Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pemindahan karya sastera ke skrin melalui proses adaptasi teks merupakan satu daripada usaha dalam menyebarluaskan sastera, bahasa dan budaya kepada masyarakat.
Perkara ini telah memberi peluang kepada masyarakat untuk menghayati karya-karya sastera yang bermutu tinggi terutamanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam bentuk segar mengikut acuan semasa.
Demikian inti pati ucapan perasmian oleh Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari sewaktu Tayangan Perdana Filem Adaptasi Novel Mereka yang Tertewas di Auditorium DBP, malam tadi.
Dalam ucapan tersebut, beliau juga percaya bahawa seni dan sastera saling melengkapi antara satu sama lain.
“Filem bukan hanya sekadar hiburan, tetapi merupakan medium untuk menyampaikan mesej dan menghidupkan cerita, lalu pengadaptasian novel ini ke layar perak adalah satu usaha yang sangat bermakna.” Jelas Dr. Hazami Jahari kepada hadirin.
Dr. Hazami Jahari juga menyentuh tentang belanjawan 2025 yakni menyaksikan Kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada DBP bagi memperkukuh kerjasama dengan penggiat bahasa dan sastera.
Perkara ini memperlihatkan usaha yang jitu oleh kerajaan agar bahasa dan sastera negara perlu terus dipertahankan supaya tidak hilang ditelan oleh zaman.
Oleh itu, pemilihan karya sebegini amatlah bertepatan dengan hasrat kerajaan apatah lagi novel yang dikarang oleh Hasanuddin Md Isa ini merupakan pemenang Hadiah Khas dalam Sayembara Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam dengan kerjasama DBP pada tahun 1988.
Malah, karya ini juga pernah dijadikan teks sastera Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1991 hingga 2001 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Untuk rekod, filem arahan Dato’ Zulkeflie M. Osman yang bakal menjengah ke pawagam pada 7 November menampilkan sebuah cerita yang berlatarbelakangkan penerapan Islam dalam kehidupan masyarakat di Kampung Bukit Setugal.
Perjalanan Tapa yang diterajui oleh aktor Zaidi Omar yang dahulunya hidup sebagai orang miskin di Kampung Padi Setempat, beralih arah berhijrah ke tempat lain setelah maruah diri dan keluarganya dicemuh serta dicaci apabila ingin mengahwini Mimah.
Lantas, Tapa mengembara mencari kehidupan yang baharu, serta mendalami ilmu agama untuk melupakan masa silamnya.
Dia berhijrah ke Kampung Bukit Setugal dan menikahi Jemilah, anak murid tok gurunya, serta menyebarkan syiar Islam.
Walau bagaimanapun, kesucian hati Tapa atau dikenali sebagai Lebai Pa, disalahertikan oleh penduduk kampung tersebut kerana mereka menganggap dia telah menyebarkan ajaran sesat, dan ingin berkuasa di kampung tersebut.
Lebai Pa berusaha untuk mengembalikan pegangan agama penduduk Kampung Bukit Setugal yang semakin goyah dengan hiburan dunia sehinggakan kebanyakan anak muda kampung tersebut terjebak dengan perkara maksiat.
Ternyata usaha Lebai Pa tidak sia-sia apabila mendapat sokongan Uda Puat, Mat Yasin dan Pudin meskipun pelbagai tohmahan dilemparkan untuk menghalang dia menyebarkan agama Islam.
Selain Zaidi Omar, filem terbitan Tujuh Pelangi Maju ini turut dibintangi para pelakon handalan seperti Fiza Halim sebagai Jemilah, Adam Shahz (Pudin), Fad Anuar, Sherie Merlis, Mubarak Majid, Dato’ Hilal Azman, Ruzaidi Abd. Rahman, dan Haji Zaini Hassan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli Hasan telah sudi meluangkan masa bersama-sama menonton tayangan perdana filem Mereka yang Tertewas.
Turut hadir menonton tayangan perdana ini adalah Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg Dato’ Mohd Shaiful Ibrahim; Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, En. Noor Amin Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin; Penerbit Tujuh Pelangi Maju, En. Mohd Hazizi Saodi; Pengarah Jabatan Penerbitan, En. M. Azahari Edin dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Puan Fauzilahyatun Mustafa.