Oleh Norawi Hj. Kata
12 Oktober 2024, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labirin dalam Helaian kali ini menampilkan Norawi Hj. Kata. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.05/2024. Cari dan telaah buku pilihannya dan pengalaman bacaannya.

Buku yang dibaca sekarang | Saya sedang membaca novel Mahabbah karya Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad. Novel setebal 213 halaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini mempunyai kelainan dalam teknik penulisan.

Pengarangnya tertumpu pada watak Endar, ikon lelaki tua yang mengalami serangan penyakit Myasethenia Gravis (MG) sehingga melumpuhkan anggota badannya dan terlantar di perbaringan, hanya berupaya menggerakkan mindanya.

Pengarang cuba memasuki jiwa wataknya iaitu Endar yang berhadapan dengan persoalan bangsanya yang berpecah dan bertelagah serta dirinya yang telah bersedia untuk meninggalkan alam fana dan berpindah ke alam barzakh. Ada petikan yang menarik perhatian saya, iaitu:

Endar sebenarnya lebih menyayangi Allah daripada segala-galanya. Endar sedia melepaskan kedua-dua orang anaknya pergi ke mana-mana saja. Dan, kalau kelak malapetaka yang tiba-tiba datang menimpa setiap makhluk,maka Endar sedia menerima akibatnya kalau anak-anaknya turut terkorban dan semua sanak saudaranya turut musnah akibat malapetaka itu.

Walaupun terkapuk di atas ranjang, Endar masih berusaha untuk mendamaikan dua anaknya, Abdul Rahman dan Abdul Rahim yang berlainan saf kefahaman. Shahnon juga berjaya menggambarkan kiasan dalam novel ini melalui dua batang sungai yang dipisahkan melalui satu tebing. Penggunaan gaya metafora sungai dengan pemakaian diksi yang membekas itu sangat terasa dengan situasi bangsa yang berlaku. Walaupun Endar dalam keadaan kaku, lumpuh dan hanya matanya yang mampu berkelip dan mulutnya terkumat-kamit, tetapi dia bercita-cita untuk menyatupadukan dua batang sungai (perlambangan) yang berlainan saf dengan degupan hati dan denyutan akalnya; selaras dengan hadis Rasulullah SAW.

Bagi saya, novel ini penuh dengan sindiran. Digambarkan watak yang tak berupaya, tetapi ada keinginan untuk menyatupadukan dua saf, iaitu dua anaknya yang berbeza ideologi kerana tidak menginginkan perpecahan umat. Semangat keislaman dan kebangsaan yang diutarakan sangat berkesan melalui gambaran watak Endar. Teknik yang digunakan berbeza daripada sasterawan yang lain, menjadikan novel ini berjaya membawa kelainan.

Pengarang mengharapkan perpecahan dan krisis bangsa yang melanda membuatkan pembaca sedar, usaha untuk mengembalikan ukhuwah perlu dilakukan dengan tangan, lidah dan hati, sungguhpun usaha hati itu selemah-lemah iman.

Secara jujurnya, sepanjang pembacaan saya dapat membayangkan watak Endar yang lumpuh tetapi berkeinginan untuk menyatupadukan dua saf. Penyampaian dan naratif pengarang amat konsisten.

Buku yang digemari sepanjang zaman | Novel Senjakala karya Baharuddin Kahar. Saya sangat kagum dengan penyampaian Baharuddin melalui watak Kinto, seorang pemburu tua yang berburu selama lebih daripada seratus hari bagi mendapatkan daging rusa yang diidamkan oleh anak perawannya yang sakit.

Membaca novel ini, saya dapat melihat kegigihan Kinto yang tidak mengenal putus asa dalam menghadapi cabaran berburu di dalam hutan. Walaupun novel ini berakhir dengan kesedihan, tetapi nilai keunggulan kasih sayang seorang ayah akan terpahat dalam diri saya sebagai pembaca. Berburu memerlukan kecekalan dan ilmu semasa berada di hutan. Tetapi ternyata walaupun Kinto berjaya mendapatkan rusa, tetapi daging rusa itu tak sempat dinikmati oleh anak perempuan kesayangannya.

Novel ini menyerlahkan falsafah tentang pencarian diri, menerima kekalahan dan perjuangan kasih sayang seorang ayah yang tidak berbelah bahagi. Kita tersentuh dengan pelukisan watak Kinto. Bagi saya, sebagai seorang pembaca, saya membayangkan diri sebagai seorang ayah seperti Kinto. Adakah kita seteguh atau secekal Kinto? Novel ini mendidik jiwa seseorang ayah untuk prihatin terhadap anak selain saya yakin, dapat meninggalkan kesan kepada sesiapa sahaja pun yang membacanya.

Penulis yang digemari sepanjang zaman | Pada peringkat awal saya tumbuh minat dalam sastera, ada beberapa orang penulis yang saya minati. Saya meminati SN Usman Awang melalui puisi “Hadiah Hari Lahir” dan Latiff Mohidin melalui puisi “Songsang” yang terkandung dalam antologi Bahasa Alam, yang menjadi teks sastera pada tahun 1985.

Pada mulanya, saya menulis dengan terikut-ikut gaya Usman Awang. Saya tertarik dengan sajak-sajak beliau dari aspek keindahan bahasa dan muzik bahasanya. Ada sajak-sajaknya yang sedap diucapkan kerana keseimbangan rima dan bunyi, selain menyampaikan mesej perpaduan dan kemanusiaan yang tinggi. Semasa berkerjaya, saya mula tertumpu pada sajak-sajak SN Muhammad Haji Salleh, T. Alias Taib dan Zaen Kasturi. Selain itu, saya juga menggemari tulisan Baharuddin Kahar.

