Diterbitkan pada 26 September 2024, 19:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi cuba menjelaskan kepentingan deria fizikal dan keenam dalam proses menulis dan membaca sajak.

Proses mencipta sajak memerlukan kebijaksanaan penyair untuk menyentuh deria kemanusiaan dalam seni berbahasa demi menciptakan sensasi puitika.

Refleksi ini sedikit lewat dalam usaha membicarakan hal tentang sajak. Sebelum sajak menjadi sajak, masyarakat memahami sajak sebagai sesuatu yang cocok, segak, cantik, menawan, tampan, lawa, dan indah. Bukankah makna ini sangat sejajar dengan makna puisi oleh Samuel Taylor Coleridge, iaitu kata-kata terpilih dalam susunan terbaik?

Sasterawan Negara (SN) Rahman Shaari mengatakan bahawa sajak ialah puisi bebas kerana penyimpangan-penyimpangan yang membezakan bentuknya daripada puisi tradisional.

SN Prof. Muhammad Haji Salleh pula mengungkap sajak sebagai muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Dengan sifat kekentalan sajak itu, setelah dibaca, akan menjadikan kita lebih bijaksana.

Za’ba pula memperakui bahawa puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Selain itu, karangan berangkap merupakan karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodohkan bunyi, rentak atau isinya, malah kebanyakannya memakai timbangan atau sukatan yang tertentu. Maka, dengan gambaran yang cantik ini, perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya.

Abdul Halim Ali menyifatkan sajak sebagai karya sastera yang sangat puitis dan sarat dengan unsur estetika, dan dengan kehadiran puitis tersebutlah menghadirkan estetika perbezaan antara puisi dengan prosa.

SN Baha Zain pula mengatakan bahawa sajak tidak berbicara segalanya dan tidak diungkap kepada semua.

Berdasarkan beberapa pernyataan di atas, dapatlah kita fahami bahawa sajak sebahagian daripada puisi, bentuknya berangkap dan bebas. Ungkapannya berirama, membawa nilai estetika dan puitis dalam seni berbahasa. Kadang-kadang, gambaran dalam sajak bersifat samar dan makna sajak itu mungkin sukar difahami. Namun begitu, apabila selesai membacanya, sajak membuatkan kita berasa lebih bijak, sama ada dapat memperdalam intuitif dan wacana falsafah, atau secara harfiahnya menikmati ungkapan yang bersifat mimesis terhadap alam dan kehidupan manusia.

Sentuhan Sensasi Puitika dalam Proses Penciptaan Sajak

Memahami apa itu sajak tentunya berbeza dengan memahami proses penciptaan sajak. Proses mencipta sajak memerlukan kebijaksanaan penyair untuk menyentuh deria kemanusiaan dalam seni berbahasa demi menciptakan sensasi puitika (poetic sense) dalam sajak.

Deria kemanusiaan terbahagi kepada dua, iaitu deria fizikal dan deria keenam.

Deria fizikal ada lima iaitu mata, telinga, hidung, mulut, dan kulit. Deria keenam pula merangkumi intuisi, taakulan, emosi, falsafah, spiritual, logika, dan pemikiran.

Sajak bermula dengan pengaktifan deria keenam dan dikukuhkan dengan sentuhan deria fizikal. Sajak membawa cerita tetapi sajak bukanlah cerita. Secara logik, seseorang penyair tidak akan ada cerita yang dapat disampaikan dalam sajaknya jikalau deria keenam ini tidak diaktifkan. Cerita ialah gelanggang penyair untuk memperkukuh serangan dengan mengaktifkan deria-deria kemanusiaan. Dengan keupayaan penyair bermain dengan unsur bahasa memungkinkan deria-deria ini disentuh.

Namun begitu, dewasa ini kita melihat lebih ramai penyair terlalu ghairah merias rumah sajak sebelum membina tiang serinya. Dalam kata lain, terlalu bermain dengan unsur bahasa sebelum memperkasa pemikiran dan sentimen dalam sajak yang mahu ditulis.

Itulah mengapa terdapat berlambak sajak baharu yang dicipta lemah kerana pemakaian bahasa yang lusuh. Hal ini kerana terlalu ramai penyair yang menuliskan semula apa-apa yang telah dan pernah disampaikan oleh orang lain. Baik dari sudut estetika mahupun gagasan.

Proses penciptaan karya sastera itu rumit kerana selain keindahan, sastera berkembang seiring dengan pemikiran.

Apabila menyebutkan sastera, hal yang selalu dimaksudkan ialah sastera perdana. Oleh sebab itu, pada pandangan ramai orang, setiap yang berkaitan dengan sastera maka tidak terpakai pada penciptaan karya yang lain. Perlu kita fahami, jalur sastera berbeza membawa cara pengungkapan dan pengucapan yang berbeza. Segmentasi ini dilaraskan mengikut keperluan khalayak yang membacanya.

