11 Julai 2024, 08:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan terus memperagakan pantun sebagai warisan negara dan dunia melalui pelbagai aktiviti yang sedang dan akan diadakan mengikut acuan semasa.

Komitmen ini dijelaskan oleh Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari dalam Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka (JKKN), semalam.

Aktiviti seperti pertandingan berbalas pantun melibatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi terus diperhebat agar khazanah ini terus mekar dalam jiwa anak muda.

Begitu juga dengan pelibatan orang awam, apabila DBP bekerjasama dengan agensi tertentu, usaha ini telah mewujudkan pertandingan pantun lakon.

Program lakonan berasaskan pantun yang diadakan pada tahun lepas telah memberikan impak yang besar dengan wujudnya gabungan dua bentuk seni yang berjaya menarik minat masyarakat.

Usaha ini tidak terhenti di situ sahaja, DBP juga akan menganjurkan kolokium atau wacana yang berterusan agar pantun terus dilestarikan dan terpelihara.

“Perkara ini telah termaktub dalam Pelan Strategik DBP 2021-2025, iaitu pantun sebagai aset ekonomi yang berpotensi dalam industri kreatif.”

“Pantun juga sebagai bahasa ilmu yang menunjukkan kearifan tempatan dan sudah tentu diangkat sebagai warisan negara dengan memperkayakan istilah dan kosa kata bahasa Melayu melalui pantun.”

Demikian antara inti pati penting yang telah disampaikan oleh Dr. Hazami Jahari dalam sesi pertama pembentangan bertajuk “Peranan DBP dalam Menyemarakkan Pantun sebagai Warisan Negara”.

Sebelum mengakhiri pembentangan, beliau juga menjelaskan beberapa program telah diatur dan disusun oleh setiap jabatan di DBP agar pantun kekal relevan dan berevolusi dengan zaman.

“Kerjasama dengan pemain industri seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan dipergiatkan dengan mengambil langkah menerbitkan drama bersiri berdasarkan pantun”

“Dan terkini, dicadangkan dalam kunjungan hormat kepada pihak RTM baru-baru ini, setiap kali kandungan berita akan tamat, diselit dengan serangkap pantun.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.