Oleh Harlym Yeo
9 September 2023, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Konvensyen Pemuisi Sedunia (KONPES) ke-2 anjuran bersama Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Kumpulan UMW Holdings Serta Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah membincangkan fenomena Artificial Intelligence (AI) di Pantai Chap, baru-baru ini.

Forum ini menampilkan Prof. Dr. Rosalina Abdul Salam sebagai panel telah membincangkan “Keharmonian Puisi dan Kecerdasan Buatan”. Beliau tidak menyangkal kenyataan bahawa AI berkemungkinan menghilangkan pekerjaan sedia ada, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan baharu. Pada masa yang sama AI boleh meningkatkan prestasi kerja dan sekali gus memainkan peranan utama dalam landskap pekerjaan masa hadapan.

Setiap perkembangan teknologi akan mengubah landskap pekerjaan. Secara umumnya perubahan yang agak ketara sedang dan akan terus berlaku dengan perkembangan teknologi AI. Beliau berkata;

Apabila berlakunya perkembangan teknologi, AI semakin berkemampuan membantu penulis dalam penghasilan karya kreatif.

Hal ini jelas apabila AI mampu menghasilkan karya seperti manusia, contohnya artikel berita dan skrip drama atau filem. Terkini, penghasilan imej dan suara juga nampak lebih realistik.

Prof. Dr. Rosalina Abdul Salam menjelaskan penggunaan AI boleh membantu meningkatkan prestasi kerjasewaktu KONPES, baru-baru ini.

Namun menurut beliau, AI masih belum boleh memahami nuansa bahasa, tidak mempunyai pemahaman dan pemikiran seperti manusia serta tidak mempunyai emosi atau naluri. Ujarnya;

AI berfungsi dengan ‘mempelajari’ maklumat terus daripada data dengan menggunakan algoritma dan penjanaan teks berdasarkan corak. Ia hanya boleh meniru atau mensimulasikan kecerdasan manusia tetapi tidak mereplikasinya.

Oleh itu, setakat ini AI adalah suplemen dan bukan pengganti kerana manusia mempunyai kebolehan dan pengalaman yang unik. Contohnya, kreativiti pengarang dalam pengkaryaan khususnya genre puisi.

Namun, buat mereka yang risau dengan kewujudan teknologi AI yang berkemungkinan akan menghilangkan pekerjaaan, beliau menjelaskan AI dapat digunakan untuk meningkatkan prestasi kerja dengan dapat menambah idea-idea dan pandangan yang berbeza seterusnya membantu penulis mencipta kandungan yang lebih baik dan bukannya dilihat sebagai ancaman.

Lantaran, masyarakat harus memperolehi maklumat mengenai AI adalah sangat penting dan perlu mencuba agar dapat menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.