Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Ketil – Naib Canselor, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) Dr. Mohd Amy Azhar menegaskan program seperti bicara karya berfungsi sebagai platform untuk pelajar dan masyarakat memperkukuhkan pemahaman mereka terhadap sastera.
Malah beliau juga menyatakan kelebihan bicara karya adalah dapat memupuk dan menanam minat membaca dan seterusnya merintis jalan kepada pendengar untuk menulis. Ujarnya;
“Program seumpama ini penting untuk membina budaya ilmu dan memperkaya minda pelajar serta masyarakat bahkan memberi ruang untuk menghayati puisi serta menggalakkan penglibatan lebih mendalam dalam dunia sastera dan penulisan.”
Beliau berkata begitu ketika merasmikan Program Pelancaran Buku dan Bicara Karya Antologi Puisi Bicara Sunyi di Dewan Perpustakaan UniSHAMS, semalam.
Program ini merupakan anjuran UniSHAMS dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) yang mendapat sambutan hangat daripada warga universiti dan komuniti setempat.
Dalam ucapan, beliau turut menambah, program sebegini membuka ruang kepada pelajar meneroka cara baharu dalam menginterpretasikan teks sastera dan menyumbang kepada pembentukan pemikiran kritis.
“Naskhah ini bukan sekadar sebuah buku puisi tetapi juga mencerminkan suara masyarakat dan alam yang perlu difahami dan dihargai oleh generasi muda”
“Oleh itu, program seperti ini mampu mencetuskan minat dalam kalangan pelajar untuk menghasilkan karya kreatif yang menyumbang kepada pembangunan sosial dan budaya,” katanya.
Selanjutnya, sesi bicara karya yang berlangsung selepas majlis pelancaran menampilkan dua ahli panel, iaitu Dr. Husairi Hussin dan Dr. Mohamed Nazreen, manakala Puan Zalina Ahmad bertindak sebagai moderator.

Kedua-dua ahli panel memberikan pandangan mendalam tentang isi penting karya yang termuat dalam antologi tersebut.
Dr. Husairi Hussin menyifatkan bahawa antologi ini menawarkan perspektif yang menyentuh jiwa dan sesuai untuk dijadikan bahan pengajaran kepada pelajar bagi memahami kehidupan melalui puisi.
“Puisi dalam antologi Bicara Sunyi mampu menjadi cermin kepada pengalaman peribadi dan kolektif masyarakat. Puisi di dalam buku ini membawa suara kesunyian yang mendalam tetapi penuh dengan makna yang menyentuh,” ujarnya.
Sementara itu, Dr. Mohamed Nazreen menekankan hubungan erat antara puisi dan masyarakat dengan antologi ini menjadi salah satu karya yang dapat merapatkan jurang antara generasi.
Beliau berkata, “Setiap karya dalam antologi ini bukan sahaja memuatkan luahan perasaan tetapi juga mendorong masyarakat untuk merenung kembali hubungan mereka dengan alam dan sesama manusia. Ini adalah karya yang sangat relevan untuk kita semua.”
Program yang berlangsung meriah ini berjaya menarik minat ramai pencinta sastera termasuk pelajar-pelajar dan guru-guru yang berminat dalam bidang penulisan kreatif.
Terdahulu, Bicara Sunyi yang disunting oleh Ibnu Din Assingkiri merupakan himpunan antologi yang baru diterbitkan oleh DBP.