Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSalman Sulaiman menyampaikan belasungkawa dan warkah terakhirnya kepada Allahyarham Darma Mohammad.
Arwah berbuat demikian barangkali kerana berasa terhutang budi dengan saya …
Apabila mula-mula membaca berita pemergian Almarhum Pak Darma Mohammad yang disampaikan oleh Tuan Haji Wan A. Rafar dalam grup WhatsApp AJK PPK pada pukul 11.45 pagi 20 Ogos 2024, saya sangat terkejut dan seperti tidak percaya atas kehilangannya kerana baru Selasa minggu lepas, iaitu pada 13 Ogos 2024, kami baru saja bertemu dalam program Sambutan 25 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur yang diadakan di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN), Tunjong, Kota Bharu. Beliau kelihatan sihat sejahtera seperti biasa.
Pak Darma seperti biasa hadir dengan sahabat seperjuangannya yang juga tinggal di Pasir Mas, iaitu Tuan Haji Wan A. Rafar yang merupakan Ketua 1 Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Arwah meninjau buku-buku yang saya jual di luar Dewan Sri Tunjong dan kami sempat berbual beberapa perkara. Apabila melihat buku Annemarie Schimmel berjudul Mystical Dimensions of Islam berwarna kuning tanah dalam balutan plastik asal yang saya jual, arwah sempat bercerita sedikit perihal Orientalis terkemuka itu dan saya menyahut serta sempat bertanyakan satu soalan tentang Schimmel kepadanya. Arwah juga membuka cerita tentang novel pertamanya yang menang hadiah sagu hati sebuah sayembara penulisan pada zaman mudanya dahulu. Namun begitu, penganjur tidak menerbitkan novel tersebut. Maka kekallah novel pertama arwah itu dalam bentuk manuskrip hingga ke hari ini. Saya katakan kepadanya dan seperti menggesa, “Sayanglah, tak dapat baca. Terbitkanlah.” Arwah membalas saranan saya, “Tak apalah, biarlah. Untuk simpanan sendiri sahaja.” Namun sayang sekali, sekarang – ketika menulis catatan ini, saya sudah lupa judul novel pertama arwah tersebut, yang disiapkannya ketika baru belajar menulis novel pada zaman awal pembabitannya dalam penulisan. Padahal, arwah sudah pun memberitahu judul novel itu pada awal bicara dan sehabis bercakap beberapa ayat. Saya tanyakan sekali lagi kepada arwah tajuk novel pertamanya itu.
Ketika meninjau buku-buku di meja jualan saya, arwah turut mencari-cari buku yang berkenan di hati dan kena dengan jiwanya. Ketika itu juga saya mengesyorkan dan menunjukkan satu per satu buku-buku yang saya fikir sesuai dengan cita rasa arwah. Seingat saya, buku-buku yang saya tunjukkan itu agak ilmiah sedikit dan lebih banyak yang bersifat keagamaan. Saya mencari-cari lagi buku seterusnya (dalam timbunan buku yang bersusun-susun dan bertindan-tindih di atas meja jualan yang agak sempit) untuk ditunjukkan kepada arwah. Hinggalah saya temui buku The History of Rasselas Prince of Abissinia karya Samuel Johnson dan saya hulurkan kepadanya. Buku terpakai dalam bahasa Inggeris yang banyak contengan dan catatan pemilik terdahulu itu menarik minat beliau.
Beliau membelek dan meneliti buku setebal 157 halaman, terbitan Oxford University Press tahun 2009 itu dan katanya, “Pembaca ini bukan membaca seperti biasa, tapi dia membaca untuk mendapat sesuatu. Dia belajar,” sambil tangannya menunjukkan ke tempat contengan berupa garisan-garisan tanda dan catatan di dalam buku yang sudah sedikit lusuh itu. Saya membalas bicaranya, “Bukan calang-calang pembaca ’tu. Dia membaca sungguh.” Begitu kira-kira perbualan kami (yang saya ingat) tentang buku yang agak menarik perhatian arwah tersebut.
Arwah setuju beli buku itu sambil berkata, “Kena ambillah satu,” dalam dialek Kelantan seperti biasa. “Ambil” itu sama dengan maksud “beli”. Saya dapat mengesan sesuatu pada kata-kata tersebut. Maksud saya, sikap dan keperibadiannya seperti dapat saya tanggap pada kalimah bicaranya itu. Kenapa demikian dan apa maksud kata-kata berkenaan dalam konteks hubungannya dengan saya? Saya dapat mengesan dan merasakan begini: Arwah semacam mewajibkan dirinya membeli buku dengan saya walaupun sebuah, sebab itu beliau berkata begitu.
Arwah berbuat demikian barangkali kerana berasa terhutang budi dengan saya yang mengangkatnya sebagai calon untuk SEA Write Award dalam esei saya sebelum ini. Saya berani beranggapan demikian kerana pada tahun lepas, setelah esei saya membicarakan khusus buku sajaknya, Langit Membuka Lipatan yang disiarkan dalam Dewan Bahasa JendelaDBP. Arwah kemudian menghadiahkan buku terbaharunya, Kerdip, ketika kami kebetulan bertemu di Perpustakaan Awam Kelantan untuk Mesyuarat Agung PPK pada 23 November 2023.
Jadi, apabila bersetuju untuk membeli buku terpakai karya Samuel Johnson tadi, arwah mengeluarkan sehelai wang kertas RM50 untuk membayar. Tapi saya tidak mempunyai duit kecil yang mencukupi sebagai baki, kerana wang pecah dengan nilai lebih kecil yang saya ada telah habis digunakan sebagai wang baki kepada pembeli sebelumnya. Semua duit kecil yang saya ada berjumlah RM25 ketika itu dan saya memberitahunya, “Tak cukup ’ni,” kerana harga buku itu cuma RM15, maka baki sepatutnya yang perlu saya pulangkan kepada arwah ialah RM35. RM10 lagi tidak cukup. “Tak apalah, mari saja setakat yang ada,” jawab arwah dengan penuh sifat dermawannya seperti selalu.
Saya serba salah untuk menerima wang baki RM10 itu begitu saja. Maka saya syorkan kepada arwah untuk ambil sebuah lagi buku yang bernilai kira-kira RM10 dengan berkata, “Iskh, ambil bukulah, ambil buku.” Saya cari-cari sekejap buku mana yang sesuai dengan harga itu, lantas mengambil buku Islam and Nationalism: An Analysis of the Views of Azad, Iqbal and Mawdudi karangan Zeenath Kausar dan cepat-cepat menghulurkan kepadanya. Nilai yang tertampal di kulit buku Zeenath Kausar itu ialah RM15. Barangkali setelah melihat harga itulah arwah berkata semacam bertanya kepada saya, “Tak rugi ke, ‘kan rugi?” Saya menjawab beberapa kali, “Tak rugi.” Wan A. Rafar yang ada bersama juga membantu saya tolong jawabkan kepada arwah, “Tak rugi.” Malah, ada seorang lagi penulis yang ada di sekitar situ yang melihat kami berurusan, juga menolong saya jawabkan kepada arwah, “Tak rugi. Boleh pahala.” Tapi saya tidak berapa ingat dengan tepat siapa penulis itu. Barangkali Bapak Mukhtar Mustafa, yang juga membuka meja jualan buku pada hari berkenaan, atau mungkin orang lain. Buku Zeenath Kausar ini memang ada dua buah di meja jualan ketika itu dan saya sendiri menyimpannya sebuah di rumah sebagai koleksi peribadi dan bacaan sendiri. Jadi, muktamadnya, dua buah buku bahasa Inggerislah yang dibeli oleh arwah Pak Darma di meja jualan saya pada hari tersebut dengan harga RM25. Detik-detik berbicara dan menyantuni arwah di meja jualan buku di JPN Tunjong itu saya ingat dengan jelas, kerana baru minggu lepas peristiwa tersebut berlaku.
