Oleh Marsli N.O
7 Jun 2024, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O menurunkan catatan diri sebagai terapi dan muhasabah diri dalam naik turun dunia penulisan.

Walau saya tahu karya saya sebagai diri saya tidaklah sehebat karya orang lain. Namun yang penting, sehingga hari ini, saya masih tidak ingin menyaingi sesiapa dan tetap tidak ingin menyaingi kehebatan karya Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Usman Awang atau sesiapa pun.

Hari ini, salah satu hari pada tahun 2024, saya kembali mengenang. Andai kurang lebih 45 tahun dahulu saya berfikir mahu menyaingi Shahnon Ahmad, A. Samad Said atau Usman Awang, mungkin sampai kini pun saya tidak akan mampu menulis apa-apa karya.

Maksud saya, Shahnon Ahmad, A. Samad Said atau Usman Awang pada pandangan saya ketika itu sudah berada pada ruang dan kedudukan mereka yang tersendiri dan amat tinggi.

Jadi, jika saya ingin menulis ketika itu, tiada gunanya saya bercita-cita hendak menyaingi sesiapa pun atau mereka. Sebagai sifatnya pendatang yang baharu ketika itu, saya memutuskan hanya ingin menulis sebagai diri saya sendiri. Andai kata kerananya karya saya lambat diterima orang untuk disiarkan, saya tidak apa-apa. Saya amat maklum dan faham. Namun saya yakin akhirnya saya akan berjaya juga.

Hari ini, setelah kurang lebih 45 tahun, saya fikir, kerana itulah saya masih dapat bertahan dan dapat terus menulis sehingga hari ini.

Walau saya tahu karya saya sebagai diri saya tidaklah sehebat karya orang lain. Namun yang penting, sehingga hari ini, saya masih tidak ingin menyaingi sesiapa dan tetap tidak ingin menyaingi kehebatan karya Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Usman Awang atau sesiapa pun.

Saya hanya ingin berkarya sebagai diri saya sendiri.

Selain itu, saya fikir saya masih dapat dan mampu menulis sehingga hari ini kerana saya mengamalkan beberapa petua yang mudah dan tidak berbelit-belit.

Pertama, saya pastikan dengan jelas niat dan tujuan mengapa hendak menulis. Tidak peduli apa pun niat itu. Yang penting perlu jelas.

Kedua, saya sentiasa fokus dengan niat dan tujuan itu, tidak peduli walau apa-apa pun.

Ketiga, saya tidak suka bertangguh dan sentiasa berusaha melawan rasa malas dalam diri.

Keempat, saya tidak ingin terlalu ambil peduli atau fikirkan apa kata orang terhadap diri dan karya saya, yang penting saya terus menulis dan membaca.

Kelima, saya elakkan membaca terlalu banyak buku yang merepek berbentuk hiburan dan jenaka melulu. Jika boleh dan perlu, saya elakkan juga membaca buku yang ditulis oleh penulis yang perasan dirinya hebat dan berlagak semua tahu serta menganggap semua pembaca karyanya bodoh dan perlu ditunjuk ajar sentiasa.

Keenam, saya berasa tidak perlu rasa tersinggung dan kecil hati jika kawan penulis saya suka menumpang bangga dan lagak dengan cara menyebut nama orang-orang hebat dan memetik pendapat mereka dalam tulisan mereka, tetapi pada waktu sama, kerana anggapan betapa saya tidak layak atau kurang penting, maka nama saya tidak pernah disebut atau dirujuk oleh kawan sesama penulis dalam tulisannya itu.

Ketujuh, saya berusaha menulis sejujur yang mungkin, menurut apa-apa yang benar-benar saya tahu dan kuasai. Tidak ingin berpura-pura. Mungkin pada penilaian orang lain tulisan saya yang sedemikian itu rendah nilai dan mutunya, tiada nilai intelek yang tinggi, cetek pengalaman dan sebagainya. Tidak mengapa. Biarkan apa sahaja kata negatif orang yang tujuan sehari-hari hidupnya memang mencari silap dan kelemahan orang lain. Ocehan mereka tidak perlu diambil peduli dan terlalu difikirkan.

Kelapan, saya tidak terlalu ingin berasa rasa sedih dan kecewa dicerca dan digugat orang. Tugas saya sebagai penulis ialah menulis dan menulis.

Kesembilan, saya tanamkan semangat untuk belajar dan terus belajar. Buang jauh segala pemikiran negatif dalam diri dan hindarkan segala aura dan persekitaran yang bersifat negatif, yang sampai boleh menggugat keyakinan diri saya sendiri.

Kesepuluh dan terakhir, saya tidak berasa perlu hendak persiakan waktu, pemikiran dan tenaga semata-mata untuk menilai karya dan pemikiran orang lain, dengan tujuan, niat dan perasaan yang sombong hendak memperlekeh dan meremehkan mereka. Bagi saya, penulis sepatutnya menilai dan memperbaiki kelemahan diri dan karyanya sendiri, dan bukan menyebokkan dirinya untuk menilai dan mengeji kelemahan karya orang lain.

Setiap orang berhak menyatakan pendapat dan fikirannya sendiri. Buruk atau baik, berjaya atau gagal menjadi tanggungjawab diri masing-masing secara peribadi. Mencemuh dan mencerca karya milik orang lain, bagi saya secara peribadi, tidak menjaminkan apa-apa tetapi seeloknya pada waktu sama mencari jalan untuk meningkatkan martabat dan mutu karya sendiri.

Oleh itu, saya tidak ingin membazirkan waktu milik saya untuk itu.

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.