Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBenedict Anak Samling menampilkan nikmat pembacaan karya sastera melalui beberapa proses.
Sastera – keindahan yang mengungkapkan kebaikan dan kebenaran – permainan kata-kata.
Eureka! Andai pada abad ke-17, perkataan itu meletup keluar dari mulut Archimedes ketika menemui teori ketumpatan, maka begitulah gamaknya saya menjerit setelah menemui dunia sastera di dalam sebuah bilik kosong dipenuhi buku-buku berhabuk dua tahun yang lalu.
Saya telah menemui sastera di dalam ruang sunyi padat dengan pancaroba kehidupan. Penemuan itu mematikan semua anggapan saya tentang sastera. Entah siapa yang menguburkan naskhah-naskhah di dalam bilik yang sunyi itu. Ada naskhah yang hampir hancur dibaham anai-anai. Namun begitu, bukan salah anai-anai. Andai saya anai-anai pun saya akan baham kesemuanya. Baham apa-apa sahaja yang terhidang, itulah sifat haiwan – kata-kata ini juga dijumpai dalam salah satu naskhah yang dibelek. Naskhah demi naskhah ditelusuri. Naskhah yang menusuk jantung saya sisihkan daripada naskhah yang memualkan. Esei ini juga serba sedikit mengimbau hal yang terjadi di dalam ruang yang berdebu itu:
Sastera – keindahan yang mengungkapkan kebaikan dan kebenaran – permainan kata-kata. Permainan ini ialah fitrah sastera yang bukan sahaja memiliki aura sebagai hiburan tetapi juga sebagai spektrum pengajaran dan pembelajaran. Mengapa saya mengatakan sastera itu medium pengajaran? Disusun: sastera ialah susunan kata-kata terselit pengajaran yang berlangsung secara efektif melalui pendidikan. Sementara itu, pengalaman yang disusun dengan kata-kata akan membentuk satu proses pembelajaran. Pendek kata, emosi yang menerbitkan rintihan jiwa serta belas ihsan diungkapkan dalam satu jajaran peristiwa.
Selain itu, sastera juga boleh dilihat sebagai seni berbahasa. Apabila sastera dianggap sebagai cabang seni berbahasa, hal ini bermakna bahawa bahasa merupakan suatu alat. Oleh hal yang demikian, bahasa ialah alat yang berfungsi untuk menyampaikan gagasan pemikiran dan sebagai bahan pula, sastera berperanan sebagai hiburan. Namun begitu, apabila seseorang mempertikaikan fungsi asas sastera, maka secara tidak langsung menolak fungsi utama sastera, yakni sebagai hiburan, pengajaran dan pembelajaran.
Dalam proses menikmati karya sastera, harus diingat bahawa kenikmatan hanya akan timbul apabila berlakunya proses kefahaman.
Setelah membicarakan soal kepentingan dan fungsi sastera, maka kita juga perlu menerima hakikat bahawa kita manusia yang tidak dapat lari daripada kebanjiran karya sastera. Dengan membaca karya sastera, dapatlah kita memahami erti kehidupan, dan apabila memahami erti kehidupan, dapatlah ditelusuri baik dan buruk pilihan yang terhidang di hadapan mata. Dengan syarat, karya sastera itu benar-benar sastera.
Membaca karya sastera bukan sekadar menunaikan tanggungjawab sebagai pembaca atau untuk mendapat gelaran “pembaca sejati”, tetapi membaca karya sastera ialah satu proses yang merangkumi kefahaman, kenikmatan dan penghayatan. Proses yang dinyatakan tersebut akan berjalan dengan serentak tanpa disedari. Misalnya, kefahaman tentang karya sastera merupakan satu proses permulaan. Hal ini adalah kerana apabila kita berdepan dengan sastera bermakna kita berdepan dengan bahasa yang terdiri daripada kata-kata atau secara metaforanya, memasuki “dunia kata-kata”. Penguasaan bahasa diibaratkan seperti pendayung untuk mendayung dalam lautan sastera yang sentiasa bergelora. Kefahaman terhadap teks sastera amat dituntut untuk tidak mengambiguitikan sewenang-wenangnya teks sastera, misalnya puisi atau prosa.
Dalam proses menikmati karya sastera, harus diingat bahawa kenikmatan hanya akan timbul apabila berlakunya proses kefahaman. Untuk memahami sesuatu karya sastera, bercintalah dengan kata-katanya. Hal ini dapat dilihat ketika menikmati puisi. Ketika membaca puisi, tentu akan terbitnya perasaan sedih, gembira, jenaka, dan sebagainya. Manakala dalam teks prosa, kita akan merasai kenikmatan melalui jalan cerita yang penuh ketegangan atau penuh aksi yang mengasyikkan. Kenikmatan dalam prosa juga akan lebih terasa apabila penutup cerita menimbulkan persoalan yang tidak terfikir oleh akal.
Setelah memahami dan menikmati karya sastera, karya sastera tersebut harus dihayati. Apakah yang dihayati? Tentu sahaja nilai-nilai yang bersangkut paut dengan kehidupan. Nilai-nilai ini mampu mempertajamkan pemikiran serta meluaskan lensa pengamatan untuk menebuk naskhah sastera mencari jajaran keilmuan, pesanan, moral, dan sebagainya. Melalui penghayatan yang mendalam, maka dapat disimpulkan sesebuah karya sastera itu adalah sekadar tantrum atau satu teks yang mampu mencorakkan dunia pemikiran.
Mungkin tidak terlalu “berhiperbola” andai dikatakan membaca karya sastera yang berkualiti adalah seperti menelusuri kehidupan manusia sejagat. Hal ini tentunya berkait rapat dengan hubungan akrab antara manusia dengan sastera. Karya sastera yang merakamkan bermacam karenah kehidupan antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam, manusia dengan haiwan, atau manusia dengan Tuhan, menyimpan khasiat yang boleh digunakan oleh manusia untuk membina landasan kehidupan. Karya yang seumpama ini bolehlah dikategorikan sebagai karya yang bermutu.
Apabila menyebut “mutu”, tentu ramai yang tertanya-tanya, apakah indikator yang digunakan untuk menentuukurkan mutu sesebuah karya? Persoalan ini mungkin boleh direnung sejenak. Tanya kembali pada bahan sastera itu, siapa yang memberikan makna pada karya itu dan siapakah yang mencari nilai yang tersembunyi dalam karya sastera tersebut? Andai dijumpai nilai kehidupan dalam karya sastera, maka karya sastera itu bermutu dan bernilai, setidak-tidaknya pada diri si pencari. Sebaliknya, andai tidak dijumpai apa-apa nilai kehidupan, maka karya itu mungkin sekadar tempelan atau tantrum penulis. Sisihkan.
_________________________
Benedict Anak Samling berasal dari Sarawak. Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Kimia dari Universiti Sains Malaysia. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Tunas Cipta, Utusan Borneo, Dewan Kosmik, Dewan Budaya, dan SelangorKini. Memenangi beberapa sayembara penulisan kreatif termasuk cerpen STEM anjuran Unisel-DBP, cerpen kearifan tempatan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, cerpen kebudayaan anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak dan Majlis Seni Sarawak, serta cerpen legasi anjuran Pustaka Negeri Sarawak. Menerima Hadiah Sastera Tunas Sarawak kategori cerpen dan puisi pada tahun 2023.