Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari mengenang tentang penyair Allahyarham Darma Mohammad, khususnya hadiah yang begitu bermakna daripada Allahyarham semasa hayatnya.
Entah sudah berapa batang pen yang dihadiahkannya kepada saya. Tidak pernah saya hitung dan tidak dapat dicongak.
Allahyarham penyair Darma Mohammad, berpulang ke rahmatullah pada pagi 20 Ogos. Innalillahi wainna liilahi rajiun.
Berita itu sungguh mengejutkan dan mengharukan, meski dengan sedar bahawa hakikat lahir dan hidup ini adalah dalam ketentuan suratan takdir Ilahi sebagai Al-Khaliq.
Saya sendiri, peribadi, termenung panjang melepaskan rasa kesal diri. Setelah begitu lewat, selepas tengah hari baru mengetahui berita pemergian Allahyarham.
Saya mendapat berita tersebut daripada sahabat karib Allahyarham, penyair terkenal Kelantan, Wan A. Rafar yang kini merupakan Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK).
Dalam beberapa “bilik” whatsApp pula (yang sesetengahnya menghimpunkan sejumlah besar kalangan penulis tanah air), terpampang poster hitam putih yang menampilkan wajah Allahyarham berserta makluman sebagai mengabadikan belasungkawa.
Saya termenung. Tercatat nama beliau: Daud bin Mohammad. Memang itulah nama benar Allahyarham. Semua khalayak sastera tanah air, sekian lama berdekad-dekad, tentu sahaja lebih mengenali beliau sebagai Darma Mohammad.
Oleh itu, dalam menung saya, kemungkinan pada kebanyakan generasi penulis muda, mungkin tidak begitu mengenali siapa Daud Mohammad. Sementelah pula, semasa hayat, foto wajahnya pun jarang-jarang dapat ditatap dalam media. Itu pun, tetap tercatat dengan nama Darma Mohammad.
Darma Mohamad ialah pendatang dunia sastera tanah air sekitar dekad 1970-an. Beliau merupakan antara penyair baris depan Kelantan. Malah, antara sasterawan besar dalam kesusasteraan Kelantan. Dalam perkembangan puisi dan sastera tanah air, beliau adalah antara penyair dan penulis penting. Menulis dalam banyak genre pada cakupan puisi, cerpen, novel, dan esei sastera.
Kumpulan puisi beliau, antaranya termasuk Gernyut Nafas, Janjang Iktikaf, Percikan Pelangi, Rintik-rintik Huruf, Ufuk Fikir, dan Jaras Cinta Rumi. Novel beliau ialah Merinci Ufuk dan Menjaras Ribut. Bersama-sama penulis yang tinggal di Jepun, Leyla Shuri, beliau menterjemahkan 400 buah haiku Basho yang diterbitkan sebagai Sukma Basho dalam Haiku.
Terakhir, sebuah buku yang cukup menarik dan istimewa, beliau bersama-sama Leyla Shuri menyusun Kamus Peribahasa Jepun dan Padanan Peribahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun ini. Malah buku ini turut dilancarkan oleh DBP sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Japan Foundation, Puan Umeeda Masako, di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Kali terakhir saya berkesempatan bertemu beliau adalah semasa program wacana Meraikan 50 Kepenyairan Leo A.W.S. anjuran Liga Penulis Kelantan (LPK) di Kotak Seni, Kota Bharu pada 30 Disember, tahun lepas.
Namun dalam kalangan sahabat, beberapa minggu terakhir kami masih berkesempatan bertemu mesra dengan beliau semasa program Pusi Tradisi dan Masyarakat anjuran PPK dan GAPENA sempena Hari Puisi Kebangsaan, di restoran Singgora, Kota Bharu, 10 Ogos baru lalu.
Disusul, beliau turut hadir semasa majlis sambutan 25 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) pada program “DBPWT: Gerbang Peradaban Timur”, yang dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, baru 13 Ogos lepas.
Itulah komitmen terakhir Allahyarham menghadiri program sastera di Kelantan, di samping untuk bertemu wajah dengan para sahabat.
Sasterawan Kelantan yang lebih terkenal sebagai penyair ini, dilahirkan di Pasir Mas pada Mac 1948, kembali ke rahmatullah dalam hujung usia, 76 tahun.
Di sisi saya, lintasan pertama cepat sekali terimbas sebagai kenangan indah, mengingat Allahyarham, adalah pada sebatang pen terakhir.
Sejak lama, setiap kali kami bertemu dalam apa-apa program sastera di Kelantan, lazimnya di Kota Bharu, Allahyarham selalu tidak akan lupa untuk menghadiahkan sebatang pen kepada saya. Seingat-ingat saya, tiada pada pertemuan dalam majlis sastera, beliau tidak menghadiahkan pen.
Malah, kadang-kadang bagai tergesa-gesa, cepat sekali dimasukkan, diselitkannya pen ke dalam poket baju saya. Tanpa apa-apa kata. Saya pun kadang-kadang tanpa sempat berterima kasih kerana beliau sudah bergegas melangkah ke hadapan para sahabat lain.
Hadiah itu bukanlah pen yang mahal. Sekadar ball point pen atau pena mata bulat, murah sahaja. Cukup sekadar untuk menulis dan dibuang setelah habis dakwat. Namun, pemberiannya itu selama-lamanya tetap abadi sebagai hadiah dan ingatan yang terindah dalam kenangan hidup saya.
Entah sudah berapa batang pen yang dihadiahkannya kepada saya. Tidak pernah saya hitung dan tidak dapat dicongak.
“Abang sengaja beli untuk saya?” atau kadang-kadang sebagai tanya, “Abang sengaja bawa untuk saya?” Namun, pada setiap pertanyaan itu, beliau tidak pernah menjawab. Melainkan dengan senyum panjang. Wataknya agak pendiam, lantas senyumannya akan terlihat manis indah. Tambahan pula, jelas benar beliau tampak berperwatakan lembut, penyantun.
Sesekali, dijawabnya juga sepatah kata, “Gunakanlah!”
Tanpa bermaksud besar diri, sebenarnya, dalam kalangan sahabat penulis di Kelantan, walaupun yang rapat akrab, hanya segelintir sahaja mengetahui yang saya tidak pernah berupaya untuk mendraf puisi melalui mesin taip, komputer atau komputer riba.
Semasa hayatnya, Darma Mohammad tergolong antara barisan penyair di tanah air yang banyak menghasilkan puisi keislaman. Malah, pada kreativiti mutakhirnya pula, beliau mencipta puisi keislaman yang disebutkan oleh peneliti dan pengkritik sebagai bernafaskan nada Jalaluddin Rumi.
Tidak pernah ada sejarah dalam kreativiti saya, walau pada sehelai puisi, datang daripada huruf mesin taip, komputer atau komputer riba, sampai kini. Selalu saya dicengkam rasa gagal, tidak pernah memuaskan hati, jika cuba mendraf melalui alatan seperti itu.
Agaknya kerana tidak terasa bebas lepas. Walau kalut mencoreng di atas kertas, jika misalnya sehingga berbelas-belas draf sekalipun, setiap helai itu tetap penting untuk cuba dinilai sendiri lagi. Kadang-kadang daripada beberapa baris atau rangkap yang awal, lebih memuaskan bagi dikekalkan guna kembali.
Oleh itu, semua draf, tidak hilang di situ. Berbanding apabila menaip dengan komputer, jika sudah dibaiki ini, itu pula yang hilang ghaib. Tidak terbanding, tertaakul lagi. Oleh hal yang demikian, sejak dari zaman muda lagi, saya terbiasa dengan koreng puisi, mendraf melalui tulisan tangan. Menaip hanyalah setelah berasa puisi itu sudah siap.
Kakanda Allahyarham Darma Mohammad adalah antara segelintir yang mengetahui puisi saya datang daripada draf tangan. Oleh itu, tidak hairan, beliau selalu memberikan hadiah pen kepada saya pada setiap pertemuan. Saya anggap, kasih dan cakna seorang abang. Mengenali beliau sejak usia saya 17 tahun lagi, sehingga kini, sudah lebih 60 tahun.
