Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTangkak – “Buku ini sangat istimewa dan bermakna bukan hanya kepada saya malah pada sejarah Malaysia kerana ini adalah kisah benar”.
Demikian ujarnya penulis buku Panchor Dan Sejarah: Kisah Ayahanda Mejar Jeneral (B) Dato’ Dr. Mohd Yunus Masjuki sewaktu berkongsi proses kreatif dalam Hari Pengkarya Selatan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), baru-baru ini.

Beliau merupakan pegawai tentera yang pertama mempunyai gelaran Doktor Falsafah (PhD) dan gelaran ini memotivasikannya untuk terus menulis. Ujar beliau:
Semasa saya berada di Moscow, Rusia, sahabat saya di kedutaan Malaysia, menjadi pembakar semangat untuk saya siap manuskrip Panchor dan Sejarah: Kisah Ayahanda.
Buku ini sangat istimewa dan bermakna bukan hanya kepada saya tetapi sejarah Malaysia kerana ini adalah kisah benar daripada arwah ayahanda saya. Panchor dipercayai sudah dibuka sejak 1511 lagi iaitu pada zaman kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di tangan penjajah Portugis.
Pada waktu itu, Panchor merupakan sebuah pekan kecil di daerah Muar yang pernah menjadi sebahagian daripada laluan ‘denai penarikan’ yang digunakan oleh pedagang dahulu.

Selain itu, Panchor juga pernah mencapai zaman kegemilangannya apabila menjadi pusat pentadbiran di kawasan hulu Sungai Muar ini. Pada penghujung tahun 1890-an hingga tahun 1950-an, Panchor pernah menjadi bandar kedua di daerah Muar yang juga pusat pentadbiran bagi kawasan yang merentangi Pagoh dan ke atas.
“Dahulu di sini mempunyai pelbagai sistem kerajaan seperti mahkamah, pejabat kerajaan, pejabat pos, balai polis dan sebagainya. Ia juga mempunyai pelbagai kemudahan asas yang baik dan juga kegiatan komersial seperti panggung wayang.” katanya.
Malahan pada waktu itu sistem perhubungan utama di kawasan ini adalah kapal dan Panchor menjadi pusat hentian sama ada orang dari Muar ke Bukit Kepong atau sebaliknya.
Saya juga cuba mencari dokumen yang berkaitan dengan sejarah Panchor.
Namun tidak ada satu pun yang maklumat atau dokumen yang dapat dijadikan sumber rujukan dan pembuktian sejarah kegemilangannya. Oleh itu, beliau nekad menghasilkan buku ini.
Menariknya, buku sejarah ini berbentuk penulisan anekdot yang berkisar tentang kehidupan suka duka Haji Masjuki Haji Ramli, iaitu bapa beliau ketika zaman Jepun menyerang Panchor.
Selain itu, diselitkan juga kisah ayahanda membesarkannya bersama-sama adik-beradik yang melalui pelbagai pengalaman suka duka yang boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada pembaca.
Sebelum itu, buku ini telah diluncurkan oleh Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari sambil diiring oleh Pengarah DBP Wilayah Selatan, Encik Mohd Riduwan Wahab dan Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md Ali Hanafiah, dan Ketua Satu Komuniti Buku Pengkarya Johor (KBKJ), Encik Isnin Tawaf.
Program ini merupakan anjuran DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama KBKJ dan PPD Tangkak menghimpunkan pengkarya-pengkarya yang hebat daripada wilayah selatan antaranya Dr. Maskiah Masrom, Haji Shapiai Haji Ramli, Aminah Mokhtar, Aladin Mohamad dan Mohammad Musip.