Oleh Karmila Azmi
26 Jun 2024, 18:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Penulis kelahiran Mumbai, India, Sanjana Thakur, 26, memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2024 menerusi cerpennya, “Aishwarya Rai”.

Kemenangan itu menyaksikan Sanjana menewaskan 7,359 penulis lain dari seluruh dunia dan membawa pulang hadiah £5,000.

Yayasan Komanwel dalam kenyataan medianya ketika mengumumkan kemenangan Sanjana menyebut, karya beliau dilihat sebagai provokatif tetapi ironi dan “kejam”, menerusi kisah wanita muda, Avni, yang memilih ibu angkat daripada sekumpulan wanita yang menghuni pusat perlindungan.

Juri mewakili Asia, novelis Singapura, O Thiam Chin, menyifatkan karya Sanjana provokatif dan memukau dari awal hingga akhir.

“‘Aishwarya Rai’ oleh Sanjana Thakur mengagumkan dengan prosa hipnotis dan realisme magis, menarik pembaca ke dalam cerita yang menggugah tentang pencarian Avni yang sungguh-sungguh tetapi canggung untuk mencari ibu ideal,” katanya.

Ketua Juri, novelis Uganda-British, Jennifer Nansubuga Makumbi pula menyifatkan, cerpen itu berani dan Sanjana menggunakan ironi yang kejam, sindiran, sikap sinis, dan humor yang dikemas kini dalam prosa yang padat dan perenggan-perenggan berbentuk stanza untuk kita membaca mengenai perpecahan keluarga dan peribadi akibat kemodenan.

Sementara itu, Sanjana yang kini menetap di Amerika ketika mengulas karyanya menyebut, cerpen itu menggambarkan “sebuah kisah dari Mumbai”.

“Saya telah menghabiskan 10 daripada 26 tahun usia saya tinggal di negara-negara bukan milik saya sendiri.

“India tempat asal saya, pada masa yang sama, aneh dan akrab, menerima dan menolak. Menulis cerita ialah cara bagi saya untuk menerima bahawa Mumbai ialah bandar yang akan saya rindui, walaupun saya berada di dalamnya; penulisan ini ialah cara untuk saya menyusun semula ‘tempat’ dalam fikiran saya.

“Saya rasa bahawa Hadiah Cerpen Komanwel menawarkan peluang itu kepada kita semua: untuk menjadi seorang penulis yang berasal dari ‘suatu tempat’, untuk menulis daripada warisan kolonialisme dan migrasi. Saya sangat bersyukur kepada hadiah ini kerana mengiktiraf bahawa cerita-cerita tidak ditulis dalam ruang yang hampa,” katanya.

Kredit Foto: Yayasan Komanwel

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.