Oleh Karmila Azmi
28 Jun 2023, 06:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Penulis kelahiran Jamaica, Kwame McPherson diumumkan sebagai pemenang keseluruhan Hadiah Cerpen Komanwel 2023.

McPerhson yang menyertai pertandingan itu buat kali ketujuh berjaya menewaskan 6641 penyertaan lain dan membawa pulang hadiah bernilai RM29 731.09 (£5000).

Yayasan Komanwel ketika mengumumkan keputusan itu berkata, McPherson ialah penulis Jamaica pertama yang memenangi hadiah berkenaan.

Karyanya, “Ocoee” dibina hasil jalinan cerita rakyat di Caribbean dan sejarah komuniti Afrika Amerika. Ocoee ialah nama sebuah bandar di Florida yang menjadi saksi puluhan komuniti Afrika Amerika dibunuh dalam serangan kejam pada November 1920.

McPherson sebelum ini berkata, dia terinspirasi untuk menggabungkan cerita rakyat dan sejarah sebenar kerana berpendapat terlalu banyak pengalaman diaspora Afrika yang perlu didedahkan kepada orang ramai.

Sementara itu, ketua juri iaitu pengarang dan penterjemah Pakistan, Bilal Tanweer berkata, “Ocoee” ialah sebuah karya yang berjaya menterjemahkan cabaran yang dihadapi oleh semua penulis dalam dunia pascakolonial.

Justeru katanya, McPherson mengambil cabaran yang luar biasa sukar itu untuk menulis mengenai masa lalu yang tidak ada bukti secara lahiriah.

“Ocoee ialah kisah yang bergema dengan mendalam dan meninggalkan kita dengan sekilas tentang masa silam yang menghantui.

“Tetapi tugas penulis ialah menjadi saksi keadaan dan mengingatkan,” katanya.

Hadiah Cerpen Komanwel dianjurkan setiap tahun dan memberi penghargaan kepada cerpen terbaik yang belum pernah diterbitkan. Selain bahasa Inggeris, penyertaannya dibuka kepada pelbagai bahasa lain, antaranya termasuklah bahasa Bengali, Cina, Kreol, Perancis, Yunani, Melayu, Portugis, Samoa, Swahili, Tamil, dan Turki.

Kredit Foto: Yayasan Komanwel

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.