Oleh Karmila Azmi
18 Mei 2023, 08:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Pengarang Singapura, Agnes Chew, 34, diumumkan sebagai pemenang Hadiah Cerpen Komanwel 2023 bagi rantau Asia. Chew, lulusan dari London School of Economics dilahirkan dan dibesarkan di Singapura kini berpangkalan di Jerman.

Selain Chew yang terpilih menerusi karyanya, “Oceans Away from My Homeland”, Yayasan Komanwel dalam kenyataan akhbarnya menyebut, beberapa penulis lagi turut diumumkan sebagai pemenang mewakili rantau masing-masing. Mereka ialah Hana Gammon menerusi cerpennya “The Undertaker’s Apprentice”, pemenang bagi Afrika; Rue Baldry (“Lech, Prince, and the Nice Things”) bagi rantau Kanada dan Eropah; Kwame McPherson (“Ocoee”) bagi Caribbean, dan Himali McInnes (“Kilinochchi”) bagi rantau Pasifik.

Menerusi kenyataan yang sama, Yayasan Komanwel menyebut, lima karya itu dipilih kerana keupayaannya menangani persoalan metafizik dan sejarah yang sukar dalam pelbagai genre, iaitu fiksyen sastera, sejarah dan spekulatif.

“Cerpen yang terpilih memperlihatkan keupayaan para pengarang menuliskan hal imbangan hidup dan mati, dunia orang dewasa seperti yang dilihat dari kaca mata kanak-kanak, dan tarikan hubungan keluarga di seluruh dunia melalui generasi yang berbeza.

“Latar tempatnya juga pelbagai, dari Britian, Jerman hinggalah Sri Lanka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Juri bagi penganugerahan kali ini, Bilal Tanweer berkata, proses memilih pemenang kali ini agak perit tetapi dalam masa yang sama menyeronokkan.

“Semua karya membawa cerita yang mengagumkan, khususnya dalam pemahaman mendalam mengenai isu yang dibawakan.

“Hal ini digabungkan pula dengan kemahiran menulis yang baik,” katanya.

Hadiah Cerpen Komanwel dianugerahkan setiap tahun untuk karya terbaik fiksyen pendek yang tidak diterbitkan daripada mana-mana 56 Negara Anggota Komanwel. Anugerah tahun ini menyaksikan sejumlah 6642 penyertaan termasuk, buat kali pertama, Togo dan Gabon—negara anggota Komanwel yang paling terbaharu.

Penulis boleh menyertai Hadiah Cerpen Komanwel menerusi penyertaan dalam bahasa Inggeris. Untuk tahun ini misalnya, sekretariat menerima 475 penyertaan bukan dalam bahasa Inggeris.

Kredit Foto: Yayasan Komanwel

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.