Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNibong Tebal – Menghayati semangat kemerdekaan melalui ungkapan puitis dan memartabatkan persembahan puisi merentasi seni budaya yang digandingkan dengan seni lain menjadi matlamat utama dalam Majlis Apresiasi Puisi Merdeka Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Dewan Utama Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), malam ini.
Program yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Pulau Pinang dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara itu adalah bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Peringkat Negeri Pulau Pinang dan telah berjaya membakar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat menerusi olahan puisi yang dipersembahkan oleh tetamu yang diundang khas oleh pihak penganjur.
Sebagai pembuka tirai program yang gilang-gemilang itu, tetamu yang hadir disajikan dengan rangkaian persembahan apresiasi puisi merdeka yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang, Encik Shapee Che Embi bersama-sama pasukan keseniannya, diikuti dengan persembahan oleh Quartek Persatuan Karyawan Pulau Pinang.
Program tersebut turut diserikan dengan persembahan puisi tradisional Melayu yang bertemakan patriotisme yang dimulakan dengan persembahan pantun berkait daripada wakil Kumpulan Seniman PS, diikuti dengan persembahan syair dan persembahan gurindam daripada wakil Kumpulan Pendidik Warisan.
Dalam kehangatan berpuisi, program tersebut disemarakkan lagi dengan persembahan khas puisi merdeka oleh wakil daripada Institut Latihan Perindustrian Nibong Tebal, Puan Nooraila M. Noor.
Seterusnya, majlis apresiasi puisi merdeka itu bukan sekadar persembahan mendeklamasikan puisi, malah turut dimeriahkan dengan selingan persembahan seni tarian yang menarik dan memikat hati penonton, iaitu persembahan tarian Melayu tradisional oleh penari cilik dari Sekolah Kebangsaan Machang Bubuk II, Bukit Mertajam dan diikuti dengan persembahan tarian klasik kanak-kanak dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mah Hua, Tasek Gelugor.
Tidak ketinggalan, persembahan yang berikutnya disulam dengan nyanyian oleh Mia Aliesya Firdaus diiringi oleh Kumpulan Persona Ritma serta dihangatkan dengan persembahan istimewa oleh seorang penyanyi dan pemetik gambus, Fauziah Suhaili (Fauziah Gambus) yang didatangkan khas oleh Persatuan Karyawan Pulau Pinang.
Pada masa yang sama, Pelancaran Buku Interaktif Persembahan Ghazal Malaysia turut diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Persatuan Karyawan Pulau Pinang yang telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak.
Buku yang ditulis dalam dwibahasa dan bersifat interaktif itu mencerminkan kemajuan seni budaya Malaysia seiring dengan kemajuan negara sekali gus menandakan satu aras ke arah mengantarabangsakan seni budaya Malaysia, khususnya ghazal Malaysia.
Buku tersebut ditulis sendiri oleh Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz daripada hasil penyelidikannya dalam acara Festival Ghazal Malaysia pada tahun lalu sekali gus menjadikan buku tersebut satu-satunya buku persembahan ghazal yang diterbitkan secara interaktif sebagai harta intelektual warisan budaya zaman-berzaman.
Kandungan buku berkenaan menggabungkan aktiviti membaca dan menonton sedutan video persembahan ghazal melalui imbasan kod QR pada muka surat tertentu yang menjadikannya sebagai sebuah buku yang berinovasi dan sangat menarik untuk dimiliki.
Seiring dengan kepesatan teknologi pada masa ini, kesenian dan budaya bangsa tetap teguh dan utuh menjiwai pemikiran anak-anak dan Persatuan Karyawan Pulau Pinang telah berjaya memastikan kelangsungan budaya itu dengan menterjemahkannya dalam satu dimensi khazanah intelektual yang berkualiti dengan adanya penghasilan buku interaktif tersebut.
Selain menyaksikan persembahan puisi yang menawan hati, para tetamu juga berpeluang meninjau ke kawasan pameran DBK dan jualan buku DBP yang disediakan dalam program tersebut.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd Nor, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dan YBhg. Datin Noraini Abdul Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, YB Fahmi Zainol, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT, YBhg. Dato’ Seri Haji Rozali Mohamud, Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz, Pengarah Kampus Kejuruteraan, USM, YBhg. Profesor Datin Dr. Azlina Harun dan YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin.