Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMarsli N.O melihat kembali tujuan dan maksudnya menulis.
Saya tersentak dan pada saat yang sama, kembali teringat bagaimana sebelum ini sebuah tulisan saya pernah mengalami nasib yang sama.
Setelah sekian tahun menunggu, akhirnya pada tahun 1979, ketika berusia 22 tahun, sebuah sajak pendek saya berjudul “Harapan” terpilih untuk siaran dalam majalah Dewan Sastera Mei 1979.
Gembiranya perasaan ketika itu tidak dapat digambarkan. Jika boleh, mahu dilaungkan ke seluruh dunia, “Dunia, lihatlah. Aku kini sudah bergelar penyair!”
Kegembiraan dan perasaan “seronok” itu diteruskan selepas itu dengan cara menulis dan terus menulis serta semakin mendisiplinkan diri memperbanyak bahan bacaan serta membaca lebih tekun.
Atas pengaruh bahan bacaan, pergaulan yang lebih luas, usia yang kian meningkat, semua genre penulisan dicuba dengan gigih dan tekun. Selain sajak yang ditulis dan dikirimkan ke akhbar serta majalah, penulisan cerpen dan rencana juga tidak dilupakan.
Berbekalkan semangat “kamikaze” dan sedikit asas ilmu daripada bahan bacaan, penulisan rencana juga semakin digiatkan.
Sehinggalah pada suatu hari saya dikejutkan. Tulisan saya berupa sebuah surat pendek yang antara lain menyebutkan betapa nilai-nilai Barat sebanyak dan sedikit telah menggugat semangat serta nilai bangsa Melayu yang murni, yang disiarkan dalam sebuah majalah budaya, telah dijawab oleh seorang ahli akademik di sebuah universiti.
Tulisan tersebut menyebutkan betapa pendapat saya itu sangat berat sebelah. Tegas ahli akademik tersebut, masih banyak nilai-nilai Barat yang dapat membantu memajukan sikap dan pemikiran bangsa Melayu.
Kesan daripada tulisan itu, saya memilih untuk tidak lagi mengirimkan sebarang tulisan ke majalah berkenaan dan memberikan tumpuan untuk hanya mengirimkan rencana pendek dan umum mengenai sastera dan laporan acara ke beberapa akhbar harian. Sesekali, saya menulis ulasan buku yang telah dibaca.
Beberapa tahun kemudian, entah kerana kebetulan atau kerana tulisan-tulisan laporan acara yang dikirimkan saban bulan, saya telah diajak untuk menyertai acara baca puisi anjuran sebuah syarikat akhbar. Selain terlibat untuk tampil ke pentas membacakan sajak, tugas saya adalah untuk merakamkan foto dan menuliskan laporan acara. Seronoknya! Selepas acara, laporan dan rakaman foto saya tentang acara tersebut disiarkan sepenuhnya tanpa sebarang sutingan oleh editor yang mengendalikan ruangan berkenaan. Selepas itu, saya diajak lagi untuk hadir atau menyertai, berserta tugas membuat laporan dan rakaman foto.
Setiap kali akan berlangsung acara, kerana tidak memiliki kenderaan yang memungkinkan saya berkenderaan sendiri ke lokasi, saya menumpang kenderaan pihak yang mewakili penganjur, yang juga pengendali ruangan sastera akhbar berkenaan.
Suatu waktu, kami berkenderaan ke arah selatan untuk acara yang sama. Seperti selalu, kerana diajak menyertai, saya menumpang kenderaannya ke destinasi acara.
Mengisi waktu di perjalanan, kami berbual. Topiknya mengenai kegiatan sastera, penulis dan pengkaryaan.
Walaupun telah kenal agak rapat dan sering menumpang kenderaannya ke sesuatu acara, saya selalu berusaha menjaga jarak dan bersikap profesional dengannya. Jika dia berkata sesuatu, saya berusaha untuk tidak kembali menampik atau menghujatnya.
Saya berusaha untuk menghormatinya kerana ilmu, pengalaman dan kedudukannya. Dengan harapan, jika saya memilih lebih banyak mendengar dan mencerna secara saksama setiap tutur katanya, banyak ilmu yang akan saya peroleh daripadanya.
Atas rasa hormat dan menjaga batasan profesional juga, saya tidak pernah bertanya mengenai karya yang telah saya kirimkan kepadanya akan disiarkan atau tidak.
