Diterbitkan pada 18 Ogos 2025, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Acara baca puisi yang ada deklamasi sajak, nyanyian lagu puisi serta dendangan syair dan gurindam sudah tidak asing lagi di negara kita. Walau bagaimanapun, Raja Yusoff Ariffin mahu mencadangkan kelainan.

Baca cerpen di pentas juga boleh cepat popular. Syaratnya, hendaklah kerap diadakan sebagaimana majlis pembacaan/pendeklamasian puisi. Jika acara persembahan puisi mutlak pun, sertakan juga pembacaan cerpen …

Walaupun secara relatifnya saya masih belum puas menonton dan menyertai/mengambil bahagian acara baca puisi, tetapi sesekali berasa bosan juga. Sebagai manusia biasa, perasaan jemu terhadap sesuatu dalam kehidupan meskipun yang diminati, tidak dapat dielakkan.

Bagaimana kalau sesekali diadakan acara baca cerpen, dan/atau baca beberapa halaman (fragmen) novel pula?

Mungkin tidak ramai yang tahu atau masih ingat, beberapa dekad lalu, beberapa orang karyawan pernah tampil membaca fragmen novel dan sebuah cerpen dalam majlis yang diberi nama “Baca Naskhah”.

Istilah “baca naskhah” memang menarik dan menggambarkan kepelbagaian serta umum. Program ini juga boleh dianggap sebagai salah satu cara menghimpunkan pelbagai karya untuk dipersembahkan dalam sesebuah majlis sastera.

Untuk meneruskan artikel ini, saya mahu mengimbau tarikh 14 hingga 16 November 1995 apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia menganjurkan Seminar Kesusasteraan Bandingan yang pertama di Balai Seminar DBP, Kuala Lumpur.

Bersempena dengan seminar tersebut, turut diadakan sebuah acara baca naskhah selama empat malam berturut-turut. Saya sempat mengikuti acara pada malam pertama di Balai Seni Lukis Negara (kini Hotel Majestic, Kuala Lumpur).

Antara persembahan yang mengisi baca naskhah itu termasuklah baca puisi dan cerpen oleh wakil negara peserta. Lagu puisi turut disertakan sebagai alternatif, dengan Julfekar Ahmad Shah antara yang tampil berdendang.

Anis Sabirin, Dato’ A. Aziz Deraman, Aisha Abdullah, Leon Agusta, serta Allahyarham Masuri S.N., Suratman Markasan dan T. Alias Taib antara karyawan yang diundang membuat persembahan.

Menariknya, Anis dan Masuri membaca cerpen masing-masing. Menurut catatan saya, tidak ramai yang menonton. Sebahagian besar daripada mereka hanyalah peserta seminar dan ahli jawatankuasa penganjur. Mungkinkah kerana kurang publisiti, tidak menarik minat atau baca naskhah masih asing?

Menyentuh soal baca cerpen di pentas, hal itu memang masih terlalu baharu di Malaysia (ketika era 90-an itu), walaupun telah ada baca cerpen di radio.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Radio Satu (sebelumnya disebut sebagai Rangkaian Nasional) pernah menyiarkan program cerpen.

Saya pernah mengikutinya dan tertarik. Dalam masa kira-kira 15 minit durasinya, si pembaca bersungguh-sungguh memberikan persembahan terbaik (pastinya yang terbaik dan paling sesuai dipilih oleh penerbit). Si pembaca membaca dengan jelas serta lancar sebutannya, dan pada dialog, beliau mendengarkan nada berlakon – menjadikan watak-watak dalam cerpen itu berbual.

Walau bagaimanapun, barangkali kerana dalam medium kurang popular, cerpen di radio bagaikan low profile. Kalau tidak silap saya, acara itu sudah berkubur – mungkin kerana kurang pendengar atau jumlahnya semakin menurun.

Namun demikian, di sebalik batasan-batasan atau beberapa hambatan tertentu, baca cerpen di pentas juga boleh cepat popular. Syaratnya, hendaklah kerap diadakan sebagaimana majlis pembacaan/pendeklamasian puisi. Jika acara persembahan puisi mutlak pun, sertakan juga pembacaan cerpen.

Sebagaimana puisi atau sajak, cara cerpen dipersembahkan juga mestilah memikat. Kalau pembacaan/pendeklamasian sajak boleh dikuatkan dengan daya penarik seperti gerak tubuh, intonasi suara, kostum, dan lain-lain, baca cerpen juga memerlukan hal sedemikian, malah digalakkan.

Menurut catatan saya, Masuri membaca cerpennya yang berjudul “Cerpen dalam Cerpen” dengan begitu menarik. Sesuai dengan cerpennya yang menyelitkan sedikit unsur humor, Masuri menyampaikan atau membacanya seperti berlakon, berintonasi dan sesekali berjenaka.

Sebenarnya, Masuri seorang penyair veteran mapan dari Singapura. Walau bagaimanapun, berdasarkan persembahannya itu, saya fikir beliau lebih berjaya “membaca” cerpen ketimbang “membaca” sajak.

Anis, mantan penulis tamu DBP pula membaca cerpen beliau yang berjudul “Persona”. Namun begitu, penonton dapat merasakan perbezaan ketara selepas mendengar pembacaannya dan Masuri.

Ketika itu, saya berpendapat bahawa pembacaan Masuri boleh memberikan masa hadapan yang cerah untuk acara baca cerpen di negara kita. Cara/gaya beliau boleh dicontohi, walaupun bukan yang terbaik dan paling sempurna.

Malangnya, seingat saya selepas itu, tiada lagi kelihatan atau kedengaran acara sastera yang menampilkan pembacaan cerpen, apatah lagi yang khusus untuknya. Dengan kematian Masuri pada 6 Disember 2005 pula, tiada lagi “otai” atau “sifu”.

Semasa membantu Tajulmedia Melayu (TMM) yang diketuai oleh rakan lama saya, Shahafendy menganjurkan Bicara Puisi Bukit Nanas di Taman Eko Rimba KL: Hutan Simpan Bukit Nanas, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur dari 30 Julai 2016 hingga 27 Januari 2018, saya turut menyelitkan baca naskhah dalam beberapa bulan terakhir.

Naskhah yang dipilih ialah Sulalat u’s-Salatin atau Sejarah Melayu (terbitan Yayasan Karyawan, 2016). Peserta yang berminat dipelawa untuk membaca beberapa halaman dalam buku itu.

Amalan itu diteruskan setelah TMM menganjurkan program Jejak Warisan pula di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kuala Lumpur/Wilayah Persekutuan beberapa bulan pada tahun 2018. Saya sendiri turut membaca sekali. Beberapa orang yang lain ternyata berbakat membaca – gaya menarik.

Berdasarkan pemerhatian saya tiga dekad lalu itu, baca catatan boleh diteruskan dan dipopularkan. Cuma mungkin jumlahnya tidak sebanyak sajak atau cerpen untuk dipersembahkan. Memang jumlah sajak lebih banyak ketimbang jumlah karya genre lain.

Masih mengimbau masa lalu, semasa menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-40 pada 22 Jun 1996, DBP mengadakan pelbagai acara. Antara yang menarik ialah Malam Bahasa Jiwa Bangsa (MBJB) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, pada tarikh yang sama.

Lima segmen disediakan, iaitu baca puisi, lagu puisi. baca catatan, tari puisi, dan teater bercerita. Saya mengakui baca catatan dan teater bercerita yang mendorong saya datang menonton MBJB.

Menjayakan baca catatan MBJB itu ialah Kumpulan Budaya DBP yang mempersembahkan catatan karya Allahyarham Talib Samat, pegawai DBP dan penulis terkenal, dengan begitu bersemangat.

Antara lain, catatan tersebut menyentuh sejarah penubuhan DBP, serta perjuangan menegakkan bahasa, sastera dan budaya. Sesekali bacaan diiringi tari dan lagu tradisional berunsur patriotik.

Meskipun ada segmen membaca catatan yang menarik minat untuk datang menonton MBJB, tetapi tidak banyak yang dapat diperkatakan mengenainya. Hanya persoalan yang timbul di benak saya – begitukah persembahan baca catatan?

Oleh sebab hal itu pertama kali ditampilkan, corak dan cirinya yang sebenar belum muktamad. Perbandingan tidak dapat dibuat kerana kali pertama – tiada contoh terdahulu.

Antara yang tampil menjayakannya termasuklah Allahyarham Mohd. Ali Osman dan Rasdi Daud, berserta dua orang rakan lain. Mereka beraksi selama kira-kira 30 minit. Namun begitu, mereka berempat tidak sekadar membaca, sebaliknya membaca dengan bernada dan gerak tubuh semi teaterikal.

Sebagaimana baca sajak, cerpen atau naskhah, ramai yang menganggap karya-karya ini perlu sekadar dibaca. Mungkinkah begitu juga tanggapan terhadap baca catatan? Tentu tidak menarik langsung sekiranya hanya dibaca.

Tidak dinafikan, baca catatan MBJB itu sesekali merimaskan. Barangkali kerana durasinya terlalu panjang, atau audiens masih belum dapat menerima sesuatu yang baharu.

Begitu pun, kelahiran baca catatan boleh menjadi alternatif baharu kepada audiens yang telah terlalu biasa menikmati pembacaan/pendeklamasian sajak, dan dendangan lagu puisi. Hal ini malah mempelbagaikan lagi persembahan pentas di negara kita.

Sebagaimana baca cerpen dan baca naskhah, kemunculan baca catatan di khalayak pentas negara ini tetap dialu-alukan. Walau bagaimanapun, durasi persembahannya tidak wajar terlalu lama. Maksud dan cara persembahannya juga perlu diberikan tafsiran yang tepat.

Berdasarkan pemerhatian saya tiga dekad lalu itu, baca catatan boleh diteruskan dan dipopularkan. Cuma mungkin jumlahnya tidak sebanyak sajak atau cerpen untuk dipersembahkan. Memang jumlah sajak lebih banyak ketimbang jumlah karya genre lain.

Ketika itu juga saya menjangkakan populariti baca catatan akan memungkinkan lahir pula lebih banyak bahan karya tersebut – sama ada daripada penyair, cerpenis, novelis, dramatis, mahupun penulis yang memilih untuk menulis hanya catatan. Malangnya, tidak menjadi kenyataan meskipun segalanya mungkin.

Begitu pun, sunyi sepi bukan bererti sudah berkubur. Untuk kelainan dan kesegaran penontonan, baca cerpen, baca catatan dan baca naskhah perlu dihidupgiatkan semula.

Cuma, perlu bersyarat juga. Mereka yang mahu tampil di pentas membaca cerpen misalnya, perlu menghebatkan penyampaian – teladanilah cara penyampaian cerpen di radio itu. Akan tetapi, janganlah panjang sehingga 15 minit. Cukuplah kira-kira lima minit sahaja.

Jika tidak dapat mengadakan acara khusus, turut menyertakannya sahaja sudah memadai. Janganlah hanya membaca puisi sahaja, kan?

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).

Kredit Foto: Art Institute of Chicago
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Reaksi

Eureka!

6 November 2024, 09:26