Namun begitu, tidak kira sajak sastera perdana, sajak sastera alternatif atau sastera hiliran seperti sajak “penyembuh” atau “perawat jiwa” (healing), kekuatan sajak tidak dipandu oleh jalur sastera yang mana, tetapi dinilai dengan cara, sama ada sajak tersebut ditulis dengan kehadiran sensasi puitika yang mampu diandal.

Menilai Sajak yang Sedap

Jika sajak tidak berbicara segalanya dan tidak diungkapkan pada semua, maka sajak dengan penilaian daripada kelompok yang tidak disasarkan akan menganggapnya tidak sedap.

Apabila menilai sama ada sesebuah sajak itu sedap atau tidak; kita perlu berpaksi pada dua keadaan: (1) penciptaan sajak: proses mencipta karya yang baik dan (2) pengalaman bacaan: bagaimana pembaca berinteraksi dengan karya.

Ketika mencipta sajak, saya suka menyamakan penyair sebagai tukang masak. Apabila menulis sajak, penyair perlu pastikan kebijaksanaannya menjentik sensasi puitika dalam sajak itu perlu secukup rasa. Tidak boleh terlalu berlebihan, apalagi kurang.

Dalam kata lain, sajak perlu menyentuh intuisi, taakulan, emosi, falsafah, spiritual, logika, dan pemikiran secara kukuh. Inilah gagasan yang akan memperluas horizon sastera dalam masyarakat.

Kemudian, sajak perlu disusuli dengan keindahan berbahasa yang menyentuh deria. Di sinilah pemilihan perkataan yang tepat memainkan peranan yang paling penting. Diksi dan frasa yang mampu menyentuh kesemua deria kemanusiaan akan memastikan keberkesanan penyampaian sajak tersebut kepada khalayaknya.

“Sedap” bersifat subjektif. Jika sajak tidak berbicara segalanya dan tidak diungkapkan pada semua, maka sajak dengan penilaian daripada kelompok yang tidak disasarkan akan menganggapnya tidak sedap.

Adakah Sajak yang Tidak Difahami Tidak Sedap?

Saya tertarik membaca pandangan Muhammad Lutfi Ishak dalam Cara Mengenal Pasti Pendengaran Isteri dan Isu Kefahaman dan bersetuju tentang kefahaman puisi ini perlu dibincangkan pada paksinya.

Jika hal interaksi pembaca terhadap karya diteliti, salah tanggap dan kekaburan dalam sajak akan dipertimbang sebagai pengurang nilai. Secara kolektif, pandangan ini memungkinkan sesebuah sajak dianggap tidak sedap dan lemah kerana pengalaman yang dikongsi tidak dapat difahami. Ketiadaan sentuhan merupakan salah satu sensasi ketika proses memahami bacaan juga menyebabkan sajak tersebut kehilangan nilai tunjangnya.

Dalam proses menulis sajak, penulis perlulah mengaktifkan deria keenam mereka terlebih dahulu, manakala dalam proses memahami bacaannya, begitulah pula sebaliknya.

Sentuhan deria fizikal akan mengaktifkan pemahaman pembaca terlebih dahulu, sebelum sesebuah sajak itu dapat ditanggapi dengan intuisi, taakulan, emosi, falsafah, spiritual, logika, dan pemikirannya.

Apabila saya menyatakan kehadiran sensasi puitika mampu diandal, saya maksudkan bahawa dalam 10 orang yang membaca, kalau sembilan mengatakan sedap, maka sajak itu sedap.

Rasa “sedap” itu terhasil daripada kesan secukup rasa yang diolah dalam penciptaan sajak. Enam sensasi ini akan mengaktifkan rangsang deria ke otak secara seimbang sehingga mengesan makna dan keindahan dalam sajak tersebut.

Tulisan ini membuatkan saya melangkah setapak ke belakang demi kembali untuk belajar dan memperbaharui kefahaman kendiri tentang puisi dan proses kreatif.

Sajak merupakan karya seni berbahasa yang menggabungkan unsur estetika, puitis dan kebijaksanaan penyair. Proses penciptaan sajak bukan hanya memerlukan kemahiran bermain dengan bahasa, tetapi juga melibatkan keupayaan penyair untuk menyentuh deria fizikal dan deria keenam pembaca. Sajak yang tidak difahami oleh pembaca tidak semestinya kurang nilainya, tetapi penilaian terhadap “kesedapan” sajak itu bergantung pada cara sajak mempengaruhi dan diterima oleh khalayak.

Dalam kata lain, kebijaksanaan dalam usaha mencipta sajak ialah kunci utama untuk menghasilkan karya yang mampu mengaktifkan sensasi puitika, sekali gus menjadikan sajak tersebut lebih bermakna dan mempengaruhi pembaca.

Saya percaya, tidak ada sajak yang sempurna, tetapi sajak yang baik mampu dicipta.

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Kredit Foto: cdd20/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi