Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTabir Alam berbicara tentang polemik puisi baru-baru ini dan inilah pendirian beliau tentang puisi.
Sajak ialah hasil karya seseorang penulis, itu haknya untuk menyuarakan apa yang hendak disampaikannya.
Rata-rata, ramai penulis maya memperkatakan polemik “puisi yang tidak difahami”. Setelah membaca makalah yang berkaitan (yang sebenarnya sebuah laporan berita sebuah bengkel di Pantai Timur), boleh dirumuskan besar kemungkinan yang dibincangkan ialah puisi di bawah genre sajak. Manakan tidak, kita terlalu khayal berdengung dengan kafein sehingga tidak kenal sirap selasih penghilang dahaga tradisional Melayu.
Sajak itu datang daripada cabang puisi moden, tapi puisi bukanlah sajak. Puisi bagi saya terdiri daripada puluhan cabang jenis puisi, baik moden mahupun tradisional. Jadi, mengapa pertikaikan karangan itu puisi kalau hakikatnya hanya sajak semata-mata? Atau pengucapnya masih belum mengenali perbezaan antara sajak dengan puisi?
Sajak ialah hasil karya seseorang penulis, itu haknya untuk menyuarakan apa yang hendak disampaikannya. Jika seseorang penulis itu sudah menempah nama, apa-apa yang dicoretkannya akan diteliti dari pelbagai sudut, walaupun yang ditulis itu hanyalah “pak-pong-pak-pong”! Akan tetapi, jika seseorang penulis pemula yang baru mengorak langkah untuk mula menulis, lalu ditulisnya “pak-pong-pak-pong”(!), nescaya dia akan dikritik hebat dengan pelbagai cemuhan.
Frasa “puisi yang indah” itu betul kerana karangan ini merangkumi semua genre puisi, termasuklah syair, gurindam, pantun, sajak, dan sebagainya – tentulah pengucapannya indah kerana telah menepati kaedah penulisan yang betul, terutamanya jenis puisi yang terikat dengan peraturan (dalam hal ini, puisi tradisional). Mesej yang cuba disampaikannya mampu meresap ke dalam sanubari si pembaca.
Sajak lahir kerana penulisannya tersasar daripada bentuk (format) dua puisi tradisional Melayu, sekitar tahun 1930-an, yang memonopoli era pengkaryaan sastera Melayu, iaitu syair dan pantun. Maka, lahirlah sajak yang bebas tanpa terikat daripada apa-apa peraturan penulisan syair dan pantun. Kemudian, namanya disesuaikan dengan poezi daripada istilah Belanda dan poesy atau poésie, daripada istilah Perancis untuk menyamai istilah bahasa Inggeris, poetry, yang begitu meluas digunakan di Indonesia. Kebiasaannya, penulis Melayu di Tanah Melayu akan terikut-ikut dengan gaya penulisan di Indonesia masa itu.
Akhirnya, penulis Melayu pun terikut-ikut dengan glamor puisi Indonesia dan diserapkan seadanya. Sebut sahaja penyajak tanah air yang terkenal, karya asal mereka yang dikenali sebagai sajak, kini dimurnikan sebagai puisi. Himpunan puisi hanya dipenuhi dengan sajak. Malah kadangkala, ada pula penerbit yang bergelut mencari identiti karyanya: di kulit buku tertulis “Himpunan Puisi” atau “Kumpulan Puisi” tetapi dalam prakata menyatakan yang tulisannya hanyalah sajak-sajak semata. Hanya penulis atau penerbit yang bijak sahaja yang akan meletakkan kategori “Antologi Sajak”, “Himpunan Sajak”, atau “Kumpulan Sajak” pada hasil karya mereka, selainnya, ditimpa perasan sahaja.
Dahulu, majalah Dewan Sastera menyediakan ruang “Sudut Sajak”, tetapi sekarang ruangan itu beralih kepada “Puisi Bulan Ini”, mungkin kerana untuk menepati sumbangan karya yang pelbagai.
Kredit Foto: Sergey Vinogradov/Unsplash
_________________________
Tabir Alam ialah penyair dari Ipoh, Perak. Beliau penerima Hadiah e-Sastera.com atau Hescom sejak tahun 2005.