Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHidayyah AT Mizi mendapati terdapat beberapa sikap yang kurang sesuai dipraktikkan oleh penulis, lebih-lebih lagi pada era sekarang yang cukup luas pasaran sasteranya.
Jika seseorang penulis berani menyertai sayembara, hal ini bermakna penulis tersebut mempunyai karya yang cukup baik untuk diadili.
Dalam zaman serba teknologi canggih dan platform digital tanpa sempadan, saya percaya kita juga perlu lebih komited melahirkan penulis yang lebih berkredibiliti dan berdaya saing, seiring dengan perubahan zaman.
Ada beberapa pemikiran lapuk dalam dunia kesusasteraan ini, yang saya rasa sangat mengganggu perjalanan dan perkembangan penulis pemula tanah air. Dalam kekecohan tentang betapa pentingnya memperkenalkan sastera kepada kanak-kanak dan remaja, masih wujud saranan yang seakan-akan bertentangan dengan usaha yang sedang kita usahakan sekarang. Kita perlu lebih ramai penulis yang bersikap progresif dan berkualiti dalam pasaran.
Contohnya, dengan banyaknya penganjuran sayembara, bukankah kita memang mengharapkan lebih ramai penulis, tidak kira usia kepengarangannya untuk turut meraikan sayembara yang dianjurkan ini? Sayembara ialah suatu jemputan rasmi. Penilaian diberikan kepada karya yang layak dan matang, bukannya semberono dipilih.
Jika seseorang penulis berani menyertai sayembara, hal ini bermakna penulis tersebut mempunyai karya yang cukup baik untuk diadili. Selain itu, tanpa mengira usia kepengarangan, sayembara merupakan medan untuk para penulis melihat potensi dirinya. Dalam kata lain, sama ada penulisannya relevan atau tidak dalam pasaran semasa.
Maka, anggaplah sahaja bahawa memasuki sayembara, penulis itu sedang menghantar resume untuk dinilai dalam pasaran kerja. Sayembara seolah-olah suatu medan paling berprestij untuk bertanding kehebatan masing-masing.
Pada tahun 2010, sejak kali pertama karya saya tembus media sosial— ada beberapa kali saya diingatkan agar: “Jangan terlalu gopoh, berbangga diri dan rasa sudah layak mahu bergelar penulis”; “Jangan terlalu selalu menghantar karya, nanti editor blacklist!”; atau “Jangan terbitkan buku laju sangat. Beri masa 10 tahun untuk karya matang, lagipun nak kejar apa?”
Terlalu banyak “jangan” daripada “teruskan”.
“Jangan terlalu gopoh, berbangga diri dan rasa sudah layak mahu bergelar penulis …”
Apa salahnya kalau kita raikan sahaja kejayaan karya yang telah melepasi saringan editor? Biarlah, kalau mahu bergembira, atau menyimpan impian mahu jadi penulis, raikan sahajalah. Susah sangatkah mahu berikan galakan dan tunjuk ajar, berbanding sekatan-sekatan tidak perlu?
“Jangan terlalu selalu menghantar karya, nanti editor blacklist!”
Antara tugas editor termasuklah menyaring karya untuk siaran. Tugas penulis pula mencipta dan menghantar karya. Tentu sekali, karya yang matang memerlukan masa untuk dibentuk. Namun begitu, bukankah penulis tersebut komited dengan tugas menulisnya sehingga mampu menghantar banyak karya ke peti editor— inilah semangat yang perlu kita raikan, bukan tegahkan. Entah mengapa, nasihat serupa ini masih berlegar-legar dari generasi ke generasi. Entah kenapa, soal kematangan karya ini seolah-olah pagar yang merencatkan pertumbuhan penulis.
Sepatutnya, kita membincangkan hal kematangan karya itu dengan sewajarnya dan lebih konstruktif. Jika seseorang penulis itu rajin berkarya, kemungkinan besar karyanya juga akan lebih cepat matang. Dalam media sosial, sudah ramai yang lebih terbuka dan berkongsi karya yang bagus untuk dijadikan rujukan oleh penulis pemula. Jika mereka turut menghadiri bengkel penulisan, kematangan ini akan lebih cepat dilihat. Kita juga sudah ada banyak platform untuk menghantar karya, apatah lagi platform yang akan disaring oleh para editor. Jika editor “senarai hitam”kan nama kita sekalipun kerana mengirim terlalu kerap, paling tidak, karya tersebut tidak akan disiarkan. Itu sahaja. Penulis masih punya banyak lagi ruang untuk karya dihantar dan disaring oleh editor yang lain. Jadi, apa salahnya mencuba?
“Jangan terbitkan buku laju sangat. Beri masa 10 tahun untuk karya matang, lagipun nak kejar apa?”
Nasihat ini memanglah tidak salah sepenuhnya. Apatah lagi apabila membincangkan hal penerbitan buku sendiri. Ada proses panjang untuk menyiapkan sebuah buku. Namun begitu, perlukah seseorang penulis menunggu sampai lima hingga sepuluh tahun sebelum dapat menghasilkan buku? Atau mengambil masa bertahun-tahun demi menyiapkan buku seterusnya?
Tukang masak memerlukan deria rasa untuk tahu sekiranya masakannya sedap atau tidak sebelum dihidang.
Ini mungkin pandangan yang tidak popular: Tidak wajar kita menyekat seseorang penulis yang rajin berkarya dan bersemangat untuk menimba pengalaman dan ilmu pengkaryaan daripada menghasilkan buku solo. Apa-apa yang penting dalam kematangan berkarya bukanlah masa, tetapi mutu penghasilan karya tersebut.
Barangkali, nasihat di atas berkait rapat tentang proses mengeram (mengedit) karya. Hal yang saya teladani daripada para pengarang besar dan pengarang veteran ialah hal yang mengambil masa dalam proses penghasilan karya ialah proses mengedit karya sendiri.
Namun begitu, sedari dulu, saya selalu tertanya-tanya: berapa lamakah masa yang wajar untuk proses mengeram dan mengedit karya ini?
Tukang masak memerlukan deria rasa untuk tahu sekiranya masakannya sedap atau tidak sebelum dihidang. Katakan saya yang baru belajar memasak, cuba memasak untuk makan malam keluarga. Andainya tidak sedap, tidak semestinya makanan yang telah dimasak itu tidak dimakan. Setidaknya, makanan tersebut masih akan dijamah. Sama ada orang yang menjamah makanan tadi mahu menjamah lagi masakan saya pada masa akan datang, kita tidak tahu. Mungkin, suatu masa nanti, sebelum dijamah, masakan tersebut akan dicicip terlebih dahulu. Jika semakin sedap, apa salah jika dijamah lagi?
Analogi ini lebih tepat menggambarkan proses perkembangan seseorang penulis. Sedap atau tidak sesebuah karya itu bermula dengan deria pengarang dan perkembangan seterusnya bergantung pada proses penulis yang memahami asam garam pengkaryaan.
Dalam usaha menjawab soalan tentang tempoh pengeraman karya, saya percaya hal ini bergantung pada kemahiran penulis itu sendiri. Jika dia menulis sesuatu yang berkaitan dengan kepakarannya, karya tersebut akan tampak bermutu. Proses mengedit karya lebih pendek kerana dia faham dan tahu kenapa dan apa yang perlu dibaiki. Sebaliknya, jika karya yang dihasilkan berbentuk eksperimental dan bukan karya yang bergerak dalam ruang selesanya, karya tersebut mungkin memerlukan proses yang lebih lama untuk matang kerana penulis tersebut perlu terlebih dahulu mendekati kaedah yang lebih tepat untuk memperkemaskan pengkaryaannya.
Kredit Gambar: Osarugue Igbinoba/Unsplash
_________________________
Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.