Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Peradaban negara bangsa tidak sahaja diukur melalui pencapaian kemajuan teknologi dan fizikal seperti bangunan atau prasarana yang canggih tetapi juga menerusi bidang sastera.
Bidang sastera membantu masyarakat lebih memahami kehidupan dan dunia di sekeliling agar memberikan suatu yang positif, malah melaluinya, sastera membantu memperlihatkan imaginasi, empati dan cakupan ilmu kepada seseorang manusia.
Demikian kata-kata yang disampaikan oleh Pengerusi Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ketika menyampaikan ucapan dalam Konvesyen Sejarah dan Perpaduan Nasional di Hotel Doubletree by Hilton, Shah Alam pada pagi tadi.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan beberapa prinsip karya sastera bermutu tinggi yang memangkin kepada perabadan negara bangsa, iaitu tahap pemikiran, emosi yang intens dan komposisi yang kemas.
Malah, beliau juga menyatakan diksi dan metofara yang sesuai serta gaya bahasa yang tepat melahirkan seorang pujangga yang hebat lalu dapat memberikan sesuatu dalam membina peradaban negara bangsa.
SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan juga memetik kata-kata yang pernah diungkap oleh SN Prof. Muhammad Haji Salleh berkenaan kepentingan sastera.
“Kesusasteraan merupakan ucapan yang signifikan dan penting untuk manusia, yang tumbuh dari bahasa dan keperluan untuk menyampaikan makna kepada khalayak”
“Sastera juga catatan dan pengajaran sejarah yang dilalui bangsa lantas melukis jati diri dan falsafah alam” Jelas beliau lagi.
Sebelum menutup syarahannya, beliau menyatakan setiap negara besar mesti memiliki karya sastera besar atau agung.
Sebagai contoh, di tanah air kita, setiap orang harus membaca atau sekurang-kurangnya mengetahui Hikayat Hang Tuah, Sulalat al- Salatin dan khazanah pantun-pantun tradisional yang kita miliki.
Hal ini akan menyebabkan kita akan sentiasa merenung sejarah lampau dan akhirnya memberikan kita sebuah kesedaran dan melahirkan kecintaan kepada watan.
Terdahulu, Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 yang bertemakan “Menelusuri Sejarah: Membina Perpaduan Negara Bangsa” telah diadakan selama dua hari, bermula 19 September.
Konvensyen ini merupakan satu platform penting untuk kita mengambil iktibar daripada sejarah, khususnya buat generasi muda yang akan menjadi pewaris negara.
Perasmi konvesyen, iaitu Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pada era dunia tanpa sempadan masa kini, kadangkala kita alpa dan mudah terjebak dalam isu-isu perkauman yang akhirnya melemahkan kesatuan kita sebagai satu bangsa Malaysia.
Hal inilah yang perlu dielakkan dan sejarah mengajar kita agar sentiasa mengekalkan perpaduan serta keharmonian dalam masyarakat pelbagai di dalam negara ini.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan kerajaan sentiasa komited untuk memastikan semua lapisan masyarakat terutama golongan muda memahami sejarah negara bangsa.
“Dengan pengetahuan yang kukuh, kita mampu menolak fahaman sempit yang memecah-belahkan masyarakat agar kekal bersatu dalam kemajmukan”
“Dengan perpaduan yang jitu dan semangat cinta akan tanah air, saya amat yakin bahawa Malaysia akan terus maju sebagai sebuah negara yang harmoni dan sejahtera.”