Tugas saya cuma menulis dan mengirim, tugas menilai dan mengirim tidak ingin saya campuri dan singgung atau dibincangkan secara terbuka dengannya.
Tiba satu saat, tanpa saya bertanya atau menimbulkan dan merujuk secara khusus terhadap seseorang, percakapan kami menyentuh mengenai pemilihan dan penyiaran karya.
Katanya, “Kadangkala, aku sengaja siarkan tulisan seseorang, misalnya (budak itu), bukan sebab tulisan itu bagus sangat pun. Tetapi kerana aku lihat ada banyak ruang yang boleh penulis lain kembali pertikaikan.”
Saya tersentak dan pada saat yang sama, kembali teringat bagaimana sebelum ini sebuah tulisan saya pernah mengalami nasib yang sama. Kembali dihujat seseorang atas alasan sembrono dan bersifat berat sebelah.
Namun sebagai tanda hormat, saya tidak memberikan sebarang komen atau reaksi wajah yang ketara ketika itu, kerana memang niat saya hendak belajar dan mengutip segala mutiara ilmu daripada seorang yang lebih tahu dan berpengalaman, saya memilih diam dan menancapkan kejap kata-kata ucapannya ke dalam ingatan saya.
Kata-kata itu masih saya ingat sampai kini. Yang penting ialah maksud dan tujuan di sebalik kata-kata itu.
Satu hal yang saya pelajari daripada peristiwa dan percakapan itu ialah, sebuah karya dipilih untuk disiarkan oleh penjaga ruangan kerana banyak sebab dan melibatkan juga pelbagai perhitungan lain.
Apatah lagi jika yang menilai, menjaga ruangan dan memilih sesuatu karya untuk disiarkan bukan seorang yang bersikap profesional dan menyimpan maksud serta agenda tersendiri yang hanya dia seorang saja yang ketahui.
Maksudnya, di tangan seorang yang tidak bersikap benar-benar profesional, sebuah karya yang dipilih untuk disiarkan tidak semata-mata kerana karya itu sebuah tulisan yang bagus, yang memenuhi persyaratan dan dasar sesuatu penerbitan, yang sesuai dengan isu semasa, tidak menyinggung sensitiviti mana-mana pihak atau kelompok, tetapi melibatkan juga banyak perhitungan lain yang hanya diketahui oleh siapa yang memilih dan memutuskan untuk menyiarkan karya tersebut.
Atas kefahaman itu, apabila setiap kali karya yang dikirimkan kepada sesuatu penerbitan dipilih dan disiarkan, saya mengajar diri agar bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dan selalu memastikan sebelumnya agar tidak mengirimkan karya yang mempunyai banyak celah dan ruang yang boleh kembali dipertikaikan oleh orang lain sesuka hati mereka.
Namun sebagai penulis, selalu saya ingatkan diri sendiri. Jika takut dan tidak mahu karya yang ditulis kembali dipertikaikan dan dihujat orang, lebih baik karya tersebut disimpan sahaja di dalam fail atau laci untuk dibaca sendiri.
Jika takut dilambung ombak, jangan membina rumah di tepi pantai. Sebagai penulis, yang penting ialah niat dan tujuan ketika, sedang atau sebelum menulis. Tiada gunanya saya menulis kerana mahu melagakkan sesuatu, bersifat mengada-ada, berniat buruk mahu mencerca serta memfitnah orang lain.
Buruk atau baik sebuah karya yang saya tulis, biarlah saya tulis dengan niat dan tujuan yang tulus menurut kemampuan daya berfikir saya sendiri. Sekadar mahu mengatakan sesuatu menurut apa-apa yang sudah dan telah saya yakini. Jika kerananya, saya akan dicerca serta dihujat, tentulah bukan kuasa saya untuk menahan serta menghentikannya.
Demikianlah saya sentiasa peringatkan diri apabila setiap kali didatangi rasa malas dan takut untuk menulis dan mengirim karya.
Pesan berikut yang diucapkan oleh Aristotle, saya jadikan pegangan: “Hanya satu cara sahaja untuk mengelak kritikan: Tidak melakukan apa-apa, jangan cakap apa-apa; jadi tiada apa-apa.”
Tentu sahaja bukan sedemikian saya akan memilih.
Kredit Foto: Neel/Unsplash
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].