Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Portal berita Variety.com baru-baru ini melaporkan secara eksklusif bahawa pelakon Idris Elba dikatakan bakal membawa watak paling ikonik dalam sastera Afrika, Okonkwo ke televisyen.
Okonkwo, watak pejuang dan pemimpin Afrika yang berani melindungi rakyat dan budayanya daripada penjajahan British ialah karakter yang ditulis oleh novelis Nigeria, Chinua Achebe dalam novel pertamanya, Things Fall Apart.
Novel itu turut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh ITBM pada tahun 2010, dengan judul Terlerai dan Berkecai.
Menurut portal berita itu, siri TV adaptasi berkenaan sedang dalam pembikinan dengan Idris Elba yang dikaitkan sebagai bintang utamanya.
Things Fall Apart pertama kali diterbitkan pada tahun 1958, yang mengisahkan kehidupan prakolonial di Igboland, sebuah kawasan di timur Nigeria. Naskhah itu dianggap sebagai novel Afrika moden yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan menerima pengiktirafan hampir seluruh dunia.
Novel ini mengisahkan Okonkwo, seorang pemimpin berpengaruh dan pejuang yang ditakuti dan juara gusti tempatan. Susulan penerbitan novel ini, Achebe turut melahirkan sekuelnya, No Longer at Ease (1960) juga Arrow of God (1964).
Achebe turut menyatakan bahawa dua novel kemudiannya, A Man of the People (1966) dan Anthills of the Savannah (1987), walaupun tidak menampilkan keturunan Okonkwo, ialah penerus spiritual terhadap novel-novel sebelumnya dalam usaha merakam sejarah Afrika.
Achebe dilahirkan sebagai Albert Chinualumogu Achebe pada tahun 1930 ialah tokoh sastera terkemuka Nigeria.
Sepanjang kerjayanya, Achebe menulis tentang isu identiti, kolonialisme dan budaya Afrika, dan karyanya sering dianggap sebagai kritikan terhadap sastera kolonial.
Beliau meninggal pada tahun 2013 dan dikenang sebagai suara yang kuat dalam memperjuangkan hak dan budaya Afrika.