Hanya sekali, ada satu kata-kata beliau bagai penerangan dan tetaplah saya ingat, “Supaya (maksud beliau, pada hadiah pen itu) Li boleh terus coreng puisi (draf) dan saya (beliau lazim menggunakan kata ganti nama begitu, bukan Abang) boleh tumpang baca puisi Li.”
Saya gelak pada kata-kata itu.
Disebabkan ujaran itulah, maka tiada hairan, setiap kali menghulurkan pen, tidak disusul dengan apa-apa kata olehnya. Saya pula sedia memahami.
Oleh itu, sesetengah draf puisi saya datang daripada pen yang pernah dihadiahkan oleh Allahyarham Darma Mohammad.
Agak banyak juga drafnya yang tersimpan. Malah, memang ada sebuah draf puisi yang saya khususkan sebagai dedikasi kepada beliau. Akan tetapi, puisi itu bukanlah tentang pen. Entah berapa lama draf itu tersimpan. Rasanya, sudah lebih 10 tahun.
Namun, tidak pernah pula beliau tahu. Cuma, Ramzan al-Firdausi pernah membaca draf terakhir itu. Kesal juga, sekarang. Kalaupun disimpan untuk belum atau tidak dikirimkan kepada media, sepatutnya saya boleh serahkan sebagai hadiah puisi kepada beliau. Hadiah yang mengembirakan daripada saya. Tidak terlintas fikir sama sekali.
Sebatang pen terakhir yang dihadiahi oleh Allahyarham, walaupun murah harganya, turut saya bawa bersama-sama ke Bangkok untuk menerima kurnia SEA Write Award 2021 yang baru dapat berlangsung di sana pada tahun lepas. Sepanjang di sana, saya mengambil kesempatan pada peluang dan ruang untuk mendraf sejumlah puisi.
Dengan pen itulah, saya mendraf sejumlah puisi di kota Sungai Chao Pharaya itu, yang kemudian peka diambil minat dan inisiatif oleh penerbit Nusa Center untuk diterbitkan baru-baru ini pada judul Delapan Belas Sajak Kota Bangkok.
Pada pandangan dan nasihat Nusa Center, oleh sebab kumpulan itu agak nipis, maka disarankan agar sejumlah foto kenangan di sana ikut mengiring juga dalam buku tersebut.
Maka, foto sehelai draf berserta pen hadiah oleh Kanda Darma itu, adalah antara yang turut diabadikan. Saya pinta diletakkan pada halaman awal. Justeru, saya benar-benar berasa terhutang budi pada beliau dan juga pada sebatang pen itu. Seolah-olah, bagai tanpa pen itu, maka kumpulan itu juga tidak akan pernah ada.
Dan, tanpa pula menyangka, bahawa itulah rupa-rupanya sebatang pen sebagai hadiah terakhirnya, masih tersimpan kerana dakwatnya belum habis.
Semasa hayatnya, Darma Mohammad tergolong antara barisan penyair di tanah air yang banyak menghasilkan puisi keislaman. Malah, pada kreativiti mutakhirnya pula, beliau mencipta puisi keislaman yang disebutkan oleh peneliti dan pengkritik sebagai bernafaskan nada Jalaluddin Rumi.
Terharu benar saya pada kiriman whatsApp oleh editor Dewan Sastera sendiri kepada kami di Kelantan tentang pemergian Allahyarham: “Orang baik dan perlu dicontohi dalam sastera makin mengurang.” Saya hanya mampu membalas jawab, sendirian dalam hati: “Ya!”
Moga-moga, roh Allahyarham dicucuri rahmat dan dilimpahi dengan kasih sayang daripada Allah SWT. Al-Fatihah.
Kredit Foto: Wan Ahmad Ismail, Sharrul Rizal Hashim, Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, dan DBPWT.
_________________________
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.