Pernah sekali dalam satu program sastera yang saya turut serta sebagai penjual buku, arwah meminta dan bertanyakan buku agama terbitan Indonesia. Kebetulan, ada satu buku karya Mustofa Bisri yang saya hulur cadangkan dan arwah setuju beli. Kalau tidak salah harganya RM20, namun saya lupa judulnya.
Tidak mengapalah, jika hanya saya seorang sahaja yang meletakkan nama beliau sebagai salah seorang calon SN dan orang lain tidak ada yang bersetuju pun.
Mengenang arwah, akan segera mengingatkan saya pada satu kisah lama yang telah jauh berlalu, namun masih segar dalam kenangan saya. Ada satu ketika, pada tahun 2012 kalau tidak salah, tidak berapa lama selepas balik dari bengkel Mastera di Jakarta, saya mencari buku Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam karya Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas untuk dibeli. Saya tanyakan Lutfi Ishak di mana boleh saya dapatkan buku berkenaan. Katanya, ada dijual di kedai buku DBP Kuala Lumpur. Namun sayangnya, sudah kehabisan stok di situ, hinggakan saya menelefon sendiri ke Penerbit USM, iaitu pihak yang menerbitkan buku berkenaan. Malah, pihak penerbit juga mengakui bahawa buku itu telah habis. Kegagalan mendapatkan buku Prof. Naquib itu saya ceritakan di laman Facebook peribadi. Melalui hebahan di Facebook inilah menyebabkan berita itu turut sampai kepada pengetahuan Pak Darma. Tidak berapa lama kemudian, saya menerima naskhah fotokopi buku Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam yang dikirim melalui pos ke rumah saya di Machang. Barangkali kerana terlalu kasihankan saya yang hendak sangat memiliki buku berkenaan, maka Pak Darma pun hadiahkanlah buku tersebut yang difotostat daripada naskhah asal miliknya. Buku itu difotostat melintang di atas kertas A4 dan diletakkan plastik keras sebagai alas kulit depan dan belakang. Hadiah istimewa ini tidak akan pernah saya lupa hingga ke akhir hayat, daripada seorang tokoh pengarang besar Kelantan, insan budiman yang baik hati – walaupun saya sudah tidak ingat kini ia tersimpan di celah timbunan buku yang mana. Hal ini kerana, empat lima tahun kebelakangan ini, saya telah pun berjaya mendapatkan naskhah asal buku itu daripada seorang penjual online.
Selain menaikkan namanya sebagai calon yang layak untuk menerima SEA Write Award. Saya juga ingin melihat saat-saat indah Pak Darma menerima Anugerah Sastera Negeri Kelantan sebagai Sasterawan Negeri Kelantan kerana beliau juga layak. Malah, saya juga ingin melihat beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN). Tidak mengapalah, jika hanya saya seorang sahaja yang meletakkan nama beliau sebagai salah seorang calon SN dan orang lain tidak ada yang bersetuju pun. Hal ini kerana saya mempunyai hujah-hujah dan alasan yang tersendiri. Saya boleh bentangkan panjang lebar kepada yang membangkang itu. Malah, jika hendak diceritakan, saya telah pun menulis proposal, iaitu kertas pencalonan Allahyarham Pak Darma Mohammad sebagai Sasterawan Negeri Kelantan untuk diserahkan kepada panel penilai dalam ASNK yang akan datang. Pada hari kematiannya, saya membuka semula fail tulisan itu, baru siap satu halaman. Saya bercadang akan menyambung proposal itu sedikit demi sedikit dari semasa ke semasa, jika ada saja bahan-bahan tulisan berkaitan arwah yang saya jumpa dalam akhbar dan majalah yang bertimbun di rumah.
