Oleh Masyitah Hazami
1 September 2024, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching –  Cerpenis, Abang Median Abang Said telah dijemput berkongsi pengalaman kepengarangannya dan memberi bimbingan dalam Bengkel Perolehan Manuskrip Buku Sastera (Cerpen), baru-baru ini.

Bengkel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dengan kerjasama Penjara Negeri Sarawak ini telah disertai oleh 25 orang peserta dari penjara seluruh Sarawak, yakni Penjara Puncak Borneo Kuching, Penjara Pusat Sri Aman, Penjara Pusat Sibu, Penjara Pusat Miri, Pusat Koreksional Bintulu dan Penjara Limbang.

Selama dua hari bengkel diadakan, Abang Median Abang Said berkongsi tentang teknik menulis cerpen, kaedah membina plot penceritaan serta cara menulis puncak dan pengakhiran cerita.

Dalam menaikkan semangat para peserta, beliau menggunakan kaedah dua hala, iaitu memberi peluang kepada para peserta untuk menulis sinopsis cerita dan meminta mereka membentangkan sinopsis tersebut.

Usai setiap pembentangan,beliau akan terus memberikan komen dan cadangan penambahbaikan kepada para peserta agar mereka dapat memperbaiki jalan cerita sebelum karya dihantar ke Unit Penerbitan DBPCS.

Sesi pembentangan sinopsis cerpen oleh seorang daripada peserta bengkel.

Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta menunjukkan minat dan semangat yang jitu apabila rata-rata peserta memberikan respons positif terhadap bengkel yang dianjurkan.

Lantaran itu, pelaksanaan bengkel ini telah berjaya membuka peluang kepada semua pegawai serta kakitangan penjara untuk berkongsi pengalaman unik dan menarik sebagai pegawai penjara melalui penulisan cerpen.

Terdahulu, bengkel ini bertujuan untuk memberi ruang kepada pegawai dan warden penjara untuk berkongsi dan menulis tentang pengalaman mereka sepanjang berkhidmat di Penjara Negeri Sarawak.

Melalui pengalaman yang dikongsikan oleh para peserta bengkel, DBP akan mengumpul dan mendokumentasikan kisah-kisah mereka untuk diterbitkan sebagai sebuah buku antologi cerpen.

Penerbitan buku ini diharap dapat memberi pendedahan kepada masyarakat tentang cabaran dan pengalaman berkaitan dengan dunia di sebalik tirai besi dan tembok batu yang dialami sendiri oleh para peserta.

Sebagai tambahan, DBP juga berhasrat untuk mencungkil minat serta mengenal pasti peserta yang berpotensi tinggi dalam bidang penulisan kreatif.

Turut hadir pada hari terakhir bengkel, Penolong Pengarah Penerbitan DBP Cawangan Sarawak, Puan Hajijah Mainol bagi menyempurnakan acara penyampaian cenderamata kepada Ketua Inspektor Penjara, Tuan Awg Indra Awg Abdul Wahab, Ketua Seksyen Latihan selaku wakil Penjara Negeri Sarawak dan pembimbing bengkel, Encik Abang Median Abang Said.

Puan Hajijah Mainol (dua dari kiri), bersama-sama Abang Median Abang Said dan para peserta program Bengkel Perolehan Manuskrip Buku Sastera (Cerpen).
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.