Oleh Salman Sulaiman
17 Julai 2024, 14:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman memberikan reaksi terhadap perbincangan tentang “puisi yang indah” dan perbandingannya dengan “puisi yang indah dan elok”.

Mengikut huraian Braginsky ini, fahamlah kita bahawa puisi yang baik dan bermutu itu sepatutnya memiliki dua sifat utama tadi, iaitu indah dan elok.

Tiba-tiba tercetusnya perbincangan yang agak hangat daripada tajuk berita “Puisi yang Indah tapi Tidak Difahami Bukanlah Puisi” siaran e-Dewan Sastera (6 Jun 2024) yang saya tulis. Kata-kata tersebut diucapkan oleh Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari (yang juga penerima SEA Write Award 2021) dalam satu bengkel bedah puisi yang dikendalikan oleh beliau di Kota Bharu awal Jun lalu. Ada juga yang tersalah faham mengatakan saya yang mengungkapkan kata-kata tersebut, hanya kerana membaca tajuk berita sahaja tanpa melihat isi kandungannya. Salah faham itu juga mungkin terjadi hanya kerana keratan judul berita berkenaan sahaja yang disebarkan, berserta nama saya di bawahnya – tanpa isi kandungan berita. Kenyataan Rosli itu diterima oleh sesetengah orang dan dipersoalkan oleh sebahagian yang lain.

Perbahasan tentang puisi yang indah dan sukar difahami ini telah berlangsung lama dalam sastera kita – sejak sebelum merdeka. Antara perbincangan awal yang dapat dikesan ialah polemik tentang sajak kabur pada era 50-an yang dihasilkan oleh tiga penyair kabur – A.S. Amin, M. Ghazali dan Noor S.I. Antara kritikawan yang muncul mempersoalkan kekaburan karya ketiga-tiga penyair ini termasuklah Asraf melalui eseinya “Kupasan Sajak: Cerita Larut Membawa Kenangan” yang disiarkan dalam Utusan Zaman (17 Julai 1955). Pada dekad tersebut, Asraf menjadi pengkritik paling prolifik dengan menghasilkan 28 esei secara keseluruhan.

Pengkritik lain yang turut terlibat dalam polemik tersebut ialah Kassim Ahmad, Suhaimi Haji Muhammad, A. Samad Said, Ismail Hussein, dan beberapa nama lain. Malah, polemik tentang sajak kabur ini berlarutan sehingga penghujung tahun 60-an, dan seperti ditutup atau dirumuskan oleh seorang penulis yang memakai nama pena Penyair Muda dengan eseinya “Perlunya Sajak-sajak Bernilai dan Mudah Difahami” siaran Utusan Zaman (7 Julai 1968). Untuk mengetahui secara lebih mendalam berkenaan polemik tersebut, boleh baca buku Sejarah Kritikan Puisi Melayu Moden 1949 – 1979 (1995) karya Mohamad Mokhtar Hassan.

Hal yang kita bincangkan ini ialah hasil karya dalam bentuk tulisan, iaitu puisi. Bukan arca atau lukisan. Bukan juga ukiran kayu atau logam. Tulisan untuk dibaca, maka perlunya tingkat kefahaman yang tinggi pada tulisan berkenaan. Tulisan kuno di batu bersurat pun, kita berusaha sedaya upaya untuk membaca dan memahaminya. Inikan pula puisi, keindahannya dapat benar-benar dihayati apabila karya tersebut difahami. Keindahan sesebuah puisi itu belum dapat diserap sepenuhnya oleh pembaca jika karya tersebut tidak betul-betul difahami.

Huraian tentang keindahan sebenar yang menarik dan mendalam antara lain pernah dibuat oleh sarjana ulung sastera Melayu klasik V.I. Braginsky dalam esei “Apa itu Keindahan atau Bagaimana Duka Menjadi Suka” yang dimuatkan dalam bukunya, Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik (1994). Secara tepatnya, Braginsky menyimpulkan kajiannya begini, “Jadi, walaupun semantik perkataan ‘indah’ dan ‘elok’ mempunyai titik pertemuan, ada juga perbezaannya. ‘Indah’ lebih menitikberatkan aspek luaran yang sudah dinyatakan dan dapat dirasakan oleh pancaindera. Sebaliknya, ‘elok’ menekankan aspek dalaman yang hakiki dan tersembunyi. Aspek dalaman itu berkait dengan pengertian ‘kebaikan’, ‘kebajikan’. Oleh itu, perkataan Arab yang seerti dengan ‘indah’ adalah ‘husn’; dan yang seerti dengan ‘elok’ adalah ‘jamal’ seperti yang ditafsir oleh para sufi, misalnya oleh Abd al-Karim al-Jili.”

Mengikut huraian Braginsky ini, fahamlah kita bahawa puisi yang baik dan bermutu itu sepatutnya memiliki dua sifat utama tadi, iaitu indah dan elok. Kedua-dua sifat tersebut perlu “dipadatkan” dalam rangkap puisi yang padu dan utuh, serta berkualiti pula isi kandungannya. “Indah” dalam erti kata menawan dan bertepatan bahasanya. “Elok” dengan makna isinya bagus dan membangunkan pemikiran. “Dipadatkan” bermaksud meminimumkan penggunaan kata, cermat ketika berbahasa dan tiada pembaziran kalimah serta tanpa klise yang mengandungi segala kata basi yang lapuk kuno.

Puisi yang hanya sekadar indah belum cukup syarat untuk memenuhi kriteria “karya yang indah” menurut Braginsky tadi jika puisi tersebut sukar difahami – terlalu kabur, teramat kompleks alur ceritanya, dan demikian payah untuk dimengertikan serta begitu bombastik pula bahasanya.

Jadi, sesebuah puisi yang hanya indah belum cukup sebagai sebuah karya sastera yang unggul. Karya yang baik dan bermakna sewajarnya dapat berinteraksi dengan baik juga kepada khalayak. Jika terlalu sukar difahami, fungsi sebenar sesebuah karya sastera khususnya sebuah puisi itu tidak tercapai, malah gagal.

Menurut Lutfi Ishak, pengarang muda yang diingati dengan karya ulungnya, Dondang Pembukaan (2015), sesebuah puisi itu tidak difahami oleh pembaca disebabkan oleh dua faktor, katanya, “Pertama, akal pembaca belum sampai kerana belum memenuhi prasyarat untuk memahami perkara utama yang ada dalam puisi tersebut. Kedua, kekurangan diri penyair dalam memilih kata-kata. Hal ini disebabkan oleh banyak faktor, tapi berkaitan dengan kesedaran diri penulis.” Tambahnya lagi, “Jadi, kalau kerana sebab pertama, penyair tidak boleh disalahkan. Kalau kerana sebab kedua, penyair perlu membaiki diri dan betulkan niat.”

Jika sesebuah puisi itu hanya cantik dan sedap bahasanya sahaja, itu ialah keindahan yang tiada makna – jika terlalu sukar untuk difahami isi penting yang ada dalam karya tersebut. Daripada polemik sajak kabur sejak tahun 50-an hinggalah kepada kajian mendalam Braginsky itu, jelas membuktikan kepada kita bahawa keindahan sesebuah puisi sahaja belum cukup untuk menjadikan sesebuah karya sastera itu berwibawa jika tidak disertai dengan makna yang baik selain mencetuskan pemikiran dan mencambahkan kebijaksanaan. Benar, kita mencari sebuah karya yang indah, tapi keindahan yang bermakna, bukan keindahan yang kosong.

Kredit Foto: Sergey Vinogradov/Unsplash

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.