Setiap hari bekerja dengan tulisan dan buku serta timbunan majalah dan surat khabar ini memang selalu menemukan saya dengan bahan-bahan yang boleh saya tulis tentang pengarang kita termasuklah arwah. Begitulah perancangan saya terkedepan untuknya. Namun apakan daya, SEA Write Award pun arwah tidak sempat merasa, apatah lagi Sasterawan Negeri Kelantan dan Sasterawan Negara.
Sebenarnya, saya juga telah merancang ingin menerbitkan buku khusus untuk Arwah sempena genap usianya 77 tahun pada tahun 2025 nanti. Judulnya pun telah siap lama dalam kepala: 77 Tahun Darma Mohammad. Seperti kebiasaannya, buku penghargaan, saya akan undang kawan kenalan Pak Darma menulis tentang kepengarangan, persahabatan dan karya-karyanya. Saya bercadang untuk mula mengumpul esei-esei penghargaan itu pada penghujung tahun ini kerana buku festschrift tersebut mesti siap dicetak pada awal bulan Mac 2025.
Akan datang takwilan orang, kenapa 77? Hal ini kerana kebiasaannya, tokoh-tokoh pengarang dikenang dan dibuat buku penghargaan khusus ketika usianya genap 70 tahun. Oleh sebab usia 70 Pak Darma itu telah lama terlepas, maka saya ambillah angka yang cantik 77 itu. Hendak tunggu 80 tahun, tentu saja akan mengambil masa yang lama lagi dan berkemungkinan sempat sampai atau tidak, itu pun satu hal yang perlu difikirkan. Maka ekoran sebab-sebab itulah, saya buat keputusan ambil angka 77. Rupa-rupanya angka 77 yang saya duduk berkira-kira seorang diri sempat dilalui Pak Darma itu pun tidak kesampaian juga akhirnya. Pemergian mengejut arwah pada Selasa lepas, hanya beberapa bulan saja lagi untuk sampai pada tarikh umurnya genap 77 tahun.
Sekarang aku telah tahu erti penyesalan.
Ada satu lagi perkara atau sesuatu yang bermakna yang telah saya fikir dan rancang untuk arwah, selain buku esei penghargaan tadi. Rancangan persendirian yang saya congak-congak sendiri dalam kepala tanpa memberitahu sesiapa. Apakah penghargaan yang dimaksudkan, biarlah menjadi rahsia peribadi saya sahaja atau biarlah ia tinggal menjadi angan-angan saya seorang. Biarlah hal itu saya simpan untuk sepanjang hayat sebagai kenangan abadi yang indah kepada arwah.
Selepas menerima berita pemergian arwah pada 20 Ogos 2024 itu, saya hanya mampu menitiskan air mata sendirian di kejauhan, dan ada ketika-ketikanya pada petang dan malam hari berkenaan, saya bermonolog seorang diri dan seperti mengarang satu surat panjang kepadanya, yang sayangnya, tidak akan dapat dibacanya lagi sampai bila-bila:
Pak Darma, aku sebetulnya sedang menulis sebuah esei khusus membicarakan bukumu Janjang Iktikaf. Entah kenapa begitu lama kuambil masa untuk menyiapkannya – esei itu sebetulnya baru mencapai 669 perkataan. Aku berharap, seperti selalu melalui tulisan-tulisanku sebelum ini, kau barangkali akan teruja membacanya. Namun tidak pernah sekali aku menyangka, kau pergi terlalu cepat sebelum esei kecilku itu siap.
Pak Darma, masih kuingat saat-saat aku mengekori keretamu ke sebuah restoran di Wakaf Che Yeh untuk menghadiri mesyuarat AJK PPK yang pertama selepas tertubuhnya Ahli Jawatankuasa baru persatuan tahun lalu. Kau kulihat masih cekap memandu jika dibandingkan usiamu waktu itu.
Sebelumnya kita makan bersama di sebuah restoran tutup di perkarangan Perpustakaan Awam Kelantan selepas AGM PPK pada 25 November 2023. Terbayang satu per satu saat itu, kita (turut ada bersama ialah Saudara Mohd. Dahri dan Ustaz Pak Wan Ketua 1) mencari-cari tempat makan yang elok dan bersesuaian. Selesai makan dengan waktu yang agak singkat; kerana petangnya kita perlu ke Wakaf Che Yeh untuk terus menghadiri Mesyuarat AJK Bil. 1 pula, kita mencari-cari tempat yang sepatutnya untuk membuang kertas bungkusan nasi yang dimakan.
Hari itu hujan sejak pagi. Dari pagi hingga petang, kita bermesyuarat dua kali. Dari PPAK bawa ke sebuah restoran eksklusif di Wakaf Che Yeh. Kau setia mengikuti perbincangan, tekun memerhati mesyuarat dan perbahasan, sesekali menyatakan pendapat dan pandangan. Aku kembali mencari-cari gambar lama dalam himpunan belasan ribu foto yang ada dalam telefon genggamku, menemukan aku dengan foto-fotomu sepanjang hari itu. Petang itu kita bermesyuarat di meja panjang, kau duduk tersenyum di antara Tuan Haji Wan A. Rafar dengan Dahri dan sesekali meneguk kopi.
Pak Darma, maafkan aku kerana selalu terlupa untuk memotret foto kenangan denganmu. Selasa lalu, saat pertemuan terakhir kita di JPN Tunjong juga begitu. Kerana sibuk berniaga, aku terlupa. Betapa banyak kesempatan kita bertemu, kerana kau tidak pernah jemu memberikan komitmen untuk hadir ke program-program sastera di sekitar Kota Bharu – tapi gambar denganmu tidak pernah ada walaupun satu. Sekarang aku telah tahu erti penyesalan. Tidak mengapalah, tidak perlu kusesalkan apa yang telah lepas. Kenangan kita berdua biarlah hanya tulisan, yang akan kekal abadi hingga ke akhir waktu, termasuk catatan dan surat ini.
Maafkan aku kerana tidak dapat pulang mengucup dahimu buat kali yang penghabisan, tidak dapat mengusung jenazahmu ke kuburan dan tidak ada bersama menimbusratakan tanah pengebumian – maafkan aku Pak Darma. Kebetulan berada beratus-ratus batu jauhnya dari Pasir Mas, asbab urusan peribadi dan komitmen hidup yang perlu diselesaikan menghalang aku berbuat demikian. Air mata bergenang, dan aku hanya mampu menangis seorang di kejauhan.
Pak Darma, aku tidak akan menulis apa-apa lagi untukmu selepas ini, kerana kau sudah tidak dapat membacanya. Inilah surat pertama dan terakhir kita. Damailah dikau di sana bertemankan kasih Tuhan Rabbul Jalil. Semoga Tuhan akan terus mengasihimu hingga ke syurga abadi. Karya-karyamu akan terus hidup bersama-sama kami di dunia ini, dan dibaca lagi dan lagi hingga alam ini juga pergi. Kuakui, disaksikan oleh semua orang yang membaca tulisan ini, bahawa dirimu insan budiman yang begitu baik hati. Pengarang bijak bestari yang akan terus dikagumi. Lelaki indah pekerti yang sentiasa kami rindui.
Kasihan belas Tuhan akan terus mengiringimu. Naungan Allah akan kekal memayungimu hingga ke syurga firdaus. Doa kami akan kekal berterusan buatmu insan sasterawan. Tulisan-tulisanmu akan menjadi amal jariah yang berkekalan sebagai bekal pahala yang tidak akan putus-putus membahagiakanmu di alam sana.
Semoga Allah menempatkanmu di sana bersama para kekasih-Nya wahai pengarang budiman, insan adabi yang amat sukar dicari ganti. Langit akan membuka lipatan, insya-Allah iktikafmu akan berjanjang ke hadrat Tuhan.
_________________________
Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.