Oleh Karmila Azmi
4 Jun 2024, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Penulis India, Sanjana Thakur dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Cerpen Komanwel 2024 bagi wilayah Asia untuk cerpennya “Aishwarya Rai”.

Yayasan Komanwel dalam kenyataan medianya berkata, selain Thakur, pemenang lain termasuklah bagi wilayah Afrika, iaitu cerpen “Dite” oleh Reena Usha Rungoo (Mauritius); Kanada dan Eropah diwakili oleh “What Burns” karya Julie Bouchard dari Kanada. Cerpen itu yang asalnya ditulis dalam bahasa Perancis diterjemahkan oleh Arielle Aaronson.

Wilayah Caribbean diungguli oleh Portia Subran dari Trinidad dan Tobago menerusi cerpen “The Devil’s Son”, manakala bagi Pasifik diwakili oleh cerpen Pip Robertson (New Zealand) menerusi cerpennya, “A River, Then the Road”.

Kenyataan media itu turut menyebut, anugerah itu turut mencatat sejarah apabila pertama kalinya penulis Mauritius muncul sebagai pemenang wilayah Afrika.

“Semua cerpen yang dipilih menjadi pemenang merangkumi pelbagai tema termasuk cinta dan kehilangan, hubungan yang rumit dengan ibu bapa, dan kegembiraan daripada perkara-perkara sederhana.

“Misalnya, cerpenis berbahasa Perancis Julie Bouchard dalam ceritanya “What Burns” (“Ce qui brûle”) menggambarkan akibat buruk disebabkan kebakaran hutan yang dahsyat di Kanada,” katanya.

Sementara itu, Pip Robertson dalam ceritanya, “A River, Then the Road” menceritakan kisah seorang gadis berumur 12 tahun yang diculik oleh bapanya yang bermasalah.

Portia Subran dalam ceritanya “The Devil’s Son”, yang diceritakan dalam dialek Trinidad, mengisahkan seorang pesara telaga minyak yang mengenang insiden gelap yang berlaku 60 tahun sebelumnya.

Reena Usha Rungoo pula dalam cerpennya “Dite”, menggunakan kecintaan seorang wanita Mauritius terhadap teh untuk meneroka kenangan hubungan masa lalunya dan sejarah kolonial minuman kegemarannya.

Cerpen Sanjana Thakur pula yang mengambil judul cerpennya daripada nama bintang Bollywood, merupakan sebuah kisah mengenai seorang wanita muda yang mencari kelibat ibunya dari sebuah tempat perlindungan.

Kredit Foto: Yayasan Komanwel

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.