kesusasteraan.
Kesusasteraan yang menjadi nadi pada tamadun bangsa mestilah boleh menyumbang ke arah pembinaan budaya yang besar. Ciri-ciri kesusasteraan mestilah memperlihatkan wawasan yang jelas dan benar, seperti mempertahankan kehalusan kesenimanan, mengadunkan pandangan alam dan garapan seni yang indah dan tinggi.
Justeru, penjenamaan semula subjek Kesusasteraan Melayu peringkat sekolah menengah (kini, Kesusasteraan Melayu Komunikatif) di Malaysia kepada subjek Sains Sastera atau Sains Sastera Melayu perlu dilakukan secara drastik bagi memajukan dan menaikkan martabat kesusasteraan, sekali gus menjadikannya lebih glamor dalam kalangan pelajar mahupun masyarakat umum.
Adalah tidak menyalahi konsep sastera itu sebagai sains kerana sememangnya, beberapa ciri dalam karya sastera memiliki naratif progresif mirip elemen sains, seperti sifat fizik (kekal dalam bentuk asal) dan kimia (berkembang, berubah-ubah dan membentuk penghasilan baharu), apatah lagi jika karya sastera terutamanya cerpen dan novel digarap dengan penceritaan bercorak sains.
Bukanlah sesuatu yang mengarut atau asing apabila dicadangkan nama subjek Kesusasteraan Melayu itu ditukar kepada nama yang lebih “glamor”, iaitu subjek Sains Sastera, memandangkan di peringkat universiti negara ini pun sudah ada bidang Pengajian Sains Politik.
Malah, terdapat juga “eksperimen politik” yang setaraf dengan kaedah saintifik, bahawa dalam sesuatu ujian teori, apabila memasuki fasa eksperimen, ada ketikanya menghasilkan kesimpulan “ya” atau “tidak”, “betul” atau “salah” dan “menang” atau “kalah”.
Apatah lagi dalam bidang kesusasteraan, jika sektor itu ingin lebih maju dan popular diperkatakan sehingga kiamat, maka pembaharuan atau penjenamaan perlu dilakukan di peringkat sekolah menengah agar subjek kesusasteraan tidak statik, malah ada ketikanya diperlekeh apabila terdapat pihak yang “buta sastera” atau penggila wang (keuntungan) semata-mata tergamak menyifatkan bahawa subjek Kesusasteraan Melayu sebagai subjek membuang masa atau tiada nilai komersial kerana penuh dengan kisah dunia fantasi.
Sedangkan dalam karya sastera bermutu itu, jika digali, ternyata apa-apa yang tersurat dan tersirat mesejnya lebih berharga daripada emas kerana mendidik erti kemanusiaan, malah mencakupi bidang pendidikan, agama, politik, budaya, motivasi, akhlak, undang-undang, kritik sosial, dan seribu satu lagi perkara tentang pedoman kehidupan beradab pada hari ini dan masa depan.
Antara tujuan pengajaran sastera adalah untuk membentuk akal budi pelajar. Begitu juga dengan pengajaran Komponen Sastera (KOMSAS) dalam Bahasa Melayu, iaitu:
Sebagai contoh, novelis terkenal Ibrahim Omar merangkap penulis novel Desa Pingitan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang pernah dijadikan buku teks sekolah menengah bagi subjek Kesusasteraan Melayu sekitar tahun 1960-an merumuskan bahawa kesusasteraan ialah subjek yang mendidik tentang kemanusiaan.
Malangnya, tidak ramai guru subjek kesusasteraan di sekolah menengah yang mengajar subjek tersebut berusaha secara kreatif untuk berfikir di luar kotak bagi membuka minda pelajar tentang apakah fungsi sebenar kesusasteraan. Sebaliknya, majoriti guru sastera di sekolah mengajar kesusasteraan dengan hanya mengikut panduan dalam buku teks dan buku panduan padat dan ringkas.
Lantaran itu, kerana tidak memahami konsep dan fungsi menghayati karya sastera, maka hal ini mengakibatkan generasi muda mula pudar jati diri mereka dan mula menghadapi dengan kurangnya berbudaya mulia, seperti yang dituntut dalam Rukun Negara.
Bukanlah tidak ada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mereformasikan subjek Kesusasteraan Melayu itu supaya menarik perhatian pelajar dan masyarakat umum. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Difahamkan, pada tahun 2017, subjek Kesusasteraan Melayu ditukar nama kepada Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) bagi pelajar calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Nama subjek KMK itu pun macam nak tergeliat lidah menyebutnya, maka lebih baik (patut) ditukar sahaja kepada nama yang mudah dan lancar disebut, iaitu Sains Sastera, agar terlihat umum serta relevan dengan masyarakat majmuk Malaysia.
Namun begitu, majoriti buku teks kesusasteraan tetap daripada karya penulis Melayu pelbagai lapisan usia. Oleh itu, kami melihat kewajarannya agar karya sastera bukan Melayu yang relevan dijadikan sebagai buku teks Sains Sastera.
Usaha untuk memajukan bidang sastera ini juga memerlukan sokongan pihak kerajaan dan swasta untuk mempromosinya di media cetak, media elektronik dan media sosial.
Penerbitan semula edisi cetak majalah Dewan Sastera oleh DBP untuk pasaran ialah satu langkah bijak dalam usaha untuk merakyatkan sastera serta menggalakkan pelajar aliran sastera serta masyarakat umum untuk meminati bidang berkenaan.
Kesimpulannya, jika penjenamaan semula subjek sastera Melayu kepada Sains Sastera menjadi kenyataan, bidang sastera akan dapat disemarakkan semula bagi mendidik dan membangun akal budi bangsa di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
_________________________
Aminudin Mansor (Dr.) atau Ami Masra, PhD. dalam Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang pengkhususannya ialah pendidikan bahasa, sastera Melayu, meliputi sastera lama dan baharu. Beliau Tokoh Bitara Penulis Sepanjang Hayat.
Nazeri Nong Samah penulis dan penyair. Mantan Penyunting Kanan Utusan Malaysia/Utusan Melayu.