Diterbitkan pada 26 Mei 2024, 13:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
DBP mengadakan Majlis Pelancaran Buku dan Forum Adaptasi Karya: Daripada Buku kepada Skrin bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada hari ini.

Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) giat mengadaptasikan karya penulisan novel dan cerpen ke layar perak dengan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk menyokong dan mempromosikan karya sastera dalam industri kreatif.

Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa semasa memberikan ucapan alu-aluan.

“Kita memerlukan lebih ramai penulis skrip yang mampu mengadaptasi karya novel kepada lakon layar agar lebih banyak karya sastera dapat diadaptasi kepada skrin.”

Demikian ucapan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Buku dan Forum Adaptasi Karya: Daripada Buku kepada Skrin bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada hari ini.

Tambah beliau,

Adaptasi karya ini menjadi langkah terbaik untuk mempromosikan buku dan membakar semangat para penulis dan penerbit bagi menghasilkan novel dan cerpen yang bermutu tinggi.

Menurut Puan Fauzilahyatun, sebanyak 15 buah karya telah diberikan pelesenan oleh DBP kepada syarikat produksi untuk diadaptasikan kepada skrin sejak tahun 2011.

Antara karya yang berjaya diadaptasi kepada skrin, termasuklah karya seperti yang berikut:

  1. Novel Platun Harimau: Dalam Misi Hutang Darah Dibayar Darah, karya Mohd Radzi Abdul Hamid yang diadaptasikan dalam bentuk telefilem dan ditayangkan melalui saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2011.
  2. Novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, karya Anwar Ridhwan yang diadaptasikan dalam bentuk telefilem dan ditayangkan melalui saluran Astro pada tahun 2013.
  3. Novel Kemboja di Hati, karya Ramlah Rashid yang diadaptasikan dalam bentuk drama bersiri sebanyak 13 episod dan ditayangkan melalui saluran TV AlHijrah pada tahun 2016.
  4. Novel Srengenge, karya Shahnon Ahmad yang diadaptasikan dalam bentuk telefilem dan ditayangkan melalui saluran TV1 RTM pada tahun 2017.
  5. Sajak “Sesekali”, karya Siti Zaleha Hashim yang diadaptasikan dalam bentuk telefilem dan ditayangkan melalui saluran TV2 RTM pada tahun 2019.
  6. Novel Korban Kasih dan Korban Kasih 2, karya Fatimah Saidin yang diadaptasikan dalam bentuk drama bersiri sebanyak 30 episod dan ditayangkan melalui saluran TV1 RTM pada tahun 2020.
  7. Novel Ayahanda, karya Azizi Haji Abdullah yang diadaptasikan dalam bentuk drama bersiri sebanyak 13 episod dan ditayangkan melalui saluran TV3 Media Prima Berhad pada tahun 2021.
  8. Cerpen Capa Rengat & Gulai Rawa, karya Baharuddin Kahar yang diadaptasikan dalam bentuk telefilem dan ditayangkan melalui saluran TV1 RTM pada tahun 2021.

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP juga berkata, DBP merupakan sebuah agensi yang bertanggungjawab mengembangkan bakat sastera dalam memperkaya bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas.

Maka itu, DBP akan terus berusaha untuk memperbanyak penerbitan buku karya kreatif yang berkualiti untuk diadaptasikan ke layar perak.

“Marilah kita terus menyokong industri kreatif dan memberikan penghargaan kepada karya-karya hebat yang mengisi jiwa dan minda kita,” ujarnya.

Mantan Ketua Pengarah Istana Budaya, YBhg. Dato’ Azhar Abu Bakar.

Sementara itu, Mantan Ketua Pengarah Istana Budaya, YBhg. Dato’ Azhar Abu Bakar berkata,

Adaptasi karya sastera kepada skrin bukanlah satu tugas yang mudah.

“Tidak semua orang suka membaca novel, tetapi ramai yang menonton filem dan drama.

“Usaha ini menjambatani dunia penulisan dan dunia perfileman, dua bidang ini juga mempunyai pengaruh besar dalam pembentukan budaya dan pemikiran masyarakat.

Beliau mengatakan bahawa kelebihan adaptasi karya ke skrin membolehkan cerita tersebut mempunyai capaian tontonan yang lebih luas.

Dalam ucapan perasmian pada pagi tadi, beliau berkata,

Kita harus berbangga kerana karya sastera tempatan kita mendapat pengiktirafan.

“Ini bukan sahaja mengangkat martabat sastera kita, tetapi juga memperkaya industri perfileman dengan naratif yang berakar umbi dalam budaya dan identiti kita.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar usaha ini dapat membuka peluang kepada penulis tempatan untuk meningkatkan profil dan reputasi mereka, sekali gus mengangkat kualiti naratif dalam filem dan drama di Malaysia.

Forum adaptasi karya diadakan bagi berkongsi pengalaman antara pengarah, penulis dengan pelakon tentang dunia perfileman.

Terdahulu, majlis ini turut mengadakan forum berkaitan dengan proses pembikinan sesebuah telefilem dan cabarannya dalam memindahkan bentuk teks ke layar perak.

Forum tersebut menampilkan tiga orang panel jemputan, iaitu Mantan Timbalan Ketua Pengarah Panggung Negara (Istana Budaya) dan pelakon, YBhg. Dato’ Ahmad Tamimi Siregar Kamaruddin; penulis prolifik tanah air, Puan Lily Haslina Nasir; dan Penerbit dan Pengarah RTM, Encik Wan Afzam Wan Daud, manakala Editor Dewan Sastera, Encik Muhammad Fadhli al-Akiti sebagai moderator.

Persembahan lagu puisi disampaikan oleh Dr. Shafa’atussara Silahudin dan Kumpulan Klassiek Malaya.

Selain itu, majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan khas lagu puisi daripada pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Shafa’atussara Silahudin dan Kumpulan Klassiek Malaya.

Turut hadir sama dalam majlis ini ialah Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, DBP, Encik Mohd Azam Juhari.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi