Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMarsli N.O bermuhasabah tentang usaha mengawal diri apabila dalam proses menulis.
Atas sikap kurang mampu mengendalikan rasa ghairah dan rasa seronok sehingga ingin melihat karya disiarkan secara segera, terutamanya di media sosial, karya yang sebenarnya baru pada tahap pencurahan, segera kita paparkan tanpa melalui tahap yang sepatutnya.
Tiada terjadi segala sesuatu secara tiba-tiba tanpa sebab dan akibatnya yang menjadi mula serta punca. Demikian dengan proses menulis. Siapa pun dia, seorang yang menulis tidaklah menulis secara tiba-tiba atau automatik.
Sebagai seorang manusia biasa yang dianugerahi sedikit kebolehan untuk menulis, inilah yang dialami, dilalui dan diamalkan oleh saya. Saya menulis kerana adanya dorongan, sentuhan dan rasa ghairah yang menggebu-gebu dalam diri. Itulah yang dialami dan dirasakan ketika setiap kali mahu mulai menulis.
Dorongan dan rasa ini muncul setiap kali selepas membaca tulisan yang merangsang dan mencabar pemikiran atau tersentuh emosi dan fikiran kerana sesuatu isu yang melibatkan diri dan kemanusiaan sejagat yang dilihat dan didengar. Dorongan untuk menulis ini juga ada hubung kait dengan perasaan dan rasa seronok apabila melihat karya sendiri disiarkan.
Namun demikian, tatkala setiap kali muncul rasa ghairah yang menggebu-gebu untuk menulis dan rasa seronok mahu melihat karya sendiri disiarkan, selalu saya peringat diri agar menahan dan meredakan perasaan itu untuk seketika.
Memang setiap kita yang bergelar penulis wajar sentiasa memiliki rasa ghairah untuk menulis terus-menerus, namun sesekali waktu, rasa ghairah yang sedemikian itu, agar tidak menjadi keghairahan yang melulu sifatnya, seeloknya diredakan seketika oleh setiap kita yang bergelar atau merasakan dirinya seorang penulis.
Tujuannya agar dengan demikian, kita dapat kembali merenung dan meneliti hal yang akan, sedang dan telah ditulis.
Betapa pun didorong oleh rasa ghairah dan seronok yang menggebu-gebu, saya berusaha mewaraskan diri sendiri dan menyedarkan diri, betapa tujuan menulis bukanlah semata-mata atas emosi.
Sebuah karya memang perlu memiliki nuansa emosi. Namun hal itu bukanlah sarat dengan muatan emosi yang sifatnya melulu. Atau jika memuatkan fikiran di dalamnya, proses itu merupakan bancuhan antara emosi dengan fikiran yang wajar dan sama-sama seimbang serta saksama.
Proses menulis itu sendiri ada fasa dan tahapnya. Setiap fasa, antara gugahan, perenungan, pencurahan, pengenapan, penghalusan dan katarsis, berbeza tahap dan fokusnya.
Semua ini perlu diperhatikan benar-benar sesaksama mungkin. Perlu dibezakan dan diperhalusi sesungguh hati.
Tujuannya tidak lain, agar sesuatu yang kita tulis dan lahirkan sebagai produk akhir, yang kita siarkan atau kirimkan ke media tidak salah sasaran dan bersifat semberono, yang apabila dibaca dengan mata teliti oleh pembaca atau orang lain, hanyalah sesuatu yang sifatnya tergesa-gesa, tidak benar-benar dimatangkan, kurang pengenapan dan tiada usaha menyempurnakannya secara bersungguh-sungguh.
Atas sikap kurang mampu mengendalikan rasa ghairah dan rasa seronok sehingga ingin melihat karya disiarkan secara segera, terutamanya di media sosial, karya yang sebenarnya baru pada tahap pencurahan, segera kita paparkan tanpa melalui tahap yang sepatutnya, iaitu pengenapan dan penghalusan.
Sebagai seorang penulis yang masih ingin mengukuhkan tapak berdirinya sendiri, saya selalu mengingatkan diri ini agar punya daya dan kekuatan untuk menahan dan terus bertahan ketika berhadapan dengan rasa ghairah menggebu-gebu untuk menulis dan rasa seronok ingin melihat karyanya segera disiarkan.
Rasa ghairah dan seronok ini ditahankan dengan cara mengajak diri agar bertenang, mengheningkan diri, merenung dan berfikir dengan lebih teliti serta mendalam.
Sesuatu subjek atau persoalan yang dipilih sebagai bahan penulisan saya usahakan agar terlebih dahulu dicernakan dalam fikiran, diendapkan, disaring, sehingga benar-benar menjadi jernih. Setelah dirasakan matang dan saksama, barulah kembali dijelmakan sebagai produk akhir dalam bentuk tulisan.
Namun sebagai manusia penulis yang masih mencari tapak kukuh untuk dirinya berdiri, saya akui tidak selamanya saya mampu untuk bersabar dan menahan diri daripada perasaan berasa ingin cepat melihat hasil karyanya disiarkan atau dikirimkan kepada penerbitan, walau saya tahu karya tersebut belum benar-benar telah dijernihkan.
Sebagai manusia biasa yang sering berbuat silap, saya kerap menjadi alpa dan tergoda untuk bersikap sambil lewa ketika sedang menulis. Lalu kemudian harinya, saya tidak berkesudahan menyesal kerana menghasilkan terlalu banyak karya bertaraf sampah. Namun penyesalan sudah tidak berguna lagi. Anehnya, kerana tidak memiliki daya kawalan, kekuatan untuk menahan dan ketahanan, kesilapan yang sama diulangi lagi, berkali-kali.
Inilah tujuan sebenar tulisan kecil pengakuan ini. Saya tidak ingin mengajar dan berkhutbah untuk sesiapa. Saya sedar siapa diri saya dan kerana itu, hanya ingin memperingatkan diri saya sendiri.
Semoga saya mampu belajar daripada kesilapan sendiri dan tidak mengulangi lagi kesilapan yang sama berkali-kali.
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].