Oleh Karmila Azmi
9 Februari 2024, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Semua penulis dipelawa untuk menghantar karya yang diterbitkan pada tahun 2021 dan 2022 untuk dinilai bagi pengiktirafan sastera tertinggi negara, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat HSPM 2021/2022 dalam hebahannya berkata, penyertaan itu dibuka kepada warga Malaysia termasuk yang menetap di luar negara.

“Karya yang dinilai hendaklah diterbitkan atau disiarkan buat pertama kalinya pada tahun penilaian, sama ada dalam bentuk buku atau eceran, dan dihantar oleh penerbit atau penulis,” katanya.

DBP turut mensyaratkan setiap karya berbentuk buku bagi mana-mana kategori mestilah mempunyai nombor rujukan ISBN, manakala bagi karya eceran, karya tersebut mestilah mempunyai nombor rujukan ISSN.

Setiap karya berbentuk buku mestilah dihantar sebanyak enam naskhah bagi setiap judul, manakala bagi kategori B hendaklah dalam bentuk salinan fotokopi daripada naskhah asal.

HSPM yang diadakan secara dwitahunan memberikan pengiktirafan kepada Kategori A (Buku Sastera Dewasa) merangkumi genre puisi, cerpen, novel, drama pentas, esei/kritikan sastera, kajian sastera, dan biografi/autobiografi.

Kategori B (Karya Eceran) merangkumi karya penulis perseorangan bagi genre puisi, cerpen, esei/kritikan sastera (makalah ilmiah dan separa ilmiah), juga cerpen remaja (bacaan golongan remaja peringkat umur 13–18 tahun).

Bagi kategori C (Buku Sastera Kanak-kanak) pula, khusus untuk karya perseorangan dalam bentuk buku atau kumpulan karya bagi bacaan golongan kanak-kanak (peringkat umur 12 tahun) dalam genre puisi, cerpen, novel, dan drama pentas.

Kategori D (Buku Sastera Remaja) merangkumi genre kumpulan puisi, kumpulan cerpen, novel, dan drama pentas. Karya yang dikirim mestilah karya perseorangan dalam bentuk buku atau kumpulan karya bagi bacaan remaja (peringkat umur 13–18 tahun).

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 1 April 2024, dan sebarang makluman lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi sekretariat menerusi talian 03-2147 9127/9126/9125 atau e-mel [email protected].

Penyertaan lengkap hendaklah dikirimkan kepada:

Urus Setia Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022
Bahagian Promosi dan Pengiktirafan,
Aras 25, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa
50460, Kuala Lumpur.

Kredit Gambar: Firus Fansuri

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.