Watak dalam karya sastera yang digemari | Saya sukakan watak Tukya dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah. Tukya memperlihatkan sikap golongan tua yang tetap tegas dalam usahanya mempertahankan pendiriannya terhadap corak kehidupan tradisi, yang amat rapat dengan alam semula jadi di kaki Gunung Bongsu. Tukya seorang ayah yang sayang terhadap keluarganya, terutama isteri, anak serta cucu-cucunya. Saya juga kagum dengan watak Tukya kerana kegigihannya menyara kehidupan keluarga.

Genre penulisan yang seronok dibaca | Kesemua genre sastera saya minat. Tapi yang paling saya minat ialah puisi. Sejak di bangku sekolah lagi, saya seronok membaca buku puisi. Setelah berkerjaya, saya selalu mengunjungi Kedai Buku DBP Sabah semata-mata membeli kumpulan puisi penulis hebat, umpamanya Katarsis Zaen Kasturi dan Pengalaman Wadi Leta S.A. terbitan DBP.

Beberapa kumpulan puisi Muhammad Haji Salleh, T. Alias Taib dan Suhaimi Haji Muhammad juga menjadi bacaan wajib saya dan masih disimpan di rak buku hingga kini. Saya juga memilih kumpulan cerpen Capa Rengat karya Baharuddin Kahar. Tapi dalam banyak-banyak cerpen Baharuddin Kahar, saya amat mengagumi cerpen “Keindahan yang Hilang”. Cerpen ini membuatkan saya menangis ketika membacanya.

Buku yang diulang baca | Membaca semula novel Salina. Kali pertama saya membaca Salina pada tahun 1993. Saya mengulang baca novel tersebut kerana ingin menghayati semula kisah kemiskinan masyarakat akibat Perang Dunia Kedua. Saya juga ingin bertemu semula dengan Salina. Timbul tanda tanya, bagaimana paras rupa sebenar Salina? Selain itu, saya tak jemu membaca cerpen, khususnya cerpen-cerpen Baharuddin Kahar seperti “Keindahan yang Hilang”, “Capa Rengat” dan cerpen Khadijah Hashim, “Mawar Merah di Jambangan”. Entah mengapa, saya suka mengulang baca karya-karya yang menjadi kegemaran. Mungkin saya sukakan pengalaman bacaan itu.

Buku yang menjadikan saya penulis | Sewaktu belajar di bawah aliran sastera di sekolah menengah, saya sangat tertarik dengan puisi “Hadiah Hari Lahir” Usman Awang yang termuat dalam antologi bersama Bahasa Alam. Saya ingin menulis puisi seperti itu, tapi sering diingatkan oleh guru sastera agar tidak meniru atau menjiplak karya orang lain. “Jika kalian didapati meniru, malulah, hancur maruah kalian”, pesan guru sastera kami. Saya terus membaca puisi-puisi Usman Awang selepas itu.

Saya tertarik dengan puisinya kerana keindahan bahasa dan muzik katanya. Bagi saya, puisi itu sedap diucapkan. Atas sebab itu hal ini mendorong saya menulis puisi, “Nasibmu Bunga”. Walaupun saya belum berpuas hati dengan puisi itu, tetapi saya bangga kerana mendapat suntikan semangat menulis hasil pembacaan puisi Usman Awang.

Dunia bacaan kanak-kanak | Saya tidak ingat judul buku dan penulisnya. Tapi seingat saya, semasa di sekolah rendah, kami dibahagi-bahagikan buku siri penyiasatan. Oleh sebab banyak unsur saspens dalam alur penceritaan novel itu, tanpa sedar, saya dapat menyiapkan bacaan dalam tempoh sehari sahaja. Kini, saya gemar membaca kumpulan puisi kanak-kanak terbitan DBP seperti Bermain Gerimis (Lim Swee Tin) dan Sakura (Mahaya Mohd Yassin).

Buku bukan fiksyen yang disukai | Ghairah Dunia dalam Empat Baris: Sihir Pantun dan Estetiknya tulisan Muhammad Haji Salleh.

Buku yang biasa sahaja, tetapi tidak bagi orang lain | Buku motivasi cinta.

Rancangan bacaan yang seterusnya | Novel karya SN Anwar Ridhwan, Penyeberang Sempadan. Setelah mendengar cerita daripada kawan-kawan akan kehebatan novel ini, saya bertindak untuk membuat pesanan belian melalui Shopee,

Rak buku atau pustaka? | Hanya rak buku yang tak tersusun kemas. Buku-buku tidak dapat dimuatkan kesemuanya di dalam rak. Saya mengambil inisiatif untuk menyusun buku berlebihan di atas lantai dalam sebuah bilik bacaan.

Beli buku tulisan sendiri? | Saya kerap membeli buku sendiri, terutama dua buah buku terbitan DBP. Siapa lagi yang menghargai diri, jika bukan saya sendiri? Setiap bulan saya membeli 10 naskhah kumpulan puisi Melukis Cermin dan 10 naskhah kumpulan puisi Tetamu Musim Hujan. Mungkin ada yang bertanya, nak jual buku itu? Jika ada yang mahu beli, silakan, tapi kebanyakannya mengharapkan yang percuma. Tapi tak apalah, biasanya saya hadiahkan buku itu bagi sesiapa yang banyak membantu saya.

Selera pembacaan | Boleh dikatakan setiap hari saya membaca buku puisi. Saya juga suka membaca buku motivasi dan keagamaan.

Suasana ideal untuk membaca | Pada waktu malam yang sepi atau pada bila-bila masa ketika keseorangan.

Pilih seorang penulis untuk menjadi Sasterawan Negara | Zaen Kasturi

______________________________

Kenali Norawi Hj. Kata dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil.05/2024. Beli majalah Dewan Sastera Bil.05/2024 versi PDF di sini atau versi bercetak di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.