Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menyifatkan medium filem dan karya sastera boleh dijadikan sarana dalam menyebarkan dakwah.
Perkara ini dinyatakan oleh beliau semasa menghadiri Tayangan Perdana Filem Adaptasi Novel Mereka yang Tertewas di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.
Selain itu, beliau menambah bahawa filem Mereka yang Tertewas bukan setakat menghiburkan penonton tetapi turut mendidik jiwa untuk mendalami dan menyedari kepentingan beragama dalam kehidupan seharian”
“Oleh itu, saya sarankan lebih banyak karya-karya seni berunsur dakwah dihasilkan di Malaysia.”
Beliau juga berharap perkembangan teknologi dapat membantu para pendakwah bergiat aktif mengikut acuan terkini kerana jika mereka terus bersifat konservatif, mereka mungkin akan ketinggalan dalam penyebaran dakwah. Menurut beliau;
“Adaptasi terhadap teknologi baharu adalah satu keperluan kritikal terutamanya dalam memastikan dakwah Islam kekal relevan dan mencapai semua lapisan masyarakat.”
Terdahulu, beliau telah sudi meluangkan masa menonton Tayangan Perdana Filem Adaptasi Novel Mereka yang Tertewas terbitan Tujuh Pelangi Maju Sdn Bhd.
filem arahan Dato’ Zulkeflie M. Osman ini bakal menjengah ke pawagam pada 7 November menampilkan sebuah cerita yang berlatarbelakangkan penerapan Islam dalam kehidupan masyarakat di Kampung Bukit Setugal.
Malah, filem ini diadaptasi melalui karya Hasanuddin Md. Isa yang pernah menjadi teks sastera sekolah menengah pada tahun 1991 hingga 2001.
Turut hadir menonton tayangan perdana ini adalah, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg Dato’ Mohd Shaiful Ibrahim; Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, En. Noor Amin Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin; Penerbit Tujuh Pelangi Maju, En. Mohd Hazizi Saodi; Pengarah Jabatan Penerbitan, En. M. Azahari Edin dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Puan Fauzilahyatun